Jangan bunuh suara anak muda
Noor Azam Shairi
April 29, 2014 08:36 MYT
April 29, 2014 08:36 MYT
BODOH sangatkah soalan-soalan yang ditanyakan oleh anak-anak muda kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dalam dialog di Universiti Malaya pada Ahad? Itulah reaksi yang ternampak dalam media sosial dan cakap-cakap di kedai kopi selepas dialog itu berakhir. Betulkah begitu? Atau kita yang nanti barangkali ternampak bodoh kerana mengatakan mereka dan soalan-soalan mereka itu bodoh?
Ada sembilan soalan yang ditanyakan kepada Obama. Obama antara lain ditanya tentang impiannya semasa berumur 20 tahun dan bagaimana dia melaksanakan impian itu. Obama ditanya apakah pesannya kepada "kami yang berdepan isu-isu kemajmukan" — kaum, bahasa, kepercayaan dan budaya. "Apakah legasi yang mahu tuan tinggalkan?" kata satu soalan dari Singapura yang dibacakan oleh pengacara majlis. "Bagaimana kami boleh terlibat menentukan dasar kerajaan?"kata seorang gadis dari Malaysia. "Apakah makna bahagia?" tanya seorang pemudi Indonesia.
Soalan-soalan itu dicap sebagai bodoh.
"Saya pun angkat tangan tetapi dia (Obama) tidak pilih saya. Kalau saya dapat, saya hendak tanya tentang TPPA," kata seorang hadirin yang mengomel tentang bodohnya soalan-soalan yang dikemukakan oleh anak-anak muda itu kepada Obama. Di luar Universiti Malaya, ketika berlangsungnya dialog dengan Obama itu, ada protes membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik.
Protes anti TPPA di perkarangan pintu masuk Universiti Malaya semasa majlis dialog Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara bersama Presiden Barack Obama pada petang Ahad lalu. (Astro AWANI/SHAHIR OMAR)
Ada yang merungut kenapa tidak ada soalan tentang dasar luar Amerika atau isu-isu semasa dan bukannya soalan yang berbaur falsafah. Ada juga yang merungut kenapa tidak ada soalan menyentuh isu-isu yang mendesak di Malaysia pada hari ini termasuk soal hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Yang merungut kenapa tidak ada soalan — soalan susulan sebenarnya — tentang hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat yang baru saja dibincangkan antara Obama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya beberapa jam sebelumnya, pun ada.
Salah besar
Ada beberapa masalah dengan rungutan-rungutan itu. Sesi dialog di Universiti Malaya itu bukan sidang media. Mereka yang hadir sebagai peserta dialog bukan wartawan. Mereka juga bukan rakyat negara ini saja. Maknanya, tidak salah kalau mereka tidak bertanya soalan-soalan tentang TPPA atau tentang hal-hal yang berlaku di negara ini. Adalah salah besar kalau soalan-soalan itu tidak ditanya oleh wartawan tetapi itu cerita yang lain.
Tetapi apakah betul tidak ada soalan yang memberi jawapan khusus tentang masalah kita di negara ini. Kepada satu soalan, Obama menjawab tentang perlunya Malaysia memberikan hak dan peluang yang sama kepada warga bukan Islam, golongan minoriti dan wanita. Obama menyentuh tentang hutan yang ditarah yang memberikan kesan kepada pemanasan global. Kepada satu soalan lain, beliau menekankan tentang pentingnya negara ini memberikan peluang ekonomi yang saksama kepada semua rakyat kalau mahu maju dan berjaya.
Saya mungkin boleh bersetuju — tetapi hujahkan dahulu — bahawa tidak semua sembilan soalan itu hebat tetapi jangan kata soalan-soalan itu bodoh. Ini pasti. Apakah ada soalan bodoh dalam kamus manusia? Soalan bodoh adalah soalan yang disimpan dalam kepala atau dikemam di hujung tenggorok. Bukankah Carl Sagan yang berkata: "Semua pertanyaan adalah teriakan untuk memahami dunia. Tidak ada yang namanya soalan dungu." Bukankah juga kita (pernah) diajar di sekolah bahawa tidak ada soalan yang bodoh dan jangan takut bertanya?
Merungut
Tidak mungkin mereka yang merungut tentang soalan-soalan kepada Obama itu tidak ke sekolah. Mereka cerdik pandai, orang pintar; sesetengahnya ada tempat dalam masyarakat dan terhormat. Mustahil — sangat mustahil — kalau mereka tidak faham. Itu yang pertama.
Kedua, adakah kita sedar siapa anak muda yang bertanyakan soalan-soalan itu? Kebanyakan mereka adalah kelompok yang terpilih menyertai Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang diperkenalkan oleh Obama pada Disember 2013. Ini adalah usaha mencari idea baru untuk menyelesaikan masalah zaman dan mencetuskan perubahan. Ini usaha yang didukung penuh oleh kerajaan Amerika Syarikat. Ini adalah inisiatif untuk projek kemasyarakatan.
Anak-anak muda mengangkat tanya mahu bertanyakan soalan kepada Presiden Barack Obama sesama sesi dialog Inisiatif Pemimpin Muda ASEAN di Universiti Malaya pada Ahad. (AFP PHOTO/Jim WATSON)
Mereka itu bukan orang politik, bukan juga wartawan. Salahkah kalau mereka tidak bertanya tentang konflik di Palestin yang tidak selesai? Salahkah mereka kalau tidak bertanya tentang imbangan kuasa Amerika di rantau ini ketika China bangkit menunjukkan kekuatannya? Salahkah kalau mereka tidak bertanya tentang TPPA?
Untuk soalan-soalan itu, ada forum yang lain. Misalnya, adakah wartawan Malaysia yang bertanya tentang TPPA semasa sidang media bersama Obama dan Najib? Kenapa tidak ada? Tanyakan itu kepada media tetapi jangan perlekehkan anak-anak muda. Jangan pindahkan kekecewaan kita kepada anak-anak muda itu hanya kerana wartawan tidak menjalankan kerja mereka untuk bertanya. Wartawan tidak menyerahkan kerja yang gagal mereka lakukan kepada anak-anak muda di Dewan Tunku Canselor pada petang Ahad itu.
Ada pula yang berkata: beginikah pemimpin masa depan kita? Mereka yang melecehkan soalan anak-anak muda itu barangkali keliru tentang makna pemimpin — sangat keliru. Pemimpin itu maknanya apa? Apakah yang masuk politik, bertanding pilihan raya, jadi wakil rakyat, jadi menteri, jadi perdana menteri itu saja yang kita panggil pemimpin. Ini satu lagi silap besar —cukup besar.
Murni dan luhur
Makanya, jangan salahkan anak-anak muda itu kalau tidak bertanya soalan-soalan yang kita mahu mereka tanyakan. Kita kena jelas tentang perkara ini: ada hal-hal yang mereka mahu tahu dan ada pula hal-hal yang kita ingin tahu. Apa yang mereka mahu tahu tidak semestinya sama dengan apa yang kita mahu tahu.
Apa yang mereka mahu tahu itu adalah hal-hal yang dekat dengan mereka tetapi mungkin sudah terlalu jauh daripada kita. Hal-hal yang mereka tanyakan adalah hal-hal yang murni dan luhur. Misalnya: Kalau aku mahu melakukan ini ketika umur aku 20 tahun, bagaimanakah Obama melakukannya semasa dia sebaya dengan aku? Kalau aku sedang mengusahakan projek kemasyarakatan ini dan aku berdepan dengan cabaran, apakah projek kemasyarakatan yang Obama usahakan dulu dan apakah cabarannya?
Soalan-soalan itu dicap sebagai bodoh. Tetapi bayangkan kesan jawapan Obama itu kepada anak muda yang sedang mahu melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakatnya. Soalan anak-anak muda itu mewakili tanda tanya yang mungkin bersarang dalam kepala ribuan lagi anak muda yang sama seperti mereka.
Inspirasi
Buta dan pekakkah kita? Adakah mereka yang mengecam soalan-soalan itu sebagai bodoh sedar akan hal ini? Adakah mereka sedar tentang latar belakang program yang mereka hadiri atau atau ikuti baik di televisyen atau daripada sumber apa sekali pun? Apakah mereka sedar juga majlis pada petang Ahad di Universiti Malaya itu untuk apa? Ia adalah pelancaran YSEALI Talks, satu daripada empat program yang disusun di bawah inisiatif untuk perubahan itu. Pelancarannya tidak ada majlis potong riben. Pelancarannya dibuat dengan Obama datang dan bercakap kepada anak-anak muda itu — memberi inspirasi dan membakar semangat mereka untuk melakukan perubahan. Apakah dia perlu bercakap tentang TPPA atau Laut China Selatan atau masalah di Malaysia? Untuk apa?
Presiden Barack Obama beramah mesra dengan pemimpin muda Asia Tenggara selepas sesi dialog di Universiti Malaya pada Ahad. (AFP PHOTO/ MANAN VATSYAYANA)
Obama meninggalkan banyak pesan penting kepada anak-anak muda yang mahu melakukan perubahan: Membuat benda yang betul bukan mudah. Benda baru akan selalu ada penentangan tetapi jangan putus asa. Jangan buat sesuatu hanya untuk diri sendiri. Fikir tentang orang lain dan apa sumbangan kita kepada mereka. Jangan beza-membeza antara manusia. Hormati perbezaan pendapat. Jangan buang masa. Belajar bahasa asing. Luangkan masa dengan ibu bapa dan keluarga. Jaga integriti. Jangan cakap tak serupa bikin. Jangan putus asa tentang masa depan. Yakinlah bahawa masa depan akan selalu jadi lebih baik.
Anak-anak muda harus terus bertanya. Jangan henti bertanya. Saudara atau saudari mungkin ternampak bodoh sekejap dengan bertanya soalan itu tetapi saudara dan saudari akan bodoh seumur hidup kalau tidak mencari jawapannya. Tanyalah. Hanya dengan bertanya saudara dan saudari akan menemukan jawapan tentang apa yang saudara dan saudari ragu, musykil atau keliru.
Anak-anak muda sedunia, bertanyalah!