Jangan bunuh harapan

Syazwan Zakariah
Mei 31, 2013 07:46 MYT
Saya antara beribu yang menonton trailer KIL sejak mula-mula dimuat naik di Youtube dua tahun lalu.
Saya tertarik dengan sedutan sepanjang 2:09 minit itu yang saya harapkan bakal menjadi sebuah lagi karya filem Melayu yang lari dari kebiasaan.
(Perhatikan perkataan: tertarik, harapkan).
Apatah lagi apabila mengetahui Rewan Ishak (seorang pengarah video muzik, conceptualizer dan rakan di Twitter), terlibat secara langsung sebagai pencetus idea, penulis dan perekabentuk untuk filem ini. Ia menambahkan keterujaan.
(Perhatikan perkataan: menambahkan keterujaan).
Dan saya amat gembira apabila filem kecil ini akhirnya berjaya mendapat sokongan syarikat penerbitan besar untuk dibawa ke layar perak.
Saya terlepas menghadiri tayangan perdananya atas urusan kerja. Sedikit ralat kerana rata-rata tetamu yang hadir memuji di Twitter dan ulasan di beberapa blog filem amat memberangsangkan. Harapan saya bertambah menggunung.
(Perhatikan perkataan: harapan menggunung).
Lalu saya memastikan saya pergi menontonnya, dengan membayar tiket sendiri sebagai tanda sokongan pada hari pertama tayangan iaitu Khamis lepas.
Seimbas lalu, KIL mengisahkan seorang jejaka bernama Akil yang berputus asa untuk meneruskan kehidupan. Dia cuba membunuh diri dengan pelbagai kaedah, tetapi gagal kerana tidak cukup kekuatan untuk melakukannya.
Suatu hari, dia terbaca iklan yang tertampal di dinding. Iklan itu membawanya ke LAB (Lab Action Bureau) yang menawarkan khidmat untuk membantu pelanggan yang takut untuk mengambil nyawa mereka sendiri.
Akil bersetuju untuk LAB menamatkan hayatnya pada masa yang dia sendiri tidak tahu bila atau siapa yang akan membunuhnya. Sehinggalah satu hari Akil berkenalan dengan jiran barunya, Zara dan mula meraikan kehidupan.
Akil dalam dilema kerana dia sudah menandatangani kontrak untuk ‘dibunuh’, sedangkan pada ketika ini, dia belum mahu mati.
Walaupun filem ini tentang depresi dan bunuh diri iaitu subjek yang gelap dan menakutkan, ia sebenarnya bercerita tentang pengharapan kepada kehidupan.
Justeru, adakah kerana itu saya tidak berasa tertekan semasa menontonnya? Saya tidak pasti jika ini adalah reaksi yang tepat dan sepatutnya atau sebaliknya.
Saya tidak pasti jika pengarah sememangnya sengaja mahu membawa subjek berat ini dalam tona yang ringan?
Atau mungkin kerana saya terlalu berharap dan mempunyai jangkaan yang sangat tinggi untuk filem ini (rujuk semula perkataan-perkataan di dalam kurungan di atas) sehingga saya berasa agak kecewa?
KIL tidak teruk. Pastinya lebih baik dari kebanyakan filem Melayu yang berebut-rebut masuk pawagam, yang kualitinya lebih memalukan dari drama televisyen.
Sejujurnya, selepas Songlap dan Bunohan, saya berharap filem ini mampu membuat fikiran saya terngiang-ngiang mengingatinya. Dan mampu menarik saya ke pawagam untuk kali kedua kerana begitu terpesona.
Rupa dan wajah KIL adalah sebuah sinema yang penonton dapat menilai ia dibikin dengan bersungguh, teliti, cermat dan tidak main-main. Penonton tahu pembikin KIL sangat serius dengan kerja mereka dan hal ini patut dipuji.
Warna, landskap, pencahayaan, skor muzik dan bahasa filemnya menarik, ditambah gandingan dua pelakon utama, Redza Minhat yang tampan dan Cristina Suzanne yang lawa sebagai gula-gula mata.
Begitupun, seperti ada yang tidak cukup. Saya tidak meramalkan KIL untuk menjadi sempurna, tetapi saya tidak dapat menjiwai dan ‘merasai’ filem ini.
Saya mohon maaf jika membandingkan filem ini dengan filem Hollywood - bukan dari segi teknikal, tetapi perasaan.
Saya beri contoh pertama, The Perks of Being a Wallflower (2012) yang juga bercerita tentang krisis diri dan tekanan seorang pelajar belasan tahun bernama Charlie. Dia mencari semula kehidupan akibat trauma dengan satu kejadian.
Sedikit latar belakang, ini merupakan filem sulung arahan Stephen Chbosky yang juga menulis lakon layar hasil adaptasi novel tulisannya sendiri.
Charlie adalah karakter yang sangat kuat, sehingga hampir apa saja dialog yang keluar dari mulutnya, saya dapat merasai kekosongan dan kesepian hidupnya.
Contoh kedua, filem 50/50 (2011) tentang pengharapan seorang jejaka, Adam yang belum mahu mati kerana tiba-tiba saja dikhabarkan mengidap kanser.
Biarpun filem ini dikategorikan sebagai ‘dry humor’ atau ‘a feel good movie about cancer’, saya masih dapat memahami konflik, dilema dan ketakutan Adam berdepan kematian. Air mata saya mencurah-curah ketika menyaksikannya.
Perasaan itu yang saya tidak perolehi semasa menonton KIL. Grafnya tidak turun naik dan momentum ‘excitement’ tidak dapat bertahan. Ini membuatkan saya ralat dan maafkan saya kerana mempunyai harapan yang sangat tinggi.
Begitu pun, ada satu babak yang membuatkan naluri saya tersentuh (selain watak rakan sepejabat Akil yang membelikan kuih sardin. Dia sangat lucu).
Lakonan Anne James sebagai Miss Jasmine begitu berkesan, tetapi sayangnya karakter itu dicipta sekadar satu tambahan yang tidak dibangunkan. Malah, pertemuan Miss Jasmine dan Zara saya rasakan sedikit canggung, seperti ada ‘missing link’ dan naratifnya tidak diikat kukuh.
Saya juga agak kecewa dengan babak penamat. Tidak dinafikan, idea yang ditampilkan adalah sesuatu di luar kotak dan mempunyai ‘twist’, tetapi entah di mana silapnya – barangkali kerana dialog – ia tidak cukup mencengkam.
Dialog Harun Salim Bachik yang lebih kurang berbunyi, “kita akan lebih menghargai hidup apabila bukan kita yang mengawalnya” – tidak begitu ditekankan.
Ayat itu sepatutnya menjadi ayat keramat yang menyimpulkan segala-galanya dan sepatutnya membuatkan saya terpempan di kerusi.
Sayangnya, itu tidak berlaku dan saya hampa. Justeru, saya tidak ‘membeli’ idea kewujudan dan fungsi sebenar LAB.
Saya tidak membenci filem ini, sebaliknya amat menghargai usaha pengarahnya, Nik Amir Mustapha, Rewan dan rakan-rakan mereka dalam membawakan gelombang baru dunia perfileman Malaysia.
Namun, saya ingin mencintai KIL, lebih dari sekadar menyukai. Jarang sekali filem tempatan mempunyai premis yang ‘menjanjikan’ dan ‘aneh’ seperti ini.
Mungkin saya perlu menonton sekali lagi. Kadang-kadang kita harus percaya pada peluang kedua.
Saya belum mahu berputus asa dan membunuh harapan anak-anak muda ini untuk menjadi pembikin filem yang hebat dan dihormati.
#filem #kil #Nik Amir Mustapha #Redza Minhat #ulasan
;