Ketam mengajar anaknya berjalan...
Jimie Cheng
Oktober 3, 2013 14:00 MYT
Oktober 3, 2013 14:00 MYT
Pada awal September 2013, Kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi minyak petrol dan diesel yang melihat harga minyak RON95 dan diesel naik 20 sen seliter. Antara sebab utama yang dinyatakan oleh Kerajaan ia adalah bagi mengurangkan defisit fiskal negara (secara ringkas: perbelanjaan melebihi pendapatan). Pengurangan subsidi tersebut dijangka menjimatkan kerajaan RM1.1 bilion bagi tahun 2013 dan RM3.3 bilion untuk setiap tahun berikutnya.
Baru-baru ini pula Kerajaan menaikkan duti eksais ke atas rokok sebanyak 14% yang menyebabkan harga rokok meningkat dalam lingkungan RM1.50 untuk setiap kotak 20 batang. Peningkatan duti eksais secara mengejut ini dibaca oleh saya sebagai langkah mudah untuk menambah pendapatan negara (atas isu defisit fiskal lagi) setelah cadangan mengurangkan subsidi gula ditentang hebat di kalangan rakyat.
Rakyat yang mengadu perihal kenaikan ini dimaklumkan oleh “perwakilan” Kerajaan (terutamanya Menteri-menteri) bahawa kenaikan harga terutamanya pengurangan subsidi adalah amat penting bagi memastikan perbelanjaan negara terkawal. Rakyat disuruh mengubah gaya hidup, mencari alternatif pengangkutan malah ada juga Ahli Parlimen yang menyatakan harga minyak naik tidak membebankan golongan miskin kerana hanya orang kaya yang memandu kereta.
Dalam erti kata lain, Kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan perbelanjaan dan kini tiba masanya untuk Rakyat juga bersama-sama berganding bahu memikul beban perbelanjaan negara.
Saya rasa hari ini agak kekok untuk “perwakilan” Kerajaan menggunakan alasan yang sama setelah pendedahan terkini dari laporan Ketua Audit Negara menunjukkan perbelanjaan Kerajaan yang tidak masuk akal.
Antara yang menarik perhatian saya adalah laporan mengenai seorang pegawai Kementerian Komunikasi dan Kebudayaan yang menuntut perbelanjaan lebih RM300,000 untuk lawatan sambil belajar empat hari ke Switzerland sedangkan kos maksimum, walaupun untuk penerbangan kelas pertama, dianggarkan tidak akan melebihi RM50,000. (Tiada siapa pula tanya, perlukah ke Switzerland?)
Lebih menyedihkan, lawatan sambil belajar tersebut merupakan sebahagian daripada projek MERS 999, yang menelan belanja keseluruhan (sejak 2007) melebihi RM800 juta. Daripada jumlah ini, ada RM6.7 juta yang dituntut oleh TM (selaku sub-kontraktor projek) untuk perbelanjaan publisiti dan program pendidikan di sekolah sedangkan PROGRAM ITU TIDAK PUN DIJALANKAN. Ini belum mengambil kira lebihan perbelanjaan kepada jururunding yang tidak dapat dipastikan perkhidmatannya. Nak tahu keberkesanan projek ini? Menurut laporan, lebih 7 juta panggilan ke 999 tidak dijawab langsung.
Antara beberapa pendedahan yang menarik:
● Lebih RM2 bilion dibelanjakan oleh Kementerian Pendidikan untuk menyediakan khidmat perlindungan pengawal di sekolah-sekolah yang didapati tidak berkualiti malah terdapat pengawal yang mempunyai rekod jenayah lampau;
● 20 jam dinding “canggih” yang berkos RM3,810 setiap satu dibeli oleh RTM sedangkan anggaran awal hanyalah RM100;
● Pengimbas (scanner) saiz A4 dibeli oleh RTM pada harga RM14,670 setiap satu sedangkan anggaran awal hanyalah RM200;
● Ada pengimbas saiz A4 yang dibeli pada harga RM14,670 dan diterima RTM Kelantan pada tahun 2009 sehingga ke hari ini TIDAK DIPAKAI kerana pegawai tidak tahu ia wujud;
● Perbelanjaan RM1.6 juta untuk artis Korea membuat persembahan di Program Hari Belia Negara; dan
● Jabatan Kastam dan Eksais Diraja melupuskan lebih 7,000 kasut seragam yang tidak pernah dipakai yang dibeli pada 2009 pada kos RM600,000 kerana sudah tidak boleh dipakai.
Saya yakin bahawa pendedahan terbuka oleh Ketua Audit Negara ini hanyalah sebahagian daripada kisah perbelanjaan Kerajaan. Pembacaan awal laporan melihat fokus kepada ketirisan yang nyata tetapi tidak mengambil kira perbelanjaan untuk projek/program Kerajaan yang tidak diperlukan ataupun relevan mengikut perkembangan semasa.
Dalam erti kata lain, laporan ini lebih tertumpu kepada bagaimana sesuatu program/projek itu menggunakan perbelanjaan dan TIDAK mengambil kira keperluan mahupun impak program/projek tersebut. Jika diambil kira program/inisiatif/projek, mungkin ketirisan dan lebihan perbelanjaan akan lebih ketara.
Persoalan bukan seharusnya tertumpu pada “bagaimana berbelanja” tetapi juga harus lebih makro kepada “perlukah perbelanjaan ini?”. Contoh: Program PLKN yang dikatakan menelan perbelanjaan tahunan RM700 juta ataupun promosi inisiatif Endless Possibilities. Apa-apapun, laporan sedia ada ini pun sudah cukup untuk membangkitkan kemarahan Rakyat.
Laporan Ketua Audit Negara ini bukannya baru. Ia dikeluarkan setiap tahun. Tetapi sehingga ke hari ini belum ada lagi seorang pun penjawat awam yang dilaporkan dikenakan tindakan tatatertib termasuk pemecatan apatah lagi dihadapkan ke mahkamah. Apakah ketirisan dan penyalah gunaan wang rakyat ini akan berhenti jika tiada kesan kepada pesalah? Saya pasti tidak.
Rakyat bukannya semua bodoh. Tiada siapa yang berpendidikan akan menidakkan rasionalisasi subsidi. Lambat laun, bagi memberikan peluang pembangunan yang lebih sekata (terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak), Kerajaan harus mengawal perbelanjaan melalui pengurangan subsidi dan pengenalan cukai seperti GST.
Tetapi selagi mana ketirisan, penyalahgunaan wang dan “lain-lain” faktor berleluasa di dalam perbelanjaan Kerajaan, saya sebagai rakyat agak sukar untuk menyokong 100 peratus inisiatif murni yang diperkenalkan Kerajaan. Jadi jangan salahkan Rakyat sekiranya setiap kali subsidi dikurangkan, atau cukai dinaikkan, atau duti baru diperkenalkan, Kerajaan dicemuh.
Kepimpinan Negara harus memulakan langkah membasmi pembaziran secara serius dan bukan bersembunyi di sebalik ungkapan “proses akan diperketatkan”. Kekuatan politik harus ada bagi menghukum mereka yang “terang lagi bersuluh” telah melakukan kesalahan. Sekiranya tidak, dan Rakyat disogok dengan ungkapan “ubah gaya hidup” dan disuruh berjimat, maka hubungan antara Kepimpinan dan Rakyat tidak ubah seperti ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus.
____________________________
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.