Popular, terbaik dan bersih
Syazwan Zakariah
April 12, 2013 07:35 MYT
April 12, 2013 07:35 MYT
Saya masih mengingati drama terawal, atau mungkin yang pertama, lakonan Shaheizy Sam bertajuk Pa’e semasa dia baru berusia 16 tahun. Lakonannya memberi kesan, membuatkan saya berharap apabila dia dewasa nanti mampu menjadi sehebat Rosyam Nor atau Sidi Oraza yang popular ketika itu.
Menyepikan diri beberapa tahun kerana fokus kepada pengajian, Sam kemudian muncul sebagai penyanyi/pemuzik menerusi kumpulan MOB. Kumpulan rap hip hop itu tidak sempat mengeluarkan album, tetapi membuat penampilan istimewa dalam sebuah lagu dan video muzik nyanyian Syafinaz Selamat.
Itu serba sedikit sejarah kerjaya Sam yang saya tahu. Apabila dia berlakon semula, banyak filemnya yang kurang menyerlah atau mungkin kerana dia bernaung di bawah label Metrowealth (MIG) kepunyaan David Teo, membuatkan ramai memandang enteng akan bakat besarnya.
Watak-watak yang diberikan juga kurang menyerlah, lebih cenderung kepada peranan pembantu sehinggalah tiba-tiba filem Adnan Sempit meletup di pawagam pada awal tahun 2010. Watak Adnan itulah yang mengangkat namanya, meletakkan dia antara aktor yang paling kehendaki sejak itu.
Sejujurnya, para pelakon di Malaysia tidak boleh menjadi terlalu selektif jika lakonan adalah periuk nasi utama. Saya, sejak menonton Pa’e, dapat merasakan Sam adalah antara pelakon berkarakter, yang mampu meladeni apa saja peranan. Namun kerana tuntutan wang, Sam tidak mampu untuk terlalu cerewet.
Saya pernah mengkritik gaya lakonannya dalam filem Sekali Lagi, di mana dia membawakan watak seorang lelaki yang dipercayai mengidap autisme. Ulasan itu diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia dan saya tidak menyangka menerima reaksi dari Sam apabila dia menulis emel secara peribadi kepada saya.
Bukan mahu menyelar atau menidakkan pandangan saya, tetapi Sam memberi justifikasi mengapa stail lakonannya tidak adil untuk disamakan secara terus dengan beberapa watak yang menjadi rujukan saya.
Sam juga memohon maaf berkali-kali di dalam emelnya, meminta agar saya tidak tersinggung, juga meminta maaf jika lakonannya tidak memuaskan. Ini bukti Sam seorang penggiat seni yang amat peduli dengan hasil kerjanya.
Saya fikir dengan sifat rendah dirinya itu dan keikhlasannya terhadap apa jua yang dikerjakan, menjadi magnet untuk dia disenangi dan disayangi peminat. Sam adalah contoh terbaik di mana bakat dan populariti harus berjalan seiring – kriteria yang seharusnya ada dalam setiap selebriti.
Populariti itu penting untuk survival, untuk terus kekal dalam industri yang amat kuat saingannya. Namun, mutu adalah aspek yang menjadi tunjang utama untuk seseorang itu kekal diingati, dihargai dan diangkat sebagai anak seni sejati.
Kemenangan kali kedua Sam merangkul Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) pada Ahad lalu menjadi testimoni pengaruhnya masih kuat. Tahun lalu dia gagal mempertahankan gelaran yang sama kerana diambil alih Aaron Aziz.
Para pengundi Sam menilai mutu kerja yang ditampilkan seperti dalam 8 Jam, Songlap dan Saya Amat Mencintaimu (SAM), serta melihat trek rekod kerjanya yang diiktiraf juri profesional.
Setakat ini, Sam berjaya merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM23 menerusi Evolusi KL Drift 2 (2010), Pelakon Lelaki Terbaik FFM24 melalui Kongsi (2011), Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin menerusi Songlap (2012) dan penganugerahan tertinggi sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2013, juga menerusi Songlap.
Jejaka 31 tahun ini juga mempunyai imej yang bersih, bebas dari sebarang kontroversi, tanggapan negatif mahupun kisah-kisah cinta yang remeh. Faktor ini membuatkan Sam terus menjadi buah hati Malaysia, seperti mana Datuk Siti Nurhaliza yang turut sinonim dengan jolokan terbaik sekaligus paling popular.
Bercakap tentang persamaan di antara Sam dan Siti ialah, saya merasakan betapa pengurusan seseorang artis itu amat penting dalam perkembangan kerjaya. Siti ‘dijaga’ sendiri oleh ahli keluarganya, manakala Sam bertuah kerana bernaung di bawah ‘kilang’ industri perfileman Melayu, MIG.
Benar, barangkali MIG melebihkan kuantiti berbanding kualiti sesebuah produk, tetapi melihatnya dari sudut yang positif, syarikat ini telah membuka banyak peluang dan pendedahan kepada Sam. Jadual kerja dan publisitinya tersusun, perancangan kerjayanya sistematik dan strategik.
Hal ini turut dibuktikan oleh rakan sebumbungnya seperti Lisa Surihani dan Yana Samsuddin; yang juga pernah menang gelaran popular sekaligus terbaik.
Kata orang, tuah dan nasib itu kadangkala di luar kuasa dan kawalan kita. Tetapi, saya percaya dengan bakat, kerja keras dan keikhlasan, Tuhan membukakan jalan untuk kejayaan. Begitupun, setiap kecemerlangan itu juga satu ujian.
Syabas Shaheizy Sam.