Kelantan, ATM, Sarawak, Pahang buru tiket final
Fadzrie Hazis
Oktober 13, 2013 08:51 MYT
Oktober 13, 2013 08:51 MYT
Bola sepak sekali lagi mencuri tumpuan dalam arena sukan tempatan musim ini, dengan saingan Watson Piala Malaysia semakin menghampiri detik kemuncaknya.
Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sarawak dan Pahang mejelmakan aksi terbaik bagi melepasi halangan di peringkat suku akhir.
Saya sendiri sempat melapangkan masa, bagi menyaksikan aksi suku akhir kedua, antara ATM dan Lions XII di Stadium Selayang, 4 Oktober lalu.
ATM menang 4-1, untuk mara ke separuh akhir dengan agregat 5-2 ke atas wakil Singapura itu.
Bagi saya, pengendali ATM, B Sathianathan sekali lagi membuktikan beliau masih antara pengendali tempatan terbaik dengan kemaraan ke separuh akhir kali ini.
Meskipun kehilangan beberapa pemain tonggak dan masih dibarisi tonggak veteran, Sathianathan tetap berupaya mencari gandingan terbaik bagi memastikan kemenangan.
Namun, saya percaya mereka berdepan laluan cukup sukar apabila berdepan Kelantan di separuh akhir kali ini, lawan sama yang menewaskan mereka di pentas akhir musim lalu.
Kelantan, berjaya bangkit daripada kekalahan 4-2 di tangan kelab Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi pertama, untuk menang 6-1 di aksi timbal balik di Kota Bharu ,minggu lalu.
Penyerang serba boleh Kelantan, Indra Putra Mahayuddin memainkan peranan penting pada perlawanan itu bersama kapten pasukan, Badri Radzi.
Seperti ketika saingan Piala FA, skuad Kelantan kendalian Bojan Hodak membuktikan, mereka masih memiliki keampuhan seimbang untuk melangkah jauh dalam saingan kali ini.
Kehilangan beberapa tonggak seperti Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha jelas, tidak dirasai Hodak yang tetap berjaya mencanang pendekatan terbaik buat pasukannya.
Bagi saya, aksi suku akhir kedua, ATM-Lions XII dan Kelantan-JDT adalah antara aksi perlawanan terbaik yang disajikan sepanjang Liga M musim ini.
Satu lagi aksi separuh akhir, bakal menemukan Sarawak dan juga Pahang.
Sarawak, yang muncul juara Liga Perdana musim ini, tampak semakin hampir mengembalikan kegemilangan mereka di era 90an, dibawah kendalian Alan Vest ketika itu.
Kini, dibawah kendalian Robert Alberts, skuad Bujang Senang dibarisi pemain-pemain terbaik Sarawak dan juga segelintir pemain dari Sabah.
Kehadiran bekas pemain Terengganu Joseph Kalang Tie serta bekas pemain Sabah, Bobby Gonzalez dan Mafry Balang berjaya membentuk satu gandingan yang cukup konsisten dalam saingan Piala Malaysia.
Tetapi bagi saya, mutiara Sarawak adalah tonggak tengahnya, Junior Eldstal, pemain kacukan Sweden yang berasal dari Sabah.
Pengalaman bersama kelab liga bawahan England seperti Aldershot Town dan Farnborough FC tampak memberi pendedahan awal yang baik buat pemain berusia 22 tahun ini.
Aksi meyakinkan bersama Sarawak, menyuntik keyakinan pengendali kebangsaan Datuk K Rajagobal dan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee untuk membariskan pemain ini yang tampak berjaya juga, menambah kualiti skuad kebangsaan.
Selaku seorang pemain tengah box to box, saya percaya Junior akan terus menjadi tonggak utama skuad kebangsaan dalam tempoh sedekad dari sekarang.
Tidak mustahil, Junior akan membuat penampilan sulung di final Piala Malaysia, jika dia mampu mengekalkan aksi terbaik berdepan Pahang.
Apa pun, skuad Pahang kendalian Dollah Salleh bukan lawan yang mampu dipandang mudah Sarawak.
Dollah membuktikan, dia bukan saja pengendali yang mampu membentuk gandingan terbaik dengan nama-nama besar, tetapi mampu berbuat demikain dengan barisan pemain muda.
Dollah jelas mengimbangi rekod cemerlang Alberts dengan Kedah sebelum ini, selaku juara Piala Malaysia bersama MPPJ Selangor pada 2003 dan Selangor pada 2005.
Kali ini, saingan jelas seimbang di antara keempat-empat pasukan dan sesiapa yang berjaya meraih bekalan Selasa pada aksi pertama, tampak meraih peluang lebih cerah untuk ke pentas akhir.
Bagi saya, apa yang penting adalah keempat-empat pasukan menjelmakan aksi berkualiti tinggi yang mampu melonjakkan bola sepak negara.