Mata pena seorang penyair
Fatin Nadia
Ogos 30, 2013 02:53 MYT
Ogos 30, 2013 02:53 MYT
Di seluruh dunia, dalam revolusi dan kebangkitan rakyat, sewaktu perang dan dalam harapan yang terbit daripada kemerdekaan dan keamanan sesebuah negara, ada penulis dan seniman, dalam diam atau di dalam penjara, yang tulisan-tulisan mereka menjeritkan penentangan atau harapan. Mereka mengarang puisi atau melukiskan gambaran yang merakamkan perjuangan, harapan dan impian masyarakat. Mereka adalah hati dan nurani rakyat yang menanam semangat kebangsaan dan kecintaan kepada ibu pertiwi.
Dahulu dan sekarang, banyak negara yang mempunyai penulis, penyair, pelukis dan pemuzik yang merupakan sebahagian daripada gerakan sosial. Seperti mereka, kita juga ada banyak sasterawan dan seniman yang boleh dibanggakan. Seorang daripadanya ialah Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Usman Awang yang dikenali sebagai penulis beberapa buah puisi kebangsaan yang menyentuh tentang kebebasan dan perjuangan menjadi sebuah negara merdeka.
Antara karyanya yang meneroka semangat itu adalah puisi-puisi seperti Tanahair, Merdeka, Jiwa Hamba, Pahlawan dan Tanahair dan Pahlawan Kemerdekaan. Puisi-puisi ini dihasilkan antara lewat 1940-an hingga lewat 1950-an. Tema utamanya ialah menentang penjajahan dan kebebasan, dan setiap makna daripada kata-kata itu.
Kebebasan yang beliau persoalkan terkandung dalam puisi bertajuk Jiwa Hamba. Ia sebuah puisi yang meminta pembacanya merenung dan mengubah diri sendiri sebelum kemerdekaan yang sebenarnya boleh dinikmati.
Kalau hidup ingin merdeka
Tiada tercapai hanya berkata
Tetapi cuba maju ke muka
Melempar jauh jiwa hamba.
Puisi itu ditulis pada 1948 namun mesejnya masih laku sampai sekarang. Adakah kita benar-benar merdeka? Selepas 56 tahun merdeka daripada Britain dan 50 pembentukan negara yang kita panggil Malaysia, bolehkah kita dengan bangga berkata bahawa kita sudah bebas daripada belenggu yang mengikat kita dari segi intelektual dan emosi? Pertanyaan-pertanyaan ini masih penting sampai ke hari ini kerana kita tidak mungkin jadi sebuah negara yang kuat dan bangga dengan warisan dan pencapaian yang ada sekiranya kita tidak membuang rantai halimunan yang membelenggu jiwa hamba.
Dalam sajak Tanahair, penyair yang juga dikenali dengan nama Tongkat Warrant itu menulis tentang kelahiran, duga dan kesengsaraan negara ini dan kewujudan apa yang dipanggil sebagai ibu pertiwi. Daripada buruh yang membanting tulang berbakti kepada tanah kepada manusia kental yang dewasa dengan perang, wira yang mucul daripada setiap lapisan masyarakat, kepada fajar yang menyinsing menyinari sebuah negara baru, puisi itu menumbuhkan inspirasi. Ia adalah satu peringatan tentang ibu pertiwi dan apakah ertinya kepada kita semua.
Sejak kebelakangan ini segelintir anggota masyarakat mempersoalkan apakah perlunya menunjukkan atau "meneriakkan" rasa kecintan itu, sama dengan dengan mengibarkan bendera atau menyanyikan lagu kebangsaan di pawagam. Walaupun ada benarnya bahawa patriotisme adalah lebih daripada hanya sekadar mengibarkan bendera, menyanyikan lagu kebangsaan dan slogan-slogan, membantah hal-hal itu adalah sesuatu yang sangat tidak wajar.
Satu jeritan yang banyak berulang meresap
meresap... seperti senyum gadis di pertemuan
menerawang... serupa gema di tengah malam
merempuh... seperti kereta kebal di medan perjuangan.
Pekiklah!
Jeritlah!
Dan...
Maralah!
Merdeka adalah satu laungan yang perlu diraikan, dihargai dan tanda bangga jadi sebuah negara yang bebas. Seperti mana ia membakar api nasionalisme dahulu, ia masih lagi hangat sampai sekarang ketika mana kebebasan dan rasa bangga jadi rakyat merdeka tidak lagi dipedulikan. Kita dihadapkan dengan persoalan: sekiranya kita sebagai rakyat tidak bangga dengan negara ini, siapa lagi yang akan rasa demikian?
Puisi-puisi Usman Awang masih relevan sampai ke hari ini sama sepertimana dahulu. Ini kerana negara ini tidak akan jadi sepertimana sekarang sekiranya kita tidak bergerak ke hadapan, memecahkan benteng dan halangan dan pada masa sama, menghargai dan memahami daripada mana kita bermula. Ia juga relevan sampai ke hari ini kerana masih ada banyak lagi yang perlu kita perbaiki dalam hal ehwal budaya, industri, politik dan akhirnya menerima siapa diri kita sebagai sebuah masyarakat dan negara.