Mengapa perlu dengki pada Yasmin At Kong Heng?

Muzaffar Mustapa
November 21, 2014 08:30 MYT
Papan tanda muzium Yasmin At Kong Heng jadi tanda di sini mula langkah anda untuk menyelami kehidupan dan pemikiran Yasmin Ahmad.
Mengenang jasa seseorang yang pernah mencurah bakti kepada negara boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk. Salah satu daripadanya adalah dengan membina sebuah muzium agar generasi baru dapat mengenal dan berpeluang untuk menyelami kehidupan dan pemikiran individu tersebut.
Pada Sabtu lalu, sebuah muzium untuk Yasmin Ahmad yang dikenali sebagai Yasmin At Kong Heng dibuka kepada pengunjung bagi pengunjung menyelami kehidupan pengarah filem itu.
Filem-filem ikonik arahannya termasuk Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf, Talentime dan Rabun.
Tidak cukup itu, Yasmin juga jadi sanjungan dalam dunia pengiklanan. Iklan Petronas ilhamnya termasuk Tan Hong Ming bukan sahaja berjaya memenangi hati juri tempatan, malah turut menyentuh hati juri Festival Pengiklanan Antarabangsa Cannes Lion.
Menerusi kaca televisyen ini, pengunjung berpeluang untuk menonton iklan-iklan ternama karya Yasmin di Yasmin At Kong Heng. - Astro AWANI/Muzaffar Mustapa
Jasa Yasmin telah dikenang dalam pelbagai bentuk yang telah diusahakan oleh keluarga, sahabat dan peminatnya.
Buku pesanan Yasmin, How You Know? antara buku yang mesti beli di kalangan peminatnya. Generasi muda terus memujanya dan menjadikannya inspirasi dalam karya-karya mereka.
Satu trofi istimewa Anugerah Yasmin Ahmad dibuat khas untuk karyawan generasi muda di Anugerah Skrin yang kini telah pun ditiadakan dan yang terbaru pembinaan muzium Yasmin At Kong Heng di Ipoh, lokasi kegemarannya untuk setiap penggambaran filemnya.
Sewaktu diumum tentang pembinaan muzium tersebut, saya antara individu yang paling gembira. Walaupun muzium itu terletak di Ipoh, saya anggap ia bukan penghalang untuk saya ke sana.
KLIK GALERI FOTO: ADA APA DALAM MUZIUM YASMIN AT KONG HENG
Sewaktu ruang maya media sosial rancak berbicara mengenai acara perasmian muzium tersebut pada Sabtu, timbul suara-suara sinis yang mempertikaikan kewujudan muzium tersebut.
Saya tidak menafikan bahawa individu bernama Yasmin itu tidak pernah lekang dengan kontroversi. Sejak beliau mula mengarah filem hinggalah setelah kematiannya, namanya sentiasa menjadi bahan cercaan dan iri hati sesetengah karyawan.
Foto yang memaparkan ruang solat dan kebaya kegemaran Yasmin Ahmad di Yasmin At Kong Heng. - Astro AWANI/Muzaffar Mustapa
Iri sesetengah individu apabila melihat wujudnya sebuah muzium bagi memperingati jasanya semakin menebal. Hebat sangatkah Yasmin sehingga didirikan sebuah muzium untuknya? Sedangkan ada ramai lagi pengarah filem yang telah dijemput Allah tidak diberikan penghormatan sedemikian rupa.
Pertikaian mula menjadi topik perbualan. Maka tidak hairanlah apabila disenaraikan nama-nama pengarah yang lebih dahulu meninggalkan kita seperti Hussein Haniff, Jamil Sulong, Omar Rojik, M. Amin, Roomai Noor, Aziz Satar dan ramai lagi bagi menjadi penguat hujah di media sosial.
Saya tidak menafikan jasa yang telah dicurahkan oleh individu-individu yang disebut, malah mengaguminya. Benar, wajar sekali muzium untuk mereka juga dibina bagi memperingati jasa mereka.
Sayangnya, apabila mereka mempergunakan nama Yasmin sebagai kambing hitam untuk meluahkan rasa kecewa mereka, saya anggap ia sangat tidak wajar.
Dalam perjalanan ke Yasmin At Kong Heng, kita melalui Masjid Negeri Ipoh merupakan masjid yang menjadi lokasi penggambaran filem Muallaf. - Astro AWANI/Muzaffar Mustapa
Asasnya, muzium untuk Yasmin dibina dengan keringat dan wang ringgit yang disumbangkan oleh ahli keluarga, teman dan sahabat serta peminat-peminatnya. Tidak satu sen pun wang yang disumbangkan daripada dana kerajaan untuk membina muzium itu.
Malah, ruang setingkat yang didedikasikan untuk muzium itu juga diberikan oleh Old Block Sdn. Bhd. pemilik bangunan tersebut.
Mengapa perlu dipertikaikan?
Bagi saya, mengenang jasa seseorang individu itu perlu datang dari ahli keluarga itu sendiri dan bukannya sekadar mengharap dana kerajaan untuk membinakan sebuah muzium untuk mereka.
Bukan salah keluarga dan teman sekiranya mereka mencurahkan keringat dan wang ringgit mereka untuk pembinaan sebuah muzium. Dan bukan juga salah kerajaan sekiranya langkah pertama bukan dari mereka.
Langkah pertama perlu datang dari keluarga, anak, cucu atau cicit mereka sendiri. Saya pasti setiap ikon yang disebut mempunyai anak cucu mereka sendiri. Maka, mulakanlah langkah pertama anda.
Tidak perlu menzahirkan rasa cemburu di media sosial dengan mempertikaikan apa yang individu lain ada.
Keluarkan segala koleksi dan memori yang anda ada untuk memulakan sebuah muzium.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, kata pepatah Melayu. Janganlah sekadar menanti bantuan untuk bermula. Lepaskan tongkat dan terus berjalan dengan berani.
Tahukah anda yang pengarah Yasmin Ahmad membawa dua telefon bimbit bersamanya? - Astro AWANI/Muzaffar Mustapa
Mengapa perlu dengki pada muzium Yasmin At Kong Heng?
Memetik kata pelakon dan penyanyi Adibah Noor di ruang media sosial,
“Tiada keberuntungan yang diperolehi mereka yang membantu membina muzium ini, baik dari segi kewangan mahu pun kebendaan. Hanya kepuasan dan kasih sayang yang tidak pernah terhenti. Arwah tika hidupnya penuh liku dan tohmahan, namun dihadapi dengan redha dan kasih. Usahlah matinya yang masih diratapi juga hendak dipersoalkan dan didengki…”.
Ingatlah, langkah pertama bermula dari anak dan keluarga, bukan dana kerajaan. Mulakan. Ini cabaran.
------------------------------------------------------------------------------------------------------
Yasmin Ahmad meninggal dunia akibat angin ahmar pada 25 Julai 2009 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya.
Muzium Yasmin At Kong Heng yang terletak di Old Block Apartments, Jalan Sultan Yussuf, Ipoh dibuka pada Sabtu dan Ahad mulai pukul 10 pagi hingga 4 petang.
#filem #Yasmin Ahmad #Yasmin At Kong Heng
;