Skuad hoki cetuskan harapan, Harimau Malaya hidupkan cabaran
Fadzrie Hazis
Mac 24, 2013 08:30 MYT
Mac 24, 2013 08:30 MYT
Syabas diucapkan kepada skuad hoki kebangsaan, bimbingan Paul Revington yang berjaya muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, minggu lalu.
Revington tampak berjaya memberi nafas baru kepada permainan skuad Negara, dengan bijak mencari kombinasi terbaik antara pemain muda dan senior yang berjaya menjelmakan kombinasi ampuh.
Namun, pengendali berusia 39 tahun ini belum lagi puas hati kerana masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, sebelum bersaing di saingan Piala Asia dari 24 Mei hingga 3 Jun di Ipoh, serta Liga Dunia, dari 27 Jun hingga 7 Julai di Johor Bharu.
“Di Piala Sultan Azlan Shah, pemain-pemain Negara kini sudah menunjukkan keyakinan apabila bersaing dengan pasukan-pasukan ternama dunia. Tetapi masih ada kelemahan yang perlu diatasi.
“Kami akan cuba meningkatkan lagi keberkesanan pukulan sudut penalti, serta membentuk pertahanan lebih ampuh sebelum ke dua misi penting itu,” kata Revington ketika menjadi tetamu di Sukan Awani Ekstra, Sabtu lalu.
Revington turut memuji kelibat penyerang Negara, Faizal Saari dan penyerang veteran, Chua Boon Huat.
Bagi bekas pengendali Afrika Selatan dan Ireland ini, gandingan dua pemain itu berjaya membentuk rangkaian serangan yang diharapkannya buat skuad kebangsaan.
Sasaran pengendali berusia 39 tahun ini, ialah untuk muncul juara di Piala Asia, serta kedudukan terbaik di kalangan enam Negara bersaing di Liga Dunia.
Apa yang pasti, saya percaya Revington dan penolongnya, Arul Selvarajah kini berada di landasan tepat dalam usaha meningkatkan tahap skuad hoki Negara.
Revington pernah dipilih sebagai jurulatih terbaik dunia 2011 oleh badan hoki dunia, FIH.
Kelibatnya di hoki antarabangsa, boleh ditafsirkan mirip Jose Mourinho dalam sukan bola sepak, kerana menceburi bidang kejurulatihan pada usia muda.
“Sebagai pemain, saya hanya beraksi sebagai pemain B-21 Afrika Selatan dan terpaksa menamatkan karier pada usia awal, kerana masalah kecederaan.
“Saya kemudian menceburi bidang kejurulatihan dan saya akui, tidak menjangka mampu mencapai tahap kejayaan kini.
“Saya sentiasa meletakkan sasaran tinggi buat diri saya dan tidak pernah berpuas hati dengan kejayaan yang sudah dicapai,” kata Revington.
Diharapkan Revington dan Arul, akan terus meraih kejayaan buat skuad Negara di pentas antarabangsa.
Kejayaan skuad bola sepak kebangsaan pimpinan Datuk K Rajagobal, menewaskan Yaman 2-1 pada aksi kumpulan D Jumaat lalu, menghidupkan kembali peluang ke pusingan akhir.
Namun, masih jauh perjalanan dan masih ada kelemahan yang perlu dipertingkatkan Rajagobal sebelum berdepan Bahrain di laman sendiri, Oktober depan.
Sebelum aksi dengan Yaman, Rajagobal tampak terjerat dengan beberapa akhbar tempatan, apabila mengatakan Malaysia keandusan penyerang kerana kehadiran awing import dalam kancah tempatan.
Akhbar terbabit terus mengaitkan Rajagobal dengan artikel 88, kerana mengkritik dasar FAM.
Secara jujur, saya kurang bersetuju dengan laporan beberapa akhbar arus perdana terbabit yang bagi saya jelas, mempunyai agenda tersendiri.
Ingin saya jelaskan di sini, saya bukan mempertahankan Rajagobal, tetapi kecewa dengan dua akhbar terbabit kerana ia bukan waktu sesuai untuk membangkitkan isu terbabit.
Skuad kebangsaan ketika itu dalam persiapan berdepan Yaman, perlawanan yang perlu dimenangani untuk menghidupkan peluang ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
Apa pun, Rajagobal tetap perlu bertanggunjawab, sekiranya kita gagal ke pusingan akhir, kerana sejak meraih kejuaraan Piala Suzuki 2010, dia meletakkan sasaran untuk mara ke pusingan akhir.
Justeru, bagi saya buat masa ini, biarkan Rajagobal melaksanakan tugasnya, sekiranya gagal, barulah desakan untuk pembahruan dalam pimpinan skuad Negara dilakukan.
Keutamaan bukanlah menaikan atau menjatuhkan mana-mana individu, tetapi kepentingan dan kebaikan skuad kebangsaan