Tangguh dulu pelaksanaan PBS

Amidi Abd Manan
Februari 18, 2014 11:13 MYT
Pelbagai isu melingkari pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Perubahan demi perubahan yang begitu drastik bermula dari Oktober 2013 sehingga hari ini menunjukkan wujud masalah yang serius dalam perancangan dan pelaksanaan PBS ini.
Permasalahan SPPBS yang dijangka hanya dapat diselesaikan pada April ini, adalah satu di antara berpuluh permasalahan yang perlu diselesaikan. Ia menunjukkan satu kecuaian yang besar yang menggendalakan seluruh mekanisme PBS ini.
Justeru itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut agar pelaksanaan PBS ini ditangguhkan serta merta bagi membolehkan kajian, perancangan dan persiapan infrastruktur dibuat sebaik mungkin. ABIM berpandangan bahawa PBS adalah satu lonjakan besar (giant leap) dalam sistem pendidikan negara.
Masyarakat yang telah terbiasa dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan perlu diberikan penerangan yang mencukupi dari segala sudut. Begitu juga dengan para pemimpin terutamanya Menteri Pendidikan Pertama dan Kedua serta para pegawai Kementerian Pendidikan perlu menghayati konsep dan kaedah pelaksanaan PBS ini bagi menjamin keutuhannya.
Penggantungan ini perlu dilakukan sehingga:
1. Kajian yang menyeluruh serta model pelaksanaan diuji sepenuhnya bagi menjangka segala keperluan serta faktor perencat kepada PBS ini.
2. Penerangan yang jelas dan menyeluruh kepada semua lapisan rakyat Malaysia khususnya melibatkan pihak PIBG harus dilakukan demi mengelakkan kekeliruan dan percanggahan maklumat di setiap peringkat pelaksanaan serta untuk memastikan aspirasi besar dari dasar ini benar-benar difahami oleh ibu-bapa.
3. Latihan dan kursus berkaitan pentaksiran seperti pembinaan instrumen yang sesuai dan berkesan diberikan kepada para guru. Begitu juga latihan dalam membina kaedah pengajaran dan pengujian bagi mentafsir dokumen yang diperlukan.
4. Pemantapan struktur pentadbiran dan organisasi di Kementerian Pendidikan yang mengikut keperluan PBS seperti kewujudan kelompok guru pakar yang betul-betul boleh memberi bimbingan yang berkesan.
5. Mengupaya Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara agar mampu menjadi tempat rujuk dan pemain barisan hadapan dalam pelaksanaan PBS ini.
6. Bilangan murid dalam kelas sesuai dengan pelaksanaan PBS ini. Nisbah hanya wajar mengambil kira jumlah guru yang terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) sahaja. Maka jumlah guru dan bilangan sekolah perlu ditambah mengikut keperluan lokaliti.
7. Sistem sokongan guru dalam melaksanakan PBS perlu dilengkapkan terlebih dahulu bagi menjamin kelancaran pelaksanaannya.
ABIM merakamkan kekesalan kerana para pemimpin negara tidak mengambil iktibar kegagalan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dibuat dengan tergopoh-gapah tanpa kajian yang mencukupi.
Akhirnya kita menganiayai anak bangsa sendiri yang diperlakukan seperti tikus putih yang menjadi bahan ekperimen yang merugikan. Pengulangan kesilapan yang serupa menunjukkan pendidikan kita ditadbir dan diurus dengan penuh kecuaian dan kelemahan.
ABIM juga menyarankan agar sebarang penambahbaikan dan perubahan pada mana-mana peringkat dalam sistem pendidikan samada dasar, pengurusan mahu pun prasarana hendaklah menerusi satu kajian yang utuh demi kebaikan dan manfaat generasi masa hadapan. Sebarang perubahan yang bersifat populis perlu dihindari atas keghairahan mahu meninggalkan legasi yang boleh merencatkan pengukuhan sistem pendidikan arus perdana secara menyeluruh.
_________________
AMIDI ABD MANAN ialah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
*Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro Awani.
#PBS #pendidikan #Pentaksiran Berasaskan Sekolah #PPSMI
;