Teong Kim pilihan tepat

Fadzrie Hazis
Ogos 24, 2013 16:47 MYT
Perlantikan bekas pemain kebangsaan, Lim Teong Kim sebagai Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), jelas satu usaha positif dari Kementerian Belia dan Sukan, untuk membantu menghasilkan kelompok pemain berkualiti yang lebih besar.
Berlandaskan pengalaman sedekad, mengendalikan program pembangunan remaja serta selaku penolong pengurus skuad bawah 19 tahun Bayern Munich, Teong Kim tampak mempunyai kepakaran untuk menambahbaik pogram pembangunan di peringkat akar umbi.
Di Bayern, bekas pemain kelahiran Melaka ini terbabit dengan pembentukan pemain generasi baru Bayern dan Jerman seperti Thomas Mueller, Bastian Schweinsteiger dan Philip Lahm.
Kini, Teong Kim mahu menggunakan kepakarannya untuk meningkatkan kualiti pemain remaja tempatan di masa depan.
Cabaran utama Teong Kim, adalah untuk memastikan Malaysia mempunyai kelompok pemain remaja berkualiti yang mampu layak ke Piala Dunia remaja Bawah -17 Tahun pada 2019.
"Ia cabaran buat saya untuk kembali ke tanah air, tempat di mana saya memulakan karier saya dalam bola sepak.
"Saya mahu menggunakan segala pengalaman saya, 76 cap untuk skuad kebangsaan dan 12 tahun dalam pogram pembangunan Bayern untuk dicurahkan kepada pemain dan jurulatih muda," kata Teong Kim ketika sidang media pengumuman perlantikannya di Putrajaya, Rabu lalu.
Namun, Teong Kim memerlukan sokongan semua pihak, dalam usaha meningkatkan kualiti pemain di peringkat akar umbi, hakikat yang diakuinya sendiri.
"Saya pernah berada di sini dan berkata, kita memang kekurangan daripada aspek infrasturktur.Tetapi kita perlu mula melakukan perubahan dari sekarang," kata Teong Kim.
Secara peribadi, saya percaya, Teong Kim mampu memberikan kesan positif dalam pogram pembangunan akar umbi dan dia wajar menerima sokongan semua pihak.
Berikannya peluang, untuk melaksanakan tugas.
Syabas diucapkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, kerana memilih individu sesuai menerajui NFDP.
Daripada memperuntukan belanjawan tinggi buat kepakaran asing, pendekatan memberi kepercayaan kepada anak jati tempatan jelas satu tindakan wajar.
#fadriz hazis #Lim Teong Kim
;