PRU13 tidak jejas Grand Prix Emas Terbuka Malaysia

Syamil Izwan Azizan
Mei 6, 2013 12:08 MYT
Kehangatan kempen sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 sedikit menenggelamkan arena sukan tanah air.
Namun ia tidak menjejaskan penganjuran kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2013 yang berlangsung dari 30 April sehingga 4 Mei.
Ketiadaan jaguh perseorangan nombor satu dunia dan negara, Datuk Lee Chong Wei akibat kecederaan membuka ruang buat pemain-pemain pelapis membuktikan kemampuan masing-masing.
Peluang itu bagaimanapun tidak dimanfaatkan sepenuhnya Liew Daren dan Chong Wei Feng yang masing-masing gagal untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.
Sebaliknya Goh Soon Huat mencuri tumpuan apabila menjejak kaki ke pentas final sebelum tunduk kepada pemain Indonesia, Alamsyah Yunus.
Pada pandangan saya, selain Soon Huat, kegagalan pemain-pemain lain menggunakan kesempatan yang diberi memberi gambaran mereka tidak mampu menjadi pengganti kepada Chong Wei yang semakin di penghujung karier.
Lantas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu meneliti semula adakah program dan pemain sedia ada ketika ini mampu dijadikan sandaran bagi membawa cabaran negara ke temasya Sukan Olimpik Rio 2016?
Sementara buat gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, kemaraan ke final sudah dijangka apatah lagi turun sebagai pilihan utama.
Tetapi mampukah pencapaian ini memberi gambaran awal mereka sudah bersedia bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Guangzhou, Ogos nanti?
Selain itu, arena bola sepak tempatan bersedih susulan pemergian bekas pemain kebangsaan zaman 70-an dan 80-an, Yahya Jusoh.
Allahyarham yang menderita kanser prostat menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah Selasa lalu selepas diserang demam panas beberapa hari sebelumnya.
Antara pencapaian terbaik Allahyarham ialah membantu kemaraan skuad Olimpik ke temasya 1972 di Munich dan Moscow 8 tahun kemudian.
Minggu lepas Editor Sukan Awani, Fadzrie Hazis ada menyentuh mengenai program Ride With Pride hasil usahasama Institut Sukan Negara (ISN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Selepas ketua jurulatih skuad berbasikal trek, John Beasley membuat keputusan menangguhkan pengumuman nama 4 atlet yang disenarai pendek, ia mengundang persoalan.
Beasley memutuskan nama atlet itu hanya diketahui selepas temasya Sukan Malaysia, Julai depan.
Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad bagaimanapun berpandangan tindakan itu tidak relevan.
Diharapkan perkara ini tidak menjejaskan tumpuan atlet berkenaan serta tidak mencetuskan lebih banyak campur tangan pihak yang tidak terlibat.
#badminton #PRU13 #syamil izwan azizan
;