Salahkan juga diri kita sendiri

Norizan Sharif
Jun 24, 2014 14:26 MYT
Keadaan remaja OKU, Muhamad Firdaus Dullah, 15 ketika ditemui Sabtu lalu - Foto Bernama
1. Cerita anak OKU yang dibiarkan kurus kering dan tidak terurus di Nilai mendapat perhatian media. Seperti biasa, masyarakat menuding jari menyalahkan ibu.
2. Saya tidak mahu mempertahankan tindakan ibu tersebut. Memang salah. Cuma, berapa ramaikah yang bertanya di manakah ayah kepada anak tersebut? Ataupun, keluarga mereka yang lain?
3. Mengapakah pemimpin setempat atau jabatan kerajaan yang dipertanggungjawabkan gagal mengesan kes ini? Bagaimanakah jaringan keselamatan sosial (social safety net) boleh bolos?
3. Insiden ini tidak terpencil. Ramai ibu memelihara anak sendirian -- tanpa penglibatan ayah. Sebahagian ibu tidak mampu menanggung beban itu dan memilih jalan sedemikian untuk menyelesaikan masalahnya -- walaupun tindakan itu tidak betul.
4. Isu ini membawa kita kepada persoalan yang lebih besar. Berapa ramaikah dari kita yang prihatin kepada apa yang berlaku di sekeliling, termasuklah dalam keluarga dekat kita sendiri?
5. Berapa ramaikah dari kita yang membantu anggota keluarga OKU dari keluarga kita sendiri? Berapa ramaikah kita yang mengorbankan percutian ke luar negara untuk mendampingi dan memberikan bantuan kepada mereka?
6. Berapa ramaikah yang sanggup bercuti untuk menjaga ibu dan bapa yang terlantar di atas katil hospital - atau adakah kita saling berdalih dengan adik-beradik yang lain?
7. Cukupkah dengan pulang pada hujung minggu atau "apabila ada kelapangan," ambil gambar mak dan ayah sedang nazak di atas katil hospital dan upload ke Facebook untuk menunjukkan rasa prihatin kepada mereka?
8. Sementara saya faham rasa marah kita kepada perlakuan ibu kepada anak OKU di Nilai, kita juga harus menuding jari kepada diri sendiri!
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.
#norizan sharif #OKU #Perspektif
;