Ketekunan wartawan AWANI bertugas di hari mengundi
Amy Chan
Mei 9, 2013 07:42 MYT
Mei 9, 2013 07:42 MYT
SAYA amat terharu apabila AWANI dihujani ucapan demi ucapan tahniah dan terima kasih dari penonton AWANI yang mengikuti siaran langsung yang dipancarkan dari AABC Bukit Jalil. Mereka semuanya amat teruja dengan kelancaran yang terpancar di kaca televisyen dimana barisan pengacara AWANI diketuai oleh Pengarang Urusan Suhaimi Sulaiman (Cik Mie) sejak awal pagi Ahad lagi.
Saya telah diberi peluang untuk membantu Editor Eksekutif Ali Alimin untuk menerajui peranan sebagai penyelaras OB - penyiaran luar studio - kepada para wartawan di lokasi yang bertungkus lumus untuk memberikan hanya liputan yang terbaik sepanjang pilihan raya ini.
Rancangan Astro AWANI, iaitu Malaysia Memilih telah bersiaran selama dua hari dari 7 pagi sehingga 4 pagi hari yang berikutnya. Walaupun demikian, saya bersama dengan rakan penyelaras OB yang lain telah bertapak di dalam bilik kecil tersebut sejak dari 5 pagi lagi. (Ini tidak termasuk acara dry run yang kami secara berseloroh menamakan Larian Kering yang berlangsung dua kali sehari, pagi dan petang sepanjang minggu sebelum Hari Kejadian; hari sebenar Pilihan Raya yang kami suka suka sesama sendiri menggelarnya Hari Kejadian).
Sebagai penyelaras OB kami telah diberikan tanggungjawab untuk merancang masa dengan teliti untuk memastikan semua wartawan AWANI di serata negara dapat ditembual atau memberi laporan secara langsung atau “LIVE” untuk mendapatkan liputan yang paling menyeluruh.
Dari kamar kecil dimana saya terperusuk sepanjang liputan AWANI pelbagai perkara yang kadang kadang cemas dan ada kala lucu telah saya alami. Sedikit sebanyak, inilah sumbangan saya kepada pembentukan Parlimen ke-13, saya kira satu detik bersejarah sepanjang "18 tahun" perjalanan hidup saya.
Menerusi pengalaman saya semasa bertugas saya telah dapat mengumpulkan beberapa peristiwa yang yang memberikan saya pengalaman yang berlainan daripada hari biasa semasa bekerja.
ANUGERAH OSCAR AWANI
Pertama sekali, saya menyerahkan anugerah Tugu Negara PRU13, kepada rakan se-AWANI saya, Harris Hardy Hakim (Ayep). Di kalangan wartawan di medan, Ayep saya gelar Raja Aviwest untuk PRU ke-13 kali ini kerana dia telah berdiri secara tegak tanpa bergerak selama lebih daripada 45 minit dan tetap kelihatan segar. Output Editor (OE) Khairul Anuar Malik (Anuar Botak) turut kagum dengan kebolehan Ayep duduk diam begitu lama dan menyumbang idea sambil berkata, “Kalau Ayep berdiri lama lagi nanti Menteri Besar Johor baru akan mengawet Ayep untuk dijadikan tugu di Johor Bahru.” Mungkin YAB Datuk Khaled Nordin yang sudah masuk menduduki rumah MB di Saujana akan memberi cadangan ini pertimbangan yang wajar.
Selain Ayep, seramai 11 lagi wartawan Awani telah di tempatkan di serata negara iaitu Ashwad Ismail, Shafizan Johari aka AK, Rahimah Abdullah aka Ima, Nisa Kasnoon aka Juliet, Marlina Manaf aka Miki, Hakim Abdul Rahman aka Romeo, Irwan Mohd. Zain aka Irwan, Wan Syamsul Amly aka Tomok, Nabiha Hamid, Tan Su Lin aka Sunshine Sue dan Tunku Nashrul aka Nash.
Selain Ayep, setiap seorang daripada mereka ini mempunyai gelagat dan cerita yang berbeza.
Malang bagi Ima yang berada di Kedah, mahkotanya sebagai Ratu Aviwest (Aviwest merupakan peralatan yang digunakan untuk menyiarkan secara langsung di mana sahaja anda berada) bagi AWANI terlucut sepanjang minggu PRU13. Sebelum ini, sebut sahaja LIVE CROSS menggunakan Aviwest di medan, nama Imalah wartawan yang pertama diketengahkan untuk tugasan yang mencabar ini. Ima sering diperlukan untuk melakukan ulasan langsung atau “standupper” bagi sebarang acara yang penting. Pernah sekali dia juga bersiar secara langsung lebih dari 8 kali dalam hari yang sama.
Mahkota “keratuannya” terlucut akibat kegagalan mendapatkan perkhidmatan sambungan jalur lebar yang stabil untuk urusan pemancaran. Kegagalan itu telah menyebabkan Ima tidak dapat menyampaikan laporan yang telah disiapkannya sepanjang hari.
“Line yang elok hanya di Alor Setar je, langsung tak dapat nak cross dengan AWANI,” kata Ima.
CIK SITI WAN KEMBANG
Di Kelantan, Marlina juga menghadapi masalah untuk mendapatkan saluran jalur lebar yang stabil bagi membenarkan mereka untuk bersiar secara langsung bersama dengan rakan setugas di AWANI.
Su Lin di Sabah pula bejaya mendapatkan visual menarik matahari terbenam dengan usaha jurukamera Adzad. Shot yang begitu indah membuat saya tergamam sebentar dan mengingatkan diri mengenai percutian saya pada bulan Julai nanti.
Gelaran Miss Rayban pula saya beri kepada Nisa. Kasihan Nisa, pada waktu “rehearsal” dia kelihatan terkenyit-kenyit mata terkena pancaran matahari terik di Kuching. Ini disebabkan teguran Pengurus Saluran; Puan Rozi, yang mengingatkan kepada editor agar memberitahu kepada para wartawan untuk tidak memakai cermin mata hitam semasa bersiaran secara langsung.
Perkara yang saya paling ingat mengenai Nabiha yang berada di Perak, ialah walaupun dalam kesibukan seharian bertugas dia tetap berkesempatan untuk memperkenalkan cendol ais yang sedap di waktu matahari sedang terik.
Kalau ada jolokan Mr Wet Tee Shirt, anugerah dirangkul Ashwad Ismail yang berada di hot seat Shah Alam. Ash dengan beraninya mempamerkan aksi “basah kuyup” yang menyebabkan peminatnya di luar sana, bertalu-talu menyesakkan tweet @501Awani dan FB AWANI meminta agar hujan turun dengan lebih lebat lagi.
Shafizan Johari (AK) yang bertapak di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Tropicana, Damansara melakukan LIVE CROSS untuk English News pada jam 11 malam dengan aksi ala Amerikanya. Sudah tentu peminat Awani dari Illinois ke Iowa amat teruja mengikuti perkembangan politik tanahair, thanks to AK!
Tunku Nashrul dan Hakim yang masing-masing di Pulau Pinang dan Johor merupakan wartawan yang paling senang untuk bersiar secara langsung kerana mempunyai jalur lebar yang stabil. Pada satu ketika, Nash yang merupakan anak Tanjung yang berdarah biru dengan selamba bertutur dalam loghat "Utagha" – menyebut nama Pulau Tikus sebagai Pulau Tikiuiih – ala Tanjung. Hakim pula yang pada awalnya sepatutnya bermukim di Pulau Pinang tetapi dinaikkan pangkat untuk mengekori TPM ke serata dunia paling senang dihubungi walaupun beliau tidak dibekalkan laptop – sori ya Hakim. Dia sering diusik oleh rakan-rakannya agar dibekalkan bantal busuk dari ofis untuk menahan kerinduan terhadap semua rakan-rakan wartawan lain (ahem ahem ahem, Hakim).
DI MANA MEREKA?
Tomok pula diberi jolokkan MIA (Missing in Action) kerana hanya dapat dihubungi untuk bersiar secara langsung pada hari terakhir, kerana pelbagai masalah dengan peralatan DSNG yang diperuntukkan kepadanya dalam menjejaki kempen PM Datuk Seri Najib.
Adakah anda tertanya-tanya kenapa saya hampir tertinggal nama Irwan?
Irwan pula langsung tidak bersiaran secara LIVE kerana --- oops, Aviwest tak mencukupi. Akhirnya, Irwan ke sana ke mari antara KL, Melaka dan Negeri dan memberi laporan secara tradisi. Kita tunggu sahaja lain kali!
Tanpa usaha keras daripada para wartawan ini dalam menyumbang seluruh tenaga dan kepakaran untuk memberikan liputan terperinci dan telus, saya yakin rancangan Malaysia Memilih ini tidak akan dapat disampaikan dengan jayanya.
Sudah tentu, usaha siaran LIVE in tidak akan membuahkan hasil tanpa khidmat yang disumbang oleh jurukamera, OB engineer, krew Astro Production Sdn Bhd dan juga semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Saya mohon maaf tidak mampu menyenaraikan nama-nama mereka semua. Mereka yang semuanya, sudah tentu, ada cerita dan memori tersendiri. Saya percaya buat masa ini mereka memerlukan masa untuk berehat bersama keluarga. Satu hari nanti, kita akan cuba mengorek rahsia.