Lawatan Barca timbul banyak persoalan

Fadzrie Hazis
Ogos 18, 2013 08:00 MYT
Sepanjang minggu ini,kunjungan gergasi La Liga, Barcelona terus mendapat tumpuan media arus perdana, meskipun juara Sepanyol itu sudah pulang dan bakal memulakan aksi liga pertama berdepan Levante pada Ahad.
Namun, bukan kelibat Messi, Neymar mahu pun Cesc Fabregas yang masih diperkatakan, tetapi kelemahan pihak penganjur perlawanan Barcelona-Pilihan Malaysia.
Banyak persoalan dibangkitkan beberapa media tempatan berhubung penganjur perlawanan ini.
Antara persoalan yang dilontarkan, adakah B-S-C promoter perlawanan atau sekadar ejen pemain?
Ketika Kongres FAM pada Sabtu,Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, ejen perlawanan belesen dari FIFA tidak diperlukan, untuk menganjurkan perlawanan seumpama ini, kerana selaku badan induk bola sepak negara, FAM berhak menganjurkannya.
"Tidak terdapat peraturan mengenai penggunaan ejen perlawanan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kita juga tidak perlu menggunakan ejen perlawanan sebagai badan induk bola sepak negara," kata Hamidin.
Anehnya, Hamidin turut mengakui, FAM memberikan kebenaran kepada B-S-C untuk mewakili mereka dalam menganjurkan perlawanan ini, sedangkan badan induk itu sebelum ini pernah, menyifatkan syarikat itu seperti tidak menghormati mereka.
Lebih menyedihkan, apabila wakil media tempatan turut dianak tirikan ketika membuat liputan, tetapi media asing pula diberikan penganjur "yang dibenarkan FAM" mewakilinya.
Kemuncak kekalutan lawatan Barca, apabila gergasi Catalan itu enggan beraksi di Stadium Nasional dan lokasi perlawanan dipindahkan ke Stadium Shah Alam.
Sebelum ini, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang berkunjung ke Malaysia, dibawa oleh Proevents, sebuah syarikat yang mempunyai lesen ejen perlawanan dari FIFA.
Tiada kekalutan berlaku ketika kelab-kelab Inggeris ke sini dan pihak pengurusan Proevents juga sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan kesemua wakil media tempatan.
Apa sekalipun, sehingga kini tiada penjelasan telus mengenai kekalutan kunjungan Barcelona ini dan FAM perlu memastikan, situasi seperti ini tidak lagi berulang selepas ini.
#barcelona #FAM #messi
;