Kepelbagaian dalam bingkai kesatuan
Fadhlina Siddiq
Mei 14, 2014 07:30 MYT
Mei 14, 2014 07:30 MYT
Sebelum ini, saya mengambil jalan mudah jika ditanya tentang bangsa saya. Mudahnya, sebagaimana di dalam kad pengenalan,saya adalah Melayu. Hakikatnya nenek moyang saya adalah "pendatang" dari Ponorogo, Jawa Timur. Entah bapak sengaja menjadikan ia dramatik atau memang benar sewaktu menceritakan kedatangan nenek moyang kami ke Tanah Melayu dengan menaiki tongkang.
Mendengar perkataan "pendatang" apatah lagi “penceroboh”, hati saya menjadi pilu kerana andai kita sedar diri, kita juga pendatang di dunia ini. Barangkali juga kita masih kekal dengan aqidah ini kerana dakwah pendatang-pendatang dan pedagang-pedagang ini.
Hibanya memikirkan nenek moyang saya merentas lautan dan darat dalam amukan badai lautan untuk berhijrah dan memakmurkan Tanah Melayu ini.Di sebelah ibu saya nyata lebih kompleks. Entah bagaimana ada darah Siam, Belanda dan Jawa. Barangkali nenek moyang saya memang “adventurous”!
Dalam kehidupan seharian, umum menggelar ibu saya sebagai Ustazah dan bapa saya adalah seorang Ustaz.Tetapi mereka sangat “cool”. Bukan sahaja kepentingan akhirat yang diperingat tetapi juga realiti kemajmukan ummat.
Ketika di sekolah rendah, saya hanya bersekolah di sekolah biasa dan digalakkan bercampur dengan Yamuna, Yogeswari, Jaghbinder Singh, Chen, Edwind dan David. Kedudukan tempat tinggal kami di sebuah pekan kecil lebih nostalgik kerana sekeliling kami adalah Devi, Ong, Ah Boy dan Poonigal.
Abang saya pernah menjadi guru tuisyen dan mengajar Devi Bahasa Melayu. Kami belajar bertutur Bahasa Inggeris dari Ong Swee Pee dan kisah bagaimana kami membawa Ah Boy ke Surau untuk mengaji bersama Tok Raja dengan memakaikan dia kain pelikat barangkali adalah kenangan kanak-kanak yang merentas isu aqidah dan kaum. Ah Boy juga pernah menghadiri Taski ABIM bersama saya dan ketika itu juga dia diajar mengenal Alif, Ba dan Ta.
Saya pernah lihat bagaimana gigihnya ibu dan bapa saya mendidik saudara baru yang terdiri daripada kontraktor rumah, tukang paip dan tukang cat rumah yang memeluk Islam ketika rumah agam kami muladibina. Rumah agam impian ibu dan bapak saya siap bersama utuhnya iman sang kontraktor, tukang cat dan tukang paip itu. Malah bapak masih sedih setiap kali melihat kelibat Martin Yen, seorang chef terkemuka di layar kaca siaran AFC, kerana wajahnya mirip Mohd Fitri Abdullah@ Ah Fook, kontraktor rumah kami yang telah meninggal dunia selepas beberapa tahun memeluk Islam.
Ketika di sekolah,saya memang amat takut dengan Puan Chen apatah lagi beliau mengajar subjek Matematik, subjek yang paling saya lemah sekali! Tetapi saya sangat sayangkan Miss Mary dan Miss Margaret yang saya gelar Madhuri Dixit kerana senyumannya yang manis memikat dan bersabar dengan kelembapan saya memahami past tense dan present tense.
Walaupun ibu dan bapa saya bergelar Ustaz dan Ustazah, mereka mendidik saya bahawa saya bukan sahaja perlu menjadi muslim yang baik, tetapi juga mesti menjadi warganegara Malaysia yang baik dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan.
Ketika saya menulis sebuah artikel pasca kematian Karpal Singh, saya menerima ucapan terima kasih dari pelbagai kaum kerana tulisan itu menyentuh soal kemanusiaan dan kisah seorang manusia hebat yang telah memanfaatkan hidupnya untuk manusia lain.
Sudah lebih lima dekad polarisasi perkauman mendominasi politik tanahair. Tempoh sepanjang itu seharusnya mematangkan kita untuk memahami realiti kemajmukan dengan lebih positif dan bukanya mengungkit-ungkit siapa datang dahulu sebelum siapa.
Keadilan, kebebasan dan martabat keinsanan adalah sebahagian daripada teras maqasid al-shariah yang mesti dinikmati bersama dalam konteks suasana pluraliti kaum, agama dan budaya oleh semua warganegara Malaysia termasuk warga bukan muslim.
Pluraliti tidak diciptakan tanpa hikmah dan ia adalah bukti kebesaran Allah. Warga non-Muslim mesti dilayan selayaknya sebagai warganegara dan bukan zimmi. Perubahan politik dan realiti semasa telah menyebabkan pengkategorian zimmi-harbiyy ini tidak lagi relevan.
Pluraliti ini adalah cabaran yang harus disahut oleh pemimpin era baru. Untuk itu asas Perlembagaan Persekutuan telah melayakkan warga non-muslim sebagai saudara senegara dan sewarga pada prinsipnya layak menerima dan memikul tanggungjawab yang sama dengan kita.
Seluruh warga muslim dan bukan muslim harus menghayati semangat hidup kepelbagaian dalam bingkai kesatuan ini termasuk dalam isu perkongsian kuasa yang mesti menghasilkan situasi menang bersama.
Kita membicarakan survival sebuah Negara. Malah premis “Bangsa Malaysia” sudah mula kita bicarakan di mana-mana pentas demokrasi. Jika kita masih hidup dalam penuh prasangka dan prejudis, ia sangat menyakitkan dan melelahkan. Apatah lagi untuk terus mengungkit-ungkit keperitan nenek moyang kita yang telah memakmurkan Negara ini.
Pluraliti, kemajmukan, kepelbagaian dan perbezaan ini harus disikapi dengan kematangan dan disikapi secara positif. Jika kita menganggapnya sebagai kesialan sosial dan gagal menangkap hikmahnya, barangkali kita sedang meruntuhkan Negara dan akan merasai sialnya dengan keruntuhan yang tidak akan mampu bangkit lagi serta sesalan yang berpanjangan.
--------
* Fadhlina Siddiq adalah Naib Presiden ABIM
**Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.