Sukan SEA uji keterbukaan Myanmar

Fadzrie Hazis
Oktober 5, 2013 10:13 MYT
Baru-baru ini saya, sempat mengikuti delegasi Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) ke Myanmar, bagi memantau persiapan negara itu selaku tuan rumah Sukan Sea ke-27, Disember ini.
Selama sedekad bergelar wartawan sukan, ini adalah kali pertama saya menjejak kaki ke bumi Myanmar yang jelas berbeza dengan negara-negara yang pernah saya kunjungi sebelum ini.
Sebelum ini, saya hanya mendengar perkhabaran mengenai negara itu dari rakan setugas di bilik berita, Ashwad Ismail yang pernah membuat liputan lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Yangon pada April 2012.
Justeru, apabila SAM memutuskan untuk mengadakan lawatan pra-Sukan Sea kedua selepas temasya dua tahun lalu di Indonesia, saya tidak melepaskan peluang untuk melihat dan merasai sendiri suasana di negara bekas pemerintahan junta tentera ini.
Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, delegasi SAM dibawa makan tengahari di sebuah restoran tempatan yang halal.
Kami kemudian memulakan perjalan dengan bas selama enam jam, ke Napyidaw yang juga pusat pentadbiran baru kerajaan Myanmar.
Selain Yangon, beberapa acara sukan akan turut dipertandingkan di Napyidaw pada temasya Sukan Sea kali ini.
Dalam perjalanan menuju lebuhraya, saya dapat melihat suasana bandaraya Yangon, yang jelas jauh berbeza dari Kuala Lumpur serta bandaraya lain di kalangan negara Asean seperti Jakarta, Singapura dan Bangkok yang kerap saya kunjungi ketika membuat tugasan.
Kesan daripada pemulauan masyarakat antarabangsa sebelum ini, Myanmar ketinggalan kira-kira 30 atau 40 tahun berbanding negara Asean lain seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia mahupun Vietnam.
Memang saya mengakui, mengalami sedikit kejutan budaya ketika berkunjung ke Myanmar serta timbul rasa simpati terhadap kedaifan sebahagian besar warga negara ini.
Tatkala kita di Malaysia menyuarakan rasa kesal dengan kenaikan harga minyak, warga Myanmar pula mengharungi cabaran berliku dalam menumpuh kehidupan harian mereka untuk mencari sesuap nasi.
Apa pun, saya dimaklumkan pemandu pelancong untuk delegasi SAM, yang bernama Wyn, bahawa kehidupan harian warga Myanmar kini sebenarnya sudah bertambah baik dengan pendekatan kerajaan negaranya untuk memulakan dasar lebih terbuka, serta proses pengdemokrasian yang kini sedang giat berjalan.
"Sebelum ini, tiada mesin ATM pun di negara kami.Tetapi kini sudah ada dan saya percaya, kesediaan pihak kerajaan kami mengamalkan dasar yang lebih terbuka mampu membantu pembangunan negara," kata Wyn.
Wyn turut menjelaskan kepada saya, kini rakyat Myanmar boleh berbicara mengenai politik negara mereka secara terbuka kerana sebelum ini, tindakan seperti itu membolehkan seseorang itu ditahan pihak berkuasa kerajaan junta.
Justeru, penganjuran Sukan Sea juga dapat kita simpulkan, sebagai antara usaha Myanmar membuktikan kepada masyarakat antarabangsa, mengenai komitmen mereka terhadap proses pengdemokrasian.
Apa pun, berdasarkan pemerhatian saya kerajaan Myanmar tampak komited mempromosikan penganjuran Sukan Sea, dengan terdapat banyak papan iklan di sekitar Yangon dan Napyidaw mengenai temasya serantau itu.
Kerajaan Myanmar juga turut membina beberapa kompleks sukan dan stadium baru di Napyidaw, bagi menjayakan penganjuran Sukan Sea 2013.
Difahamkan, pembinaan komples sukan yang baru di Napyidaw sudah bermula sejak Januari 2011 dan ia menunjukkan juga, kesungguhan Myanmar untuk menjadi penganjur yang baik.
Namun, disebalik kesungguhan Myanmar, petugas media yang bakal bertugas untuk liputan Sukan Sea tetap perlu bersedia menghadapi kesulitan sepanjang temasya kali ini berlansung.
Antara kesulitan yang pasti perlu ditempuhi, adalah perkhidmatan internet yang tidak sepantas negara-negara lain.
Kementerian Sukan Myanmar memberi jaminan, masalah ini akan cuba diatasi sebelum Sukan Sea dibuka secara rasmi pada 11 Disember ini.
Kerajaan Myanmar juga sudah bersedia untuk menyediakan pengankutan awam buat petugas media di Napyidaw, bagi memudahkan petugas media membuat liputan.
Selain berkunjung ke kompleks-kompleks sukan yang baru di Napyidaw, delegasi SAM juga dibawa melawat Stadium Thuwunna Youth Training Center (YTC) di Yangon.
Ketibaan kami, disambut Pengarah Media dan Komunikasi, Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF), Soe Moe Kyaw, yang juga pengurus skuad B-23 Myanmar, pada temasya Sukan Sea kali ini.
MFF turut komited memastikan saingan bola sepak Sukan Sea berjalan lancar, apabila sudah melakukan proses pembaikan padang Stadium Thuwunna.
Soe Moe mengakui, selaku tuan rumah Sukan Sea buat kali pertama sejak 1969, pingat emas bola sepak adalah sasaran utama Myanmar kali ini.
"Saya kerap memberi peringatan kepada pemain-pemain kami, bahawa mereka perlu bermain demi masa depan kerjaya mereka, bola sepak negara ini serta menunaikan harapan peminat setia mereka," kata Soe Moe.
Kenyataan Soe Mow jelas satu amaran buat skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee, yang mempunyai misi mempertahankan kejuaraan pingat emas Sukan Sea pada temasya kali ini.
Namun, Soe Mow menamakan Thailand dan Malaysia, sebagai ancaman utama Myanmar dalam acara bola sepak.
"Kim Swee seorang jurulatih yang baik dan anda juga mempunyai pemain-pemain yang mempunyai kemarihan teknikal yang baik, serta mampu bermain mengikut perancangan taktikal jurulatih.
"Secara peribadi, saya lebih gentarkan Thailand tetapi berhasrat, untuk bertemu Malaysia di petnas final," kata Soe Mow.
Dalam pada itu, Soe Mow turut memberi penerangan kepada delegasi SAM, mengenai saingan Liga kebangsaan Myanmar dan pendekatan MFF dalam usaha mengikut segala piawaian AFC dalam mengendalikan sebuah liga profesional.
Saya percaya, saingan bola sepak pada temasya Sukan Sea kali ini, akan menjanjikan saingan sengit seperti ketika di Jakarta, dua tahun lalu.
Secara keseluruhan, saya percaya kunjungan delegasi SAM ke Myanmar mencapai objektifnya.
Seperti yang ditekankan Presidennya,Ahmad Khawari Isa, kunjungan pra Sukan Sea SAM, membantu petugas-petugas media arus perdana Malaysia, membuat persediaan sebelum melakukan tugasan dan ia pasti memberi hasil positif.
Justeru, selaku Exco SAM, sudah pasti saya secara peribadi berasa kecewa kerana terdapat segelintir pihak yang memperlekehkan lawatan SAM ke Myanmar.
Sebahagian besar daripada 33 ahli SAM yang mengikuti delegasi ke Myanmar, akan kembali ke negara itu untuk liputan Sukan Sea Disember ini.
Kini, hasil daripada lawatan pra Sukan Sea SAM, mereka pasti sudah mengenal pasti kesulitan yang akan dihadapi dan mampu membuat persediaan terbaik bagi memastikan tugasan mebuat liputan berjalan lancar.
#Fadzrie Hazis #Myanmar #Sukan SEA
;