Kecewa dengan reaksi rakyat Malaysia sempena pelancaran Proton Suprima

Maisarah Atan
Ogos 19, 2013 08:08 MYT
Pada hari Ahad, Proton Suprima dilancarkan. Kerana saya punyai saudara rapat yang bekerja dengan Proton, saya memang menanti-nantikan projek ini. Semasa Preve dilancarkan dahulu, saudara saya telah mula bercakap berbentuk “teaser”, bahawa tidak lama lagi ada yang lebih hebat daripada Preve akan dikeluarkan.
Menanti sekian lama, hari itu tiba juga, tapi saya kecewa. Bukan dengan Proton, tapi dengan rakyat Malaysia.
Di laman sosial penuh; tapi bukan semua, mempersenda produk Malaysia yang terbaru ini. Soalnya mengapa? Di mana silapnya, sehingga rakyat Malaysia jadi begini? Sudah tidak ada perasaan bangga, sudah tidak ada cinta pada negara.
Jika bicara tentang kedaifan pengetahuan tentang Proton ini, ada satu kes yang saya kira lucu. Pernah dahulu ada bangkai kereta yang sudah hangus di susur keluar plaza tol. Semasa itu saya masih kecil. Terdengar orang-orang membuat spekulasi sesama sendiri “Itu mesti Proton”.
Rupanya Alfa Romeo. Ye lah. Tak boleh disalahkan mereka juga kerana kereta itu hangus teruk. Tapi kenapa terus anggap kereta itu keluaran Proton?
Kalau bercakap tentang pengalaman orang lain, memang mudah. “Kawan aku punya kawan punya ibu tiri beli Saga BLM, power window baru sebulan dah jammed”.
Kawan baik saya sendiri beli Saga FL. Masih megah di jalan raya. Pernah masuk bengkel cuma kerana orang yang langgar kereta dia.
Adik saya juga masih memandu Proton Saga lama. Saga lama! Bukan yang baru.
Kereta ini benda berenjin. Enjin itu buatan manusia. Manusia tidak sempurna. Pastinya kereta buatan lain juga ada menghadapi masalah cuma... ehem! Dah bayar mahal-mahal pasti malu lah nak mengaku Honda City buat hal tepi jalan, betul?
Tapi kalau pemilik kereta Proton buka but depan di tepi jalan raya waktu pagi, sudah pasti 90% pemandu yang lalu akan jadi penganalisis kereta.
Orang yang lantang mengutuk Proton, berapa peratus yang pernah pandu uji Proton Preve? Berapa peratus yang berniat memandu uji Suprima?
Belum sempat dicuba, sudah bermacam-macam gurauan bodoh yang dibuat, seolah-olah Proton sebelum ini hanya mengeluarkan lesung batu. Nama Suprima pun boleh dijadikan bahan ketawa. Mengapa? Begitu marahkan mereka dengan Malaysia sehingga setiap usaha syarikat Malaysia dipersenda? Marah itu kenapa?
Kebetulan saya baru tonton Habibie & Ainun di Astro Best. Semasa Indonesia mula-mula menghasilkan pesawat sendiri, ada juga yang mempersenda. Lalu saya simpulkan, setiap negara memang ada golongan begini. Memang ada yang terlalu “bijak” sehingga semua usaha kerajaan nampak remeh di matanya.
Bukan setakat kereta sebenarnya. Banyak lagi produk Malaysia yang diremehkan oleh rakyat sendiri. Contohnya filem. Bukan tidak ada yang bagus. Tapi kebanyakan rakyat memilih untuk menonjolkan yang buruk-buruk. Kalau yang puji-pujian cuma dua daripada sepuluh ulasan. Yang lain adalah kutukan. Kritikan boleh jadi membina tapi lebih banyak yang mengutuk berbanding mengkritik secara ikhlas untuk menambahbaik.
Terus terang, saya kagum dengan rakan-rakan saya dari Indonesia yang saban hari dalam “status updates” memperkatakan yang indah-indah tentang negaranya. Korupsi di Indonesia juga teruk. Tapi yang korup itu manusia. Tanah air masih milik rakyat, layak disayangi dan dijulang.
Saya juga mengakui kerajaan tidak sempurna, tapi kerajaan dan tanah air adalah entiti yang berbeza. Kerajaan cuma organisasi mentadbir. Fahami perbezaan itu, dan mulalah mencari peranan untuk membangunkan negara.
Bersembunyi di belakang nama samaran dalam talian tidak akan bawa anda ke mana-mana, dan tidak akan membantu bawa Malaysia ke mana-mana.
Sebenarnya ada juga yang tidak tahu apa-apa, tapi sebab mengutuk ini sudah jadi satu budaya. Kalau tak kutuk Proton, tak “cool” sebab semua orang buat. Heh.
Artikel ini merupakan pendapat penulis mengenai reaksi segolongan masyarakat sempena pelancaran Proton Suprima.
#kecewa #Proton Suprima #rakyat Malaysia
;