Kudeta bebaskan Hosni Mubarak
Wan Mahazir Wan Mahamud
Ogos 22, 2013 12:02 MYT
Ogos 22, 2013 12:02 MYT
Akhirnya bekas Presiden Mesir, Husni Mobarak dibebaskan. Telahan berhubung isu ini telah dibuat ramai penganalisis politik selepas ketegangan memuncak di negara berkenaan. Dalam masa sama, juga bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi meringkuk dalam tahanan untuk memastikannya tidak menjejaskan rampasan kuasa yang dilakukan tentera. Menurut bekas Ketua Pengarang Akhbar Al-Quds Al-Arabi, Abdul Bari Atwan, pembebasan Hosni menunjukkan Mesir seperti berundur 40 tahun ke belakang. Malah katanya, "Sesuatu yang tidak mengejutkan jika Hosni kembali memerintah".
Mengulas isu Mesir ini seperti memintal-mintal benang dan menyimpulnya di sana sini kerana ia melibatkan pelbagai isu, pihak dan kepentingan. Paling jelas ia memperlihatkan perebutan kuasa antara puak sekular dan liberal yang diwakili oleh Tentera Mesir dan kumpulan Islam yang diwakili oleh pergerakan Islam, Ikhwanul Muslimin. Apa yang pasti, menantikan Mohamed Morsi kembali ke kerusi presiden seperti menantikan bulan jatuh ke riba, kecuali Ikhwanul Muslimin berupaya mencari tongkat sakti. Tentera Mesir terlalu besar untuk ditentang. Beberapa minggu selepas rampasan kuasa, wartawan Al-Jazeera warga Mesir, yang pro Ikhwanul Muslimin, Ahmad Mansur menjelaskan, "Mohamed Morsi hanyalah sebahagian daripada senario politik lalu dan lipatan sejarah, apa yang paling penting sekarang kita tidak boleh membantah rampasan kuasa kerana mahukan Mohamed Morsi, sebaliknya kita harus menentang rampasan kuasa kerana mahu mempertahankan Revolusi 25 Januari".
PROJEK PEMBANGUNAN TERUSAN SUEZ
Beberapa bulan sebelum rampasan kuasa, antara isu kontroversi yang melanda pemerintahan Presiden Mohamed ialah projek pembangunan Terusan Suez yang akan mengangkat Mesir di mata dunia. Rundingan intensif diadakan di antara Kaherah dan Doha bagi menjayakan projek mega tersebut yang dianggarkan akan menelan belanja lebih 100 bilion dolar Amerika. Ia sudah tentu akan memberikan kelebihan kepada Qatar sama ada dari aspek pasaran gas atau pun kepentingan khusus yang diperolehi daripada pelaksaan projek berkenaan. Hakikat ini sekaligus akan menjejaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara Teluk lain dari aspek penjualan gas terutamanya. Malah agak keterlaluan apabila ada pemerhati menyifatkan projek gergasi itu akan menyebabkan Dubai terpaksa kembali mengembala kambing. Mungkin ini boleh memahamkan kita kenapa Qatar begitu membantah kudeta yang berlaku dan UAE sebaliknya.
Walaupun Terusan Suez yang akan dibangunkan akan memberi pulangan dan laba berganda kepada Mesir, puak liberal di negara itu nampaknya tidak berpuas hati. Justifikasi bantahan mereka ialah Mesir seperti menggadai negara kepada Qatar yang akan menjadi pelabur terbesar.
KEPENTINGAN NEGARA SERANTAU
Dalam masa sama, senario politik negara Sungai Nil ini seperti menyaksikan perang mulut tidak langsung antara Turki dan Arab Saudi. Turki mahu menentang kudeta dengan apa cara sekali pun, manakala Arab Saudi mahu kudeta berjaya walau terpaksa membayar harga yang tinggi berbilion-bilion dolar. Perdana Menteri Turki, Recep Taiyyib Erdogan 2 hari lalu mengecam keras tentera Mesir dan rampasan kuasanya. Dalam mesyuarat pucuk pimpinan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang dipimpinnya, Erdogan mendedahkan beliau ada dokumen rahsia yang membuktikan Israel mendalangi kudeta di Mesir bagi menyingkirkan presiden yang dilantik secara demokratik. Beliau juga mendakwa seorang pemikir Yahudi yang tidak didedahkan namanya telah bertemu dengan Menteri Keadilan Perancis pada 2011. Pemikir itu memaklumkan Ikhwanul Muslimin tidak akan berjaya memerintah walaupun mereka memenangi pilihan raya.
Sementara itu Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud Al-Faisal mula membayangkan keutamaan yang akan diberikan untuk membangunkan Mesir dan mengkritik negara-negara Barat yang sebelum ini mengancam untuk menghentikan bantuan. Malah beliau memberi komitmen untuk membantu Mesir jika bantuan kepada negara berkenaan dihentikan oleh barat atau Eropah disebabkan perkembangan di Kaherah sekarang.
Daripada satu sisi, mungkin boleh dilihat bantahan ditunjukkan Erdogan antara lain kerana beliau bimbang senario sama mungkin berlaku di Turki dan menggalakkan bala tentera Istanbul untuk menyingkirkan pemerintahannya. Apatah lagi Turki pernah menyaksikan 4 rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan dipilih rakyat yang paling akhirnya berlaku pada 1992. Tentera pada masa itu menggulingkan kerajaan Parti Refah pimpinan Necmetin Erbakan. Minggu lalu pula, mahkamah negara itu baru saja menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas Ketua Turus Tenteranya kerana merancang rampasan kuasa.
Sementara itu sokongan Riyadh pula dibaca sebagai kebimbangannya dengan kesan perubahan demokrasi yang mungkin boleh membolosi sempadan negaranya. Dalam masa sama Riyadh mahu membina kembali blok negara-negara Arab sederhana yang kini dilihat sudah terhapus dengan penggulingan Hosni Mubarak. Blok inilah yang dilihat menentang Saddam Hussein, menyokong Nato menentang Muammar Ghadaffi dan memainkan peranan penting untuk menjejaskan kestabilan pemerintahan Bashar Al-Assad.
TIADA YANG PASTI
Realiti di Mesir sendiri tidak pasti dan keadaan ini menggusarkan negara-negara berkepentingan. Tiada apa yang pasti di Mesir sekarang ini kecuali ia sememangnya tidak stabil dan terus bergolak dengan lebih ramai mangsa terkorban. Pertumpahan darah masih berlaku termasuklah di Semenanjung Sinai yang meragut 25 nyawa anggota keselamatan, atau di Penjara Abu Za'bal yang menyaksikan berpuluh-puluh tahanan berhaluan Islam terkorban.
Keputusan pembebasan Hosni mungkin sedikit sebanyak mendedahkan faktor-faktor rampasan kuasa. Nampaknya Mesir seperti berundur ke belakang dengan perintah darurat, undang-undang darurat, perintah berkurung dan kembali semula ke arah elemen pemerintahan diktator. Yang lebih penting, ia seperti mengucapkan selamat tinggal kepada revolusi dan demokrasi yang dikehendakki rakyat. Ya! Sesuatu yang lebih pasti, rakyat negara ini terus menjadi mangsa percaturan pelbagai pihak berkepentingan.