Raja mungkin mangsa terbaru Artikel 88
Fadzrie Hazis
Mac 30, 2013 06:26 MYT
Mac 30, 2013 06:26 MYT
Minggu ini bola sepak mencuri tumpuan dan fokus kembali terarah kepada Artikel 88.
Pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal kini berkemungkinan menjadi mangsa terbaru artikel tersebut, selepas menyoal tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM membenarkan kelibat pemain import kembali ke kancah Liga M.
Dalam laporan kebanyakan media arus perdana, Rajagobal mengakui negara kekurangan penyerang tulen dan kehadiran pemain import membataskan peluang pemain tempatan.
Persoalannya di sini, mengapa Rajagobal memberi reaksi sedemikian rupa yang jelas memberi peluang buat media tempatan menjerat kenyataannya dengan Artikel 88?
Rajagobal memberikan reaksi itu, selepas tewas 4-1 di tangan Arab Saudi dalam aksi persahabtan sebelum berdepan Yaman, di kelayakan Piala Asia minggu lalu.
Dia pasti menyedari, sesetengah akhbar arus perdana, menanti peluang seperti ini untuk menjeratnya dan berkemungkinan menyebabkan Rajagobal dipecat FAM.
Terdapat kemungkinan, bekas pengendali Selangor dan Kelantan ini sudah tidak dapat menangani tekanan tetapi enggan melepaskan jawatannya.
Mengapa dia berbuat demikian? Kerana difahamkan terdapat klausa dalam kontraknya, yang menggariskan dia perlu dibayar pampasan jika ditamatkan kontrak oleh FAM.
Difahamkan kontrak Rajagobal dianggarkan berjumlah sekitar lebih RM 50,000 sebulan dan dia bakal meraih pampasan tinggi jika dipecat.
Bagi saya sebagai seorang penulis sukan selama sedekad, saya tiada masalah dengan pengendali ini yang mula saya kenali pada 2004, ketika dia mengendalikan skuad remaja kebangsaan di saingan Piala Remaja AFC B-20 tahun di Johor Bahru.
Namun, apabila gagal, mana-mana jurulatih sekali pun perlu bertanggungjawab dan sejak kejayaan Piala Suzuki 2010, ia jelas sekali Rajagobal berdepan kegagalan demi kegagalan.
Ia bermula dengan pusingan kelayakan Piala Dunia 2014, dengan kekalahan aggregat 6-4 di tangan musuh tradisi, Singapura.
Selepas itu, kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki apabila kita kecundang di tangan Thailand pada peringkat separuh akhir.
Kini, cabaran lebih sukar menanti Rajagobal dalam saingan kelayakan Piala Asia, mujur Malaysia berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Yaman, selepas tumpas 2-0 di tangan Qatar dalam aksi pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak sebelum ini menegaskan, Rajagobal tidak akan terlepas daripada hukuman, selepas didapati mengkritik dasar badan induk itu.
Manakala Rajagobal pula enggan memberi reaksi mengenai kemungkinan beliau dikenakan hukuman penggantungan, sama seperti bekas pengendali kebangsaan sebelum ini, B Sathianathan.
Tatkala itu, beberapa media arus perdana pula pasti melihat ini adalah peluang untuk mencalonkan nama pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee sebagai pengendali skuad senior.
Bagi saya, Kim Swee jelas seorang pengendali muda yang berkarisma dan pasti satu hari nanti, beliau akan diberi peluang melatih barisan senior negara.
Namun, pada pengamatan saya, jika benar jodoh Rajagobal tidak berpanjangan di FAM, mungkin buat masa kini calon import diberi peluang untuk memberi nafas baru kepada skuad kebangsaan.
Jangan salah tafsir pandangan saya, saya juga turut mengenali dengan dekat Kim Swee dan tiada agenda peribadi untuk tidak bersetuju dengan media arus perdana lain.
Cuma bagi saya, Kim Swee kini turut mempunyai tugasan penting membimbing skuad Harimau Muda A yang juga skuad pelapis kebangsaan.
Misi utamanya, sudah pasti mempertahankan kejuaraan pingat emas Sukan Sea di Myanmar pada hujung tahun ini.
Justeru, tiada salahnya jika beliau meneruskan misinya buat negara.
Buat jangka masa pendek, saya tetap dengan pendirian melihat FAM melantik tenaga import sebagai jurulatih skuad senior negara, jika benar Rajagobal bakal tersingkir.
Jawatankuasa Tatatertib dijangka membuat keputusan mengenai hukuman terhadap Rajagobal pada minggu yang akan datang dan sama-sama kita lihat, sama ada “King Raja” akan terus mengendalikan skuad senior kebangsaan.