Rasuah bola sepak: Hentikan sandiwara

Fadzrie Hazis
Februari 9, 2013 06:15 MYT
Pendedahan pihak Europol terhadap sindiket mengatur keputusan perlawanan dan gejala rasuah bola sepak global jelas menggemparkan peminat bola sepak seluruh dunia.
Tidak mustahil, ia mungkin mengaitkan kancah Liga M, memandangkan beberapa dalang sindiket itu adalah warga Singapura dan beroperasi di Republik itu.
Risau dengan situasi ini, saya cuba mendapatkan gambaran lebih jelas, adakah kemungkinan atau sah membabitkan kancah bola sepak negara, seperti era 90an.
Justeru, saya bertemu dengan bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Malek Rahman yang pernah digantung selama satu setengah tahun pada 1994, kerana terbabit dengan gejala itu.
“Sudah pasti ia membabitkan Liga M, benda ini dah seluruh dunia. Cuba kita lihat pasukan-pasukan utama dunia. Real Madrid ditaja Bwin, ia adalah laman web pertaruhan dalam talian, manakala penaja utama La Liga, adalah laman pertaruhan terbesar di dunia,” kata Malek.
Memang Malek pernah memberikan pandangan yang sama, ketika muncul di program Dengan Izin, yang dihoskan blogger sukan tidak asing lagi, Rizal Hashim, terbitan Astro Arena tidak lama dulu.
Tetapi bagi saya, ia memberi kesan yang sedikit berbeza apabila saya sendiri menemu bualnya.
Ia kerana Malek adalah antara pemain yang pernah saya idolakan di era 90an, ketika berada di bangku sekolah.
Saya kerap menonton kelibat bekas perancang Selangor itu beraksi di Stadium Merdeka, malah pernah meminta tandatangannya selepas Malaysia muncul juara Pesta Bola Merdeka 1993.
Rasa simpati terpancar di hati saya, apabila mendengar jawapan Malek kepada soalan-soalan yang saya tanya kepadanya.
Dengan wajah yang kesal dengan kesalahan lalu, Malek secara terbuka mengakui bersedia, untuk memberikan kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi gejala ini.
Mungkin FAM, SPRM dan juga pihak berkuasa lain wajar menerima pelawaan Malek untuk memastikan barah yang pernah melumpuhkan bola sepak negara pada pertengahan 90an, tidak kembali lagi.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai penulis sukan sejak 2003 bersama tiga media arus perdana, saya percaya gejala ini masih berlaku ketika ini dan besar kemungkinan ia bukan hanya membabitkan pemain malah juga pegawai pasukan Liga M.
Beberapa tahun lalu, terdapat seorang pemain (kini bersara) bertanya kepada saya,”Sedar tak, setiap game kami menang, tapi kita pasti lepas satu gol,” kata pemain itu.
Ia secara tidak langsung memberi gambaran, keputusan perlawanan membaitkan pasukan pemain itu sudah pun diatur keputusanya.
Seorang lagi pemain dari pasukan sama, pernah mengakui dia bebrapa kali dimarahi apabila menjaringkan gol.
Dalam hal ini, pemain ini mungkin tidak terbabit dan ikhlas memburu jaringan pasukan.Tetapi tindakannya, menyebabkan beberrapa rakannya yang terbabit, gagal memastikan keputusan tepat perlawanan.
Difahamkan SPRM sudah mempunyai senarai beberapa pemain dan juga pegawai yang disyaki terbabit tetapi belum ada sebarang tangkapan dibuat selain insiden membabitkan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan tahun lalu.
FAM dan SPRM juga sebenarnya sudah mempunyai jawatankuasa bersama untuk memerangi gejala ini.
Namun, persoalan yang pasti berkisar ialah mengapa tiada lagi tangkapan yang dibuat, terhadap pemain atau pegawai Liga M.
Adakah SPRM masih mengumpul bukti? Bersikap berhati-hati atau terdapat faktor lain yang membataskan tindakan pantas diambil.?
Peminat tidak wajar disajikan sandiwara di dalam padang yang aksinya dilakar mereka yang bertuhankan wang.
#bookie #Europol #Malek Rahman #Rasuah bola sepak
;