Kejadian bom timbulkan kerisauan

Fadzrie Hazis
Oktober 19, 2013 07:45 MYT
Arena sukan tempatan minggu ini, dikejutkan dengan tiga kejadian bom di Myanmar, negara yang bakal menyanjurkan temasya Sukan Sea ke-27, Disember ini.
Salah satu kejadian itu, berlaku di hadapan Hotel Traders, yang terletak berhapiran hotel penginapan saya, ketika mengikuti delegasi Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), ke Myanmar kira-kira dua minggu lalu.
Secara peribadi saya berasa bersykur, kejadian bom itu tidak berlaku ketika saya dan delegasi SAM mengadakan lawatan Pra-Sukan Sea.
Tetapi kini timbul kerisauan tentang keselamatan rakan setugas media dan juga atlet serta pegawai kontinjen negara di temasya Sukan Sea kali ini.
Insiden ini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang memberi jaminan, kementeriannya akan sentiasa memantau tahap keselamatan di negara itu menerusi Wisma Putra dan kedutaan negara di Myanmar.
Namun, KBS belum lagi memutuskan tindakan menarik diri daripada temasya dua tahunan ini.
Sudah pasti KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) selepas ini akan mengambil pendekatan waspada terhadap keselamatan ahli kontinjen negara sepanjang temasya temasya ini berlansung.
Mengikut sejarah penyertaan negara di temasya sukan utama, hanya sekali kontinjen negara menarik diri iaitu ketika temasya Sukan Olimpik 1980 di Moscow.
Ketika itu,kerajaan menyokong usaha Amerika Syarikat, yang memboikot Sukan Olimpik Moscow kerana pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Saya percaya, situasi di Myanmar kemungkinan tidak akan ke tahap itu.
Hanya jika kedutaan negara di Yangon dan Wisma Putra memutuskan tahap keselamatan tidak terkawal, baru terdapat kemungkinan untuk kontinjen negara menarik diri.
Keutamaan kini juga perlu terarah, kepada keselamatan atlet, pegawai dan juga wakil media tempatan, sepanjang temasya kali berlansung.
Ini kerana menjaga keselamatan atlet, pegawai dan juga wakil media tempatan adalah lebih penting berbanding menjaga hati negara jiran.
#bom #Myanmar #SAM #sukan #Sukan Se
;