Ranking Harimau Malaya menjunam, China dominasi badminton

Fadzrie Hazis
Mac 16, 2013 07:00 MYT
KETIKA ranking dunia FIFA terbaru dikeluarkan minggu ini, kemerosotan ranking skuad negara sememangnya sudah dijangka selepas kekalahan 2-0 kepada Qatar dalam aksi pertama, saingan kelayakan Piala Asia.
Kedudukan di ranking 164 dunia kini,menghampiri ranking terendah negara di 170, yang diraih pada 2008.
Mungkin masih ramai dikalangan peminat tempatan menjangka, ranking skuad kebangsaan akan melonjak naik selepas kejayaan di Piala Suzuki AFF 2010, tetapi hakikatnya, tidak banyak mata diperolehi ketika itu, kerana setiap perlawanan pada saingan itu hanya diklasifikasikan sebagai perlawanan antarabangsa Kelas A.
Hanya pertandingan kejohanan FIFA-AFC, seperti kelayakan Piala Dunia dan Asia, serta pusingan akhir kedua-dua kejohanan itu yang mampu memberi pungutan mata maksima buat setiap negara anggota.
Kerana itu, saya tidak pernah bersetuju dengan kenyataan pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal bahawa ranking itu tidak penting.
Mungkin benar, kadang-kala ia tidak menggambarkan kekuatan sebenar, tetapi sasaran untuk memperbaiki ranking dunia skuad kebangsaan, wajar menjadi keutamaan FAM kepada sesiapa saja yang menjawat kerusi pengendali kebangsaan.
Kini, satu cara yang mampu melonjakkan semula ranking skuad kebangsaan, ialah dengan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia, bermula dengan kemenangan berdepan Yaman, pada aksi kedua Kumpulan D kelayakan Piala Asia.
Namun, ia jelas satu tugasan sukar walaupun, ia adalah sasaran Rajagobal sendiri untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.
Yaman, Qatar dan juga Bahrain adalah tiga negara yang mempunyai ranking yang jauh lebih baik berbanding skuad kebangsaan dan barisan negara, turut tidak mempunyai rekod baik berdepan negara-negara Asia Barat.
Apa pun, mungkin lebih adil jika kita biarkan dulu Rajagobal mencanang formula dan taktikal yang dirasakan terbaik, untuk memastikan sasaran ke pusingan akhir tercapai.
Bagaimanapun, Rajagobal perlu sedia bertanggungjawab seandainya, Harimau Malaya gagal dalam tugasan getir kali ini.
Tatkala skuad senior berjuang di kelayakan Piala Asia, barisan pelapis negara, skuad Harimau Muda A pula berlepas ke Slovakia pada Sabtu untuk latihan dan siri aksi persahabatan selama lima bulan di negara Eropah Timur itu.
Lima belas aksi persahabatan, juga sudah diatur buat skuad kendalian Ong Kim Swe sebagai persiapan, sebelum memulakan misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun ini.
Diharapkan kunjungan ke Eropah kali ini, mampu memberi pulangan yang kita harapkan terhadap barisan pelapis negara ini.
Saingan badminton All England tahun ini, menyaksikan tumbangnya wira badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di tangan Chen Long pada aksi di pentas akhir.
Kejayaan bintang baru China itu membuktikan, Negara Tembok Besar itu sudah tidak memerlukan kelibat Lin Dan, untuk meraih kejuaraan utama Siri Super.
Ia turut membuktikan, China kini sudah ada pelapis berkualiti yang sudah mampu menjadi sandaran utama, sedangkan Malaysia masih perlu mengerah kudrat Chong Wei.
Seorang lagi harapan baru China ialah Du Pengyu, yang tampak akan turut mendominasi saingan antarabangsa selepas ini.
Chen Long dan Pengyu kini menghuni tangga kedua dan kelima ranking dunia BWF.
Chen Long sebenarnya seangkatan dengan pemain negara, Arif Latif di peringkat remaja antarabangsa.
Namun, peningkatan mendadak Chen Long di peringkat senior, jelas menyerlahkan potensi yang dimilikinya.
Manakala Arif masih terkial-kial mengukuhkan kedudukan ranking dunia untuk saingan peringkat senior.
Di sini, terbukti China mempunyai program pembangunan pemain yang berkesan sejak lebih sedekad lalu dan ia bukan masalah menghasilkan pelapis berkualiti.
Pemain-pemain negara pula, seakan sukar menepati potensi yang dimiliki di peringkat remaja, apabila melangkah ke saingan senior.
Kerana faktor ini, pucuk pimpinan BAM, yang diketuai Datuk Seri Nadzmi Salleh wajar memberi tumpuan penuh kepada aspek pembangunan akar umbi.
Malangnya, Nadzmi kini lebih cenderung merebut jawatan Presiden BWF, meskipun masalah di laman sendiri belum dapat ditangani dengan berkesan.
#Fazrie #harimau Malaya
;