Tahap keselamatan Sukma perlu diketatkan

Fadzrie Hazis
Julai 14, 2013 08:02 MYT
Pendakwaan terhadap tiga atlet bola baling SUKMA, atas tuduhan merogol mencuri tumpuan laporan media arus perdana minggu ini.
Tertuduh Megat Farzeril Megat Razali, Muhammad Shaizzad Md Shafie dan Adib Adha Ismail didakwa merogol seorang wanita berusia 20 tahun yang juga penolong pegawai pengiring pasukan, di sebuah bilik di Blok Enggang, Kolej Kedua Universiti Putra Malaysia, UPM.
Mereka didakwa di tiga mahkamah sesyen Petaling Jaya, secara berasingan di hadapan Hakim Yasmin Abdul Razak, Hakim Abu Bakar Manat dan Hakim Rozina Ayob.
Sebutan bagi kes ini, ialah pada 20 Ogos depan.
Insiden ini jelas, menggemparkan pemerhati sukan tempatan dan juga membuktikan, kawalan keselamatan perlu ditingkatkan ketika temasya Sukma berlangsung.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut meluahkan rasa terkilan dengan insiden terbabit apabila beberapa atlet dan pegawai daripada pasukan bola baling lelaki Wilayah Persekutuan telah membawa masuk minuman keras ke dalam UPM yang menjadi perkampungan Sukma.
"Mereka telah minum minuman tersebut di gelanggang bola keranjang Kolej Kedua UPM. Saya memandang serius perkara ini," katanya.
Khairy turut mengarahkan agar MSN membuat satu "post-mortem" segera supaya kejadian tersebut tidak berulang pada mana-mana temasya kebangsaan akan datang.
Saranan Khairy pantas disahut MSN, apabila Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zolkples Embong dengan penubuhan jawatankuasa siasatan khas.
Selaku bekas wartawan yang pernah membuat liputan temasya Sukma sebelum ini, saya tidak menafikan,
terdapatnya kelemahan daripada aspek keselamatan yang mampu merintis kemungkinan untuk perkara yang tidak diingini terjadi.
Temasya ini perlu menjadi medan terbaik menonjolkan atlet berpotensi dan bukannya, tempat berlakunya perkara tidak diingini terhadap atlet, mahupun pegawai pasukan.
Diharapkan insiden yang berlaku ini, dijadikan iktibar kepada semua pihak terlibat.
#Kolum #MSN #rogol #SUKMA #Zolkples Embong
;