Sukan dan semangat Asia

Dr Azlinariah Abdullah
Mei 26, 2014 16:04 MYT
xxx
PADA Ahad, final Piala Thomas di New Delhi, India dianggap sukan paling bersejarah di Asia.
Sebagai hos, India, demokrasi terbesar dunia yang baru sahaja memilih barisan pemimpin susulan pilihan raya paling lama, boleh senyum bergaya. Sukan badminton Piala Thomas menjadi perhimpunan kemanusiaan yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan.
Kuasa Asia
Di sukan itu, ada pasukan China, kuasa ekonomi Asia terbesar; Indonesia, negara Asia yang penduduknya luar biasa ramai; Korea Selatan, negara budaya K-Pop yang sedang cuba bangkit menyaingi China.
Malah, sukan itu juga ada Jepun, negara Asia yang paling pantas bangkit berbanding negara Asia walaupun kerap kali dirundung malang di segi hukum alam dan geografi. Ia juga ada Malaysia, negara kecil yang bakal dipandang besar kerana peranan signifikan dan suara lantang di pentas global. Lebih dari itu, di mata negara Asia, Malaysia, kerana keharmonian dan kestabilan politiknya, ia paling menonjol berbanding Filipina, Kemboja, Laos dan Brunei.
Manakala, tempat penganjuran pula ialah India, negara paling padat penduduk tetapi turut sama berlumba-lumba menyaingi China di segi ekonominya. Penting bagi India, menonjolkan kestabilan dan keamanan dalam penganjuran sukan prestij itu, lebih-lebih lagi selepas pilihan raya diadakan dengan bekas Ketua Menteri Gujarat, Narendra Modi disebut-sebut bakal Perdana Menteri baru nanti. Jangan dilupakan Modi ialah menteri yang bertanggungjawab dengan rusuhan agama _Islam dan Hindu pada 2002 yang meragut 1,000 nyawa kebanyakannya beragama Islam.
Perhimpunan bermakna
Perhimpunan mereka semua - tidak kira pemain, pasukan, jurulatih, penyokong dan peminat di New Delhi, India itu nyata lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi. Inilah istimewanya sukan.
Liputan bersejarah
Maka dari satu segi, Piala Thomas kali ini bersejarah kerana liputan acaranya ke seluruh dunia secara lintas langsung bukan saja melalui televisyen tetapi juga telefon pintar dalam bentuk Internet dan media sosial, khususnya Facebook dan Twitter. Teknologi maklumat dan komunikasi mengubah dunia dan manusia dengan tahun 2014 ini melihat kecanggihan yang lebih tinggi.
Pada lapis lain, pentas itu juga dikuasai negara-negara yang ada pertelingkahan antara sesama mereka.
China contohnya, ada rasa tidak puas hati dengan Jepun, sejarah silam banyak menghantui dua negara jiran ini. China juga ada “hal” dengan Malaysia, baik cerita MH370 yang belum selesai dan juga perebutan gugusan pulau Spratly di Laut China Selatan.
Begitu juga Indonesia-Malaysia. Abang-adik dalam rumpun sama ini turut dibayangi hubungan panas dingin kerana pelbagai isu. Sudah pasti, jika patriotisme kuat, sedikit sebanyak masalah negara akan terselit sama dalam fikiran rakyatnya.
Sukan, toleransi dan integrasi
Seorang sahabat saya menyatakan kepercayaannya terhadap sukan dan integrasi. Katanya, “Bahawa melalui sukan, komuniti daripada pelbagai latar belakang budaya di Asia dapat diintegrasikan sebagai satu kelompok,’’ katanya kemudian menekankan “politik tidak dapat melakukannya, tetapi sukan sebagai sebagai kegiatan universal yang dapat dihargai oleh semua bangsa mampu mewujudkan perasaan saling faham-fahami, bertoleransi di antara satu sama lain.
Sahabat saya itu meminta saya membayangkan semasa bermain, latar belakang, keturunan, isu, warna kulit tidak dipedulikan, apa yang difikirkan ialah keseronokan bermain kerana mendapat mata demi mata, memupuk sikap toleransi dan menerima budaya berbeza.
“Maka, ketika bermain melawan pasukan yang dianggotai oleh negara yang ada “hal”, mereka juga akan dapat berinteraksi dan sekurang-kurangnya melunturkan prejudis terhadap pesaing.’’ kata sahabat saya yang merupakan ahli antropologi itu.
Kalau dahulu, sifat kenegaraan itu dikaitkan dengan angkatan tentera yang berperang mempertahankan raja masing-masing di bawah bendera kebangsaan mereka, tetapi kini, pada zaman yang menolak peperangan, pada masa akan datang identiti negara dizahirkan di Sukan Olimpik dan sukan-sukan lain seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel atau pertandingan dunia seperti Piala Dunia, tanpa terkecuali Piala Thomas, dengan atlet dan pemain menjadi pejuang baru bagi mempertahankan bendera negara mereka masing-masing.
Kejutan Jepun
Di final Piala Thomas pada Ahad, Jepun buat pertama kali menang dan merangkul juara manakala China pula mengejutkan semua kerana ditumpaskan Jepun (China dan Indonesia paling digeruni dalam temasya), manakala Malaysia mahu menjayakan misi jadi juara selepas 22 tahun.
Azam dan semangat itu sudah pasti dibawa bersama pemain semasa beraksi. Namun, pemain Jepun dan Malaysia; China dan Indonesia, begitu juga Denmark tidak sedikit pun mempamerkan prejudis sepanjang perlawanan berlangsung.
Inilah keadaan di mana, sukan dan permainan antara negara dilihat mampu merapatkan hubungan antara rakyatnya kerana semangat kesukanan dapat mengendurkan perasaan negatif, dan akhirnya sebarang masalah diselesaikan menurut pertimbangan khusus sesuatu isu, dan bukannya atas prejudis serta kebencian.
Persidangan Asia
Pada awal Jun ini, 2 hingga 4 Jun akan ada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-28 (The 28th Asia-Pasific Roundtable) di mana pelbagai latar belakang disiplin pemikir akan berhimpun melontarkan idea untuk usaha memakmurkan rantau ini.
Bermula dari isu memahami kuasa baru dan hubungannya dengan anggota entiti, demokrasi Myanmar, pilihan raya Indonesia, ekonomi India dan hubungan China-Jepun sehingga kesediaan Malaysia memikul peranan peranan Pengerusi ASEAN pada 2015, semuanya dibincang dan dikupas penganalisis sempena perbincangan ilmiah itu nanti. Paling menarik perhatian nanti ialah sesi pleno, “Is Japan Back” yang akan dipengerusikan Profesor David Welsh dari University of Waterloo, Kanada.
Mengambil kira kemenangan pertama kali Jepun pada Piala Thomas 2014 dan bayangan sahabat saya tentang sukan, integrasi dan sosiopolitik, ada baiknya juga kalau ada pemikir yang boleh turut sama membincangkan bagaimana konsep sukan boleh dikaitkan dengan usaha menyelesaikan masalah sosiopolitik jangka panjang.
#badminton #China #Indonesia #Jepun #MH370 #Piala Thomas #skuad Malaysia
;