Muktamar berakhir dengan air mata

Mohd Sayuti Omar
November 25, 2013 15:35 MYT
Muktamar PAS ke-59 sudah selesai dalam keadaan sedikit emosi. Muktamar tahun ini berlangsung dalam suasana suspens dan penuh dramatik ekoran berlaku pertandingan sengit. Perlawanan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden bolehlah dikatakan perjuangan hidup mati untuk calon-calon tertentu.
Alhamdulilah, antara mereka telah disiapkan liang lahad politik ternyata masih dapat menyelamatkan diri. Mereka masih disayangi. Ini menyebabkan muktamar ke-59 yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Stadium Melawati Shah Alam, bermula 22 dan berakhir 24 November itu bukan pengakhiran buat individu tertentu itu manakala bagi yang lain ia adalah permulaan yang baik.
Misalnya sekiranya penyandang timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu tewas ini bermakna masa depan politiknya sudah ikhlas. Kedudukan atau harapan untuk duduk di barisan hadapan sekurang-kurang di tempat hari ini sudah berakhir. Kerana itu bagi Mohamad Sabu perlawanan ini sungguh sengit dan mencabarkan buatnya.
Beberapa hari sebelum berlangsung muktamar kami ada bertemu di Shah Alam. Mohamad ada menyuarakan kebimbangannya. Beliau mengeluh, bukan takut kepada kekalahan tetapi kurang senang dengan gaya dan bentuk kempen yang keterlaluan.
"Aku dituduh Syiah, MSO," begitulah kata Mat Sabu dengan nada sedih dan kecewa. "Apa Syiah buktikan dulu. Aku hanya mengambil semangat revolusi Iran untuk menghadapi UMNO. Apakah kerana pernah ke Iran maka dituduh Syiah. Orang lain juga ada ke Iran beberapa kali tetapi kenapa tidak dituduh Syiah?" kata Mohamad Sabu lagi.
Dalam pertemuan itu saya turut kecewa dan hanya menasihatinya: "Abang Mat, Syiah tidak akan menyebabkan Abang Mat kalah, perwakilan bukan semua termakan dengan kempen-kempen liar itu sebaliknya ada yang menyampah."
"Dalam perlawanan nanti sama ada Abang Mat akan berdepan dengan Tuan Ibrahim, Husam atau Nik Amar, perwakilan akan lihat kepada track record masa lampau. Perwakilan akan menilik hal itu untuk mencari siapa timbalan presiden. Segala pengorbanan dan jasa tidak akan dilupai oleh mereka. Insya-Allah Abang Mat akan menang," kata saya untuk memberi keyakinan kepadanya.
"Hang tulislah apa-apa MSO bantu selamatkan PAS bukan saya. Saya tidak penting," katanya jujur.
Memang Mohamad Sabu sungguh bimbang dengan apa yang berlaku dalam PAS menjelang pemilihan itu. Kenapa tidak, kempen-kempen yang dibuat secara bersepadu dan dirancang begitu rupa ditujukan kepadanya. Misalnya sikap kurang berhati-hati Setiausaha Dewan Ulama, Dr. Khairuudin Razman Ramli mengomen mengenai Mohamad Sabu bersabit soal fakeh atau tidak di dalam agama adalah bentuk kempen yang agar kasar dan kurang santun menyebabkan saya menegur ahli parlimen Kuala Nerus itu. Mungkin bukan bermaksud Khairuddin untuk merendahkan Mohamad Sabu tetapi itu yang disuluh umum apa lagi ia dibuat menjelang pemilihan.
Alhamdulilah, seperti umum ketahui Mohamad Sabu menang dalam pertandingan itu dengan mengenepikan Nik Mohd Amar Abdullah yang mendapat dokongan penuh golongan menamakan diri mereka sebagai ulama. Nik Amar juga secara taktikalnya mendapat restu daripada Tuan Ibrahim Tuan Man, orang yang mendapat pencalonan terbanyak untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
Walaupun kemenangan itu kecil bagi Mohamad Sabu tetapi beliau harus berpuas hati kerana terpaksa mengharungi cabaran sebegitu hebat sekali. Mohamad Sabu mengutip sebanyak 588 manakala Nik Amar 490. Mereka dipisahkan dengan 98 undi sahaja. Sebagai percubaan pertama dengan mendapat undi lebih 40 peratus oleh Nik Amar itu, ia sudah memuaskan beliau dan merupakan pencapaian terbaik. Tidak mustahil Nik Amar akan membuat 'larian' kedua tiga tahun lagi.
Selain Mohamad Sabu ketiga-tiga penyandang naib presiden; Salahuddin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar juga dalam kedudukan yang sama. Mereka juga cemas dan bimbang. Mereka dilihat "tiga serangkai" yang mempunyai pandangan dan pendekatan politik moden yang sama. Mereka lekang dengan kopiah di kepala. Paling jelas ialah Husam Musa dan Mahfuz Omar, yang awal-awal lagi sudah dicanangkan oleh tukang kempen untuk dibuang. Target utama tokoh yang hendak disembelih bagaikan haiwan korban ialah Husam dan Mahfuz.
"Kita hendak buang Husan dan Mahfuz. Salahuddin kalau kalah kita nak lantik jadi Setiausaha Agung," demikian luah seorang tukang kempen di sebelah sini (ulama) yang begitu marah dan geram dengan ketiga-tiga naib presiden itu terutamanya Mahfuz dan Husam. Saya bertanya kenapa. Dia tidak menjawab tetapi saya mengetahui apa sebab musababnya. Sebabnya kerana orang ini melihat kedua naib presiden itu ada kes personal dengannya.
Senario dan realiti itu menyebabkan ketiga-tiga mereka agak cemas berhadapan dengan pemilihan dua hari lepas itu. Mereka dapat merasakan nasib buruk yang akan berlaku kepada mereka. Salah seorang mereka pasti akan terkeluar apabila Tuan Ibrahim Tuan Man masuk -- bertanding naib presiden. Mereka masing-masing sudah mengagak apa yang berlaku, dan agakan mereka itu benar.
Nampaknya Mahfuz menjadi mangsa keadaan. Nasibnya dipisah hanya 16 undi daripada Husam. Mahfuz mendapat 504 manakala Husam mendapat 520 menyebabkan Husam dapat mengekalkan kedudukannya dengan kelebihan undi sebanyak 16 undi dan mengalami kemerosotan undi yang begitu banyak berbanding dengan perolehan undi pada tahun 2011 dan meletakkan beliau di tempat ketiga dalam hiearki naib presiden.
Perpisahan yang amat sukar untuk dihadapi oleh ketiga-tiga mereka itulah menyebabkan pengakhiran muktamar semalam penuh dengan emosi. Husam sedih dan sebab dengan terkeluarnya Mahfuz yang beliau sifatkan pencapaian Mahfuz lebih baik daripadanya. Sallahuddin pula berkongsi air mata dengan Husam atas apa yang berlaku.
Selama tiga tahun mereka duduk bersama, merancang untuk masa depan parti khasnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 lalu yang membawa kejayaan yang tidak kurang hebat kepada PAS. Mereka sudah serasi merancang apa-apa pembaharuan di dalam parti. Mereka juga dilihat sesuai dan memahami aspirasi politik Pakatan Rakyat.
Sebagai sahabat tiga serangai, amatlah susah untuk mereka menghadapi perpisahan. Mereka bagaikan tiga sahabat yang sudah bersumpah sehidup semati dan berbai'ah memperjuangkan Islam. Sebab itulah bila salah seorang mereka tersingkir ia menyedihkan kerana semacam ada kekosongan.
Air mata Husam dan Salahuddin dan sesiapa saja yang berada di Stadium Melawati semalam harus dinilai ataupun dijadikan cermin merasai keikhlasan dan kejujuran perjuangan mereka. Tuduhan, penghinaan kepada mereka yang dilakukan sebelum ini hendak dibersihkan dengan linangan air mata berkenaan. Saya yakin air mata mereka bukan sahaja jernih tetapi juga suci!
Tempat ditinggalkan Mahfuz diisi oleh Tuan Ibrahim Tuan Man. Undi diperolehi Tuan Ibrahim sebanyak 849 sedikit mengejutkan kerana sebelum ini beliau dibayangkan mendapat untuk tertinggi. Beberapa jam sebelum berlangsung pengundian saya 'berteka-teki' dengan Abu Bakar Chik yang juga seorang calon presiden. Beliau yakin Tuan Ibrahim akan leading bahkan beliau meramalkan Husam akan terkeluar sama sekali. Manakala saya menyakini Husam yang leading. Ternyata teka-teki kami meleset apabila yang leading ialah Salahuddin yang mendapat sebanyak 917.
Adalah diharap kemasukan Tuan Ibrahim mengambil alih tempat Mahfuz secara penuh taktikal itu dapat memenuhi kehendak ahli atau dapat menerus atau membawa stail kerja seperti Mahfuz yang komited dan serius dalam gerak kerjanya. Tuan Ibrahim yang lebih dilihat sebagai tukang syarah atau penasihat agama akan mengubah bentuk gerak kerjanya menjadi penggerak dan aktivis seperti Mahfuz kalau mahukan nilai PAS yang sedia ada kekal atau bertambah.
Kalau Tuan Ibrahim hanya sedia menjadi tukang tulis, beri ceramah atau membaca doa, PAS akan mengalami kerugian. Nilai kerja PAS sedikit sebanyak akan terjejas. Kalau pun Tuan Ibrahim tidak dapat memperjuangkan sesuatu seperti apa yang Mahfuz lakukan iaitu mempertikaikan perlaksanaan AES, tetapi beliau harus tampil dengan satu wawasan dan idea setanding dengan itu.
Kehadirian Tuan Ibrahim nanti jangan memberi kesan negatif kepada kepimpinan ulama yang dibanggakan itu. Sekiranya beliau gagal maka Tuan Ibrahim perlulah mengambil risiko kerana disebabkan penyertaan beliaulah maka terombaknya kesepaduan tiga jeneral di dalam PAS.
Harapkan Tuan Ibrahim tidak akan menjadi pegawai Kagat di dalam Pas. (Bersambung). -- http://msomelayu.blogspot.com
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Tulisan ini pertama kali tersiar di blog Merah Tinta MSO.
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.
#Husam Musa #Khairuudin Razman Ramli #Mohamad Sabu #Muktamar PAS ke-59 #Syiah #Tuan Ibrahim
;