Menyusun semula UMNO

Ashwad Ismail
Oktober 1, 2013 12:13 MYT
JIKA dikira usia manusia, parti politik yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sudah boleh dianggap warga emas. Kalau sudah tua, secara lumrahnya mahu tidak mahu seseorang manusia itu tidak serancak zaman mudanya.
Tetapi ini sebuah parti politik. Usia bukan ukuran apabila membicarakan tentang jangka hayat untuk hidup lama. Paling penting ialah rasa ghairah dan berupaya berpencak seiring melodi zaman.
Apalah politik tanpa pertarungan di dalam seni sarat pelbagai kemungkinan. Justeru itu, pemerhati serta tukang tilik politik berpendapat, Pemilihan UMNO 2013 menjadi pentas terbaik untuk parti terbesar orang Melayu itu menterjemah apa yang disebut oleh ‘boss’ mereka sebagai transformasi.
Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Dr. Fuad Othman melihat orang UMNO perlu tahu bahawa rakyat membina persepsi dengan hanya melihat siapa muka baru yang menang dan siapa pula muka lama yang kalah.
“Rata-rata masyarakat di luar sana yang tidak ambil pusing sangat dengan politik kepartian hanya ada satu kebimbangan. Apakah kepimpinan baru kelak akan memberikan faedah kepada rakyat atau menzahirkan tanggapan elitisme yang sekian lama jadi stigma UMNO?” kata Dr. Fuad.
Tambah beliau, ahli-ahli UMNO yang bakal memilih nanti perlu berani dan berfikir panjang.
“Kalau aktornya masih majoritinya lama atau bayangan daripada generasi yang sudah tidak lagi berpijak di bumi dan masa yang nyata, apakah mereka mampu bersilat dengan melodi yang baru dan bersaing dengan eksekutif korporat muda yang terdedah dengan maklumat serta nilai hidup yang lebih terbuka dan universal sifatnya,” hujah Dr. Fuad.
Kata-kata penganalisis muda itu sepatutnya mengingatkan semula orang UMNO kepada amanat terakhir Almarhum Tunku Abdul Rahman selaku Yang Di-pertua UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 23-24 Januari 1971.
Dalam ucapannya di Hotel Merlin, Kuala Lumpur, Tunku mengingatkan orang UMNO tentang perubahan — supaya berubah mengikut peredaran zaman.
“Sekiranya maksud dan tujuan orang itu hendak memberi nafas dan semangat baru dalam parti, saya sangat-sangatlah bersetuju kerana ini akan menjadi dasar perjuangan kita, iaitu berubah mengikut peredaran zaman,” kata Tunku.
Tunku mengucapkan ideanya itu sebagai menjawab dakwaan kononnya wujud perpecahan dalaman UMNO. Ketika itu latarnya ialah tragedi berdarah 13 Mei dan pergolakan yang berlaku selepas kemunculan orang muda dalam UMNO yang mengkritik kepimpinan Tunku.
Dalam perhimpunan agung itu juga, Tunku meminta ahli-ahli UMNO untuk menyokong Tun Abdul Razak sebagai Yang Di-pertua UMNO yang baru untuk meneruskan perjuangan parti itu.
“Kita dalam UMNO dan Perikatan adalah berjalan mengikut kehendak peredaran zaman,” kata Tunku.
Pesanan Almarhum bekas Perdana Menteri itu nyata masih relevan dalam memposisikan semula UMNO pada abad ke-21 ini. Ini kerana cabaran yang dihadapi oleh UMNO adalah sama seperti parti-parti politik di negara lain yang telah lama memerintah.
Mesej daripada ucapan itu juga terdengar dalam setiap kali perhimpunan agung UMNO setiap tahun selepas pilihan raya umum 2008. Mesejnya, berubah atau sedia diubah.
Cabaran untuk berubah itu ialah menyesuaikan diri dengan perubahan yang sentiasa mendesak sesebuah parti politik itu mentafsirkan semula peranannya pada setiap masa. Walaupun sudah terbukti kekuatan UMNO itu kekal sebagai tulang belakang yang menunjangi parti pemerintah dengan memenangi 89 kerusi parlimen pada PRU-13 lalu namun rakyat masih menuntut perubahan.
Masyarakat sivil kini semakin hari semakin kurang bergantung kepada parti politik. Mereka boleh berkomunikasi secara terus dengan kelompok di tampuk kuasa hanya dengan ‘bermuka-buku’ walau di mana sahaja mereka berada.
Pemilihan kali ini dilihat bersejarah kerana buat pertama kalinya UMNO mengguna pakai sistem pengundian ala Amerika dengan berasaskan Badan Perwakilan Pemilih atau ‘Electoral College’.
Tetapi pada mata masyarakat — atau lebih tepat, pengundi — pendemokrasian itu sekadar proses. Apa yang seronok bagi mereka ialah pertarungan politik enam penjuru merebut jawatan Naib Presiden kerana ia tersirat bayangan jawatan nombor satu dan dua di masa hadapan.
Selain itu, pertarungan di peringkat sayap-sayap parti pula bertumpu kepada persoalan sejauh mana kuatnya Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk mempertahankan jawatannya selaku ‘kepala’ sayap wanita? Sejauh mana pula populariti Khairy Jamaluddin yang mewakili ‘tasawwur’ (pandangan) serta cita rasa anak-anak muda zaman sekarang itu berupaya meyakinkan ahli-ahli UMNO?
Oleh itu, dalam memilih warna masa depan, perkataan transformasi itu perlu dekat di dada 146,500 pejuang UMNO yang ‘berkuku’. Orang yang berhati perut UMNO itu ada kuasa dengan memanfaatkan demokrasi untuk menjadi pencatur yang berupaya membina pasukan yang bakal menempuh badai dan gelora politik menuju PRU-14 empat atau lima tahun lagi.
#Ashwad Ismail #PRU #UMNO
;