Rasuah bola sepak kembali
Fadzrie Hazis
Mei 24, 2013 07:00 MYT
Mei 24, 2013 07:00 MYT
ISU gejala rasuah bola sepak kembali, menghantui arena sukan negara selepas aksi Liga Perdana minggu lalu antara Kuala Lumpur dan Sime Darby FC.
Pada perlawanan itu, peminat setia skuad warga kota membawa kain rentang yang tertulis "Bookie 5-0 Fans" yang memberi gambaran mereka sudah mendapat maklumat tepat mengenai keputusan perlawanan.
Kemungkinan peminat terbabit mahu membuktikan, perlawanan itu sudah pun diatur dan kemungkinan besar, ia sudah pun bertapak kembali dalam saingan Liga M seperti yang disyaki ramai pemerhati.
Pada minggu ini juga, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mededahkan, hanya lima persatuan negeri yang menubuhkan Jawatankuasa Intergriti seperti yang disarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM.
Pendekatan Khairy untuk kementeriannya mengambil langkah proaktif dalam memerangi gejala ini, jelas satu langkah yang bersesuaian bagi memastikan ia tidak menular dengan skala besar seperti 1994.
Namun, ia memang mengecewakan apabila hanya segelintir persatuan negeri yang komited dalam memerangi gejala ini.
Bagi saya, tindakan tidak bertanggungjawab persatuan terbabit pasti menimbulkan persoalan iaitu, mengapa mereka melengahkan penubuhan jawatankuasa itu.
Soalan kedua, apakah mereka melengahkannya kerana adanya agenda lain?
Usaha memerangi gejala rasuah memerlukan kerjasama erat antara FAM, KBS dan juga pihak berkuasa seperti Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Jadi sudah pasti, apabila terdapat sesetengah persatuan negeri yang tidak memberi kerjasama, ia akan membantutkan usaha itu.
Selain bola sepak, badminton turut mencuri tumpuan minggu ini dengan kegagalan skuad kebangsaan dalam saingan Piala Sudirman.
Tindakan Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia, BAM N Chin Chai untuk berundur sebagai Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T) badan induk itu amatlah dialu-alukan.
Sekurang-kurangnya dia bertanggungjawab, di atas kegagalan skuad negara pada saingan kali ini.
Tetapi, beberapa media tempatan pada minggu ini, turut melaporkan, pihak pengurusan BAM dimaklumkan mengenai kelibat beberapa pemain dalam aktivi judi sehingga keluar lewat pada hari pertandingan.
Perkembangan ini jelas merisaukan dan ia turut mendapat perhatian Khairy, yang kecewa dengan perkembangan ini.
Mungkin juga pegawai-pegawai BAM perlu mempelajari sesuatu di sini.
Sebelum ini, mereka kerap kelihatan berat sebelah dalam membariskan pemain-pemain ke kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia.
Pemain-pemain naungan BAM sentiasa mendapat kelebihan, walaupun kadang-kala terdapat pemain negara lain yang tidak bernaung di bawah badan induk itu berada di ranking yang lebih tinggi.
Pemain-pemain yang pernah menjadi mangsa dalam situasi ini ialah, pasangan beregu KLRC, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.
Saranan saya buat BAM, buatlah pemilihan secara merit dan berikan tempat kepada mereka yang layak bersaing.
KLRC juga menjadi bumbung kepada ramai pemain tempatan, yang juga berhak bersaing di kejohanan utama dengan membawa cabaran negara.
Saya percaya, sistem pilih kasih ini harus diluputkan dalam usaha kita menghasilkan pemain-pemain berkualiti selepas Datuk Lee Chong Wei serta pemain-pemain seangkatan dengannya bersara.