Makan bukan lagi untuk hidup

Dr Azlinariah Abdullah
September 23, 2013 16:00 MYT
MASIH saya ingat dengan jelas apa yang guru mata pelajaran Sains saya ajar lebih 30 tahun lalu. Kata Cikgu Yusof, guru Sains saya itu, manusia yang menjadi penghuni alam ini memerlukan makanan untuk hidup. Tambahnya lagi, “makanan itu, yang sumbernya dari haiwan atau tumbuhan diperlukan manusia untuk teruskan kehidupan. Makan itu umpama cahaya matahari kepada pokok untuk memastikan kesuburannya.’’
Pengajaran itulah juga diterima anak-anak saya di sekolahnya sekarang, juga dalam mata pelajaran Sains. Yang berbezanya, perkataan digunakan bukan lagi “teruskan kehidupan” tetapi kelangsungan hidup atau survival. Seperkara lagi yang tidak sama, mereka (pelajar sekarang, termasuk anak-anak saya) diajukan soalan, makan untuk hidup atau hidup untuk makan?
Persoalan dan isu ini timbul disebabkan satu, makan itu perlu kerana selain untuk tenaga dan kenyang ia tidak boleh tidak diambil kerana sedap. Maka manusia akan meneruskan aktiviti makan kerana faktor sedap itu. Namun, soal ini menjadi kritikal apabila ia dikaitkan dengan terlebih makan, malah akan menjadi racun pula kepada manusia. Apabila menjadi racun, sifatnya tentulah membunuh. Bagaimana? Mudah saja. Apabila makan banyak, tidak sedikit penyakit yang diundang. Walaupun terlebih makan dan obesiti sebagaimana disebut sekarang, bukan penyakit berjangkit tetapi ia sendiri akan menjangkiti lalu mendapat penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung. Semua itu -- kencing manis; darah tinggi dan jantung bukan penyakit berjangkit tetapi penyumbang utama kematian kepada manusia.
Sejarahnya, dalam konteks negara ini, Malaysia tidak pernah hadapi atau alami masalah tiada makanan atau nutrisi atau kebuluran sehingga boleh digelar krisis kemanusiaan. Jika ada sekali pun, masalah sukar untuk makan -- ketika Perang Dunia Kedua di mana generasi dahulu terpaksa mengambil ubi kayu disebabkan kekurangan beras. Selain itu, selepas masa berlalu dengan pelbagai tahap kemajuan dan teknologi dicatat, orang di Malaysia pada umumnya tiada masalah makan, selebihnya, suka makan.
Dalam soal makan, saya tidak ambil contoh orang lain. Sebagai warga Kelantan, saya membesar dengan makan nasi tiga kali sehari. Pagi, nasi kerabu atau nasi berlauk; tengahari, nasi campur dan malam pula, kalau tidak nasi campur lagi, saya diminta makan nasi goreng. Kadang kala, sewaktu petang juga saya ambil nasi -- nasi dagang. Bayangkan, keadaan saya, makan nasi untuk hidup hampir 40 tahun. Mujur saya tidak sakit kerana terlebih makan. Saya adalah contoh tipikal orang Malaysia, makan dan makan.
Bagaimanapun, saya kira di luar sana, bukan warga Kelantan juga akan ditimpa sakit kerana terlebih makan. Kalau tidak masakan, perangkaan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini mendedahkan seramai 16.8 juta rakyat di Malaysia berdepan masalah obesiti. Semuanya kerana makan berlebihan. Malah, untuk menambahkan momok, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula membuat kenyataan bahawa obesiti bukan lagi penyakit tetapi sudah menjadi epidemik. Selebihnya, pertubuhan itu menyatakan, peratusan mereka yang akan alami obesiti akan terus meningkat menjelang 2020 berdasarkan gaya hidup manusia sekarang.
Ketika kita sibuk untuk mentafsirkan apa maknanya perangkaan 16.8 juta rakyat yang obes itu, ada baiknya kita lihat bagaimana cara manusia untuk teruskan kehidupan melalui makan itu. Seorang rakan saya ada berkata, “orang Malaysia bukan sahaja suka makan, tetapi gemar sembang, tonton dan lakukan aktiviti berkaitan makanan.” Lihat sahaja bulan Ramadan, tidak sedikit makanan dijual dan kemudiannya bertukar tangan kepada pembeli. Akui sahaja, buku paling laris, buku makanan dan resipi. Jangan tidak tahu, rancangan paling digemari ditonton, rancangan masakan. Itu pun belum tengok di dalam peti sejuk di rumah masing-masing, tentunya penuh dengan makanan, panjang lebar rakan saya itu melontarkan pandangannya sebelum bertanya kepada saya, apa simbol itu semua?
Saya cuma ada satu jawapan kepada rangkaian pendapat rakan saya itu. Kita terlebih makan, kita membazir terlalu banyak. Kita meminta terlalu banyak makanan, tetapi kita memberi amat sedikit. Bagaimana? Kita sebenarnya, tidak memberi nilai kepada makanan itu sendiri melebihi nafsu mahu makan untuk hidup.
Makanan dan minuman dibazirkan dengan begitu sahaja. Harga makanan sekarang bukannya murah, bukan seperti dulu. Harga gula juga dikatakan akan naik dalam tempoh terdekat, semuanya gara-gara kenyataan yang menyebut bahawa rakyat di negara ini mengambil gula secara berlebihan sekali gus penyumbang kepada obesiti, maka, itu adalah antara usaha untuk tanganinya.
Tetapi pembaziran makanan ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara maju di dunia dan di kalangan golongan kaya di negara-negara membangun dan miskin. Pembaziran ini masih berlaku di sebalik perangkaan Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB bahawa manusia yang berdepan dengan masalah kebuluran akan mencapai satu bilion orang hujung tahun ini. Kalau dahulu kebuluran dan kelaparan hanya berlaku di tempat-tempat terpencil dan bermusim, kini tidak lagi. Bayangkan, perang menjadikan manusia pelarian; bencana alam menyebabkan mereka menanggung teruk krisis makanan. Semuanya berlaku abad ini dan tidak terpencil lagi. Itu belum dikira krisis etnik yang terhasil akibat perang dan keganasan.
Sebagai penutup, saya petik lagi perangkaan WHO bahawa pada 2015 lebih kurang 2.3 bilion penduduk dunia akan mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 700 juta berdepan masalah obesiti. Bandingkan dengan statistik ringkas PBB mengenai manusia kelaparan. Dua senario berbeza: terlebih makan dan terkurang makan tetapi masing-masing berkongsi isu sama -- tentang makan dan soal hidup. Kerana lapar, manusia juga boleh mati, terlebih makan pula bermakna Adam dan Hawa menempah maut . Nampaknya makan bukan lagi untuk hidup. Hidup untuk makan pun bukan juga.
#kesihatan #makan #makanan #obesiti #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO
;