Jangan buat rakyat rasa 'dianiaya'

Wee Ka Siong
Disember 19, 2013 18:16 MYT
Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) bersama bekas Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong (tiga, kanan) pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA Ke-49 di Wisma MCA hari ini - Foto Bernama
MCA sekali lagi menerima tamparan hebat dalam PRU ke-13 yang lepas. Oleh itu pucuk pimpinan MCA memutuskan untuk tidak menerima jawatan kabinet. Akibatnya, dasar-dasar yang merugikan masyarakat Cina atau tidak mengambil kira kepentingan semua kaum telah dilaksanakan dan keadaan ini telah membimbangkan dan membebankan rakyat.
Saya ingin memberitahu kepada pemimpin-pemimpin parti-parti komponen terutama pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat, walaupun keputusan PRU ke-13 menyebabkan MCA tidak menyertai kabinet, tetapi kepentingan-kepentingan kaum Cina tidak dibenarkan terancam. Saya ingin menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya lebih berhati-hati dalam ucapan dan pemikiran mereka supaya tidak menuju ke arah penyelewengan dan ekstremisme. Kalau mereka tidak berpuas hati dengan pengundi Cina yang tidak menyokong BN dalam PRU ke- 13 lalu mengetepikan perjuangan untuk semua kaum dan menumpukan perjuangan untuk suatu kaum sahaja , saya pasti keadaan ini boleh menyebabkan undi-undi Cina tidak akan kembali kepada BN dan undi-undi kaum bukan Melayu juga akan turut hilang. keadaan ini akan menjejaskan atau memusnahkan masa depan BN.
Pada ketika kita menolak perkauman, kerajaan yang ingin memenangi hati rakyat harus memastikan rakyat didahulukan, bukan menggubal semua dasar berdasarkan kepentingan suatu kaum atau menghukum suatu kaum secara sengaja atau tidak sengaja, terutama terhadap kaum Cina. Saya ingin memberitahu mereka, kaum Cina tidak akan menerima hukuman seperti ini tanpa tentangan dan MCA juga tidak akan berdiam diri. Walaupun masyarakat Cina mempunyai prasangka terhadap MCA, tetapi MCA tetap akan mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak kaum Cina dan juga kaum-kaum yang lain.
Saya menyokong penuh konsep ‘1 Malaysia’ yang dilaksanakan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia sebelum PRU ke-13 dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Untuk merealisasikan konsep ini, kita memerlukan kerjasama dari pihak pentadbiran dan juga perlu mencerminkan sepenuhnya dalam pelaksanaan dasar. Adalah kurang wajar apabila kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang memanfaatkan rakyat selaras dengan slogan “Rakyat didahulukan”, di sebaliknya kerajaan juga melaksanakan dasar-dasar lain yang membebankan rakyat.
Kebelakangan ini kenaikan harga petrol, penurunan subsidi gula, kenaikan tarif elektrik dan pengenalan GST telah menyebabkan rakyat terasa seolah-olah “dianiayai” oleh kerajaan kerana setelah kerajaan memberi sedikit bantuan kepada rakyat, disusuli pula langkah-langkah yang membebankan rakyat. Rakyat mempunyai persepsi sebegini kerana kerajaan telah melakukan pemotongan subsidi dengan banyak.
Rasionalisasi subsidi dan pengurangan defisit kewangan adalah satu-satunya jalan ke arah status negara maju, tetapi ianya tidak harus dilaksanakan dengan tergesa-gesa sebelum rakyat bersiap sedia untuk menghadapinya dan juga dibeban dengan kos kehidupan yang semakin bertambah. Ini akan menimbulkan rungutan rakyat.
Rakyat jelata tidak seperti wakil rakyat, begitu juga sektor korporat tidak seperti kerajaan Selangor mampu menaikkan gaji ADUN sewenang-wenangnya. Kerajaan Selangor tidak menghargai cukai yang dikutip daripada rakyat dan sebaliknya mengunakan wang itu untuk memberi ganjaran kepada menteri besar, ahli-ahli exco dan ADUN-ADUN dengan kenaikan gaji melebihi 300%. Akan tetapi, sektor korporat tidak boleh berbuat demikian kerana perlu bersiap sedia memikirkan implikasi kewangan lebih-lebih lagi untuk menghadapi keadaan yang tidak menentu pada masa akan datang.
Gaji dan pendapatan rakyat tidak selaras dengan langkah-langkah rasionalisasi subsidi kerajaan yang mengurangkan pelbagai subsidi sehingga membebankan rakyat. Peniaga-peniaga juga tidak berupaya menyerap kenaikan kos dan terpaksa mengalihkan kos kepada para pengguna. Kesan sampingan daridapa rasionalisasi subsidi akan membebankan golongan yang berpendapatan rendah.
Selain daripada itu, kerajaan akan memperkenalkan GST pada tahun 2015. GST akan memanfaatkan kerajaan secara keseluruhan, tetapi kerajaan juga perlu menjaga kepentingan rakyat dan peniaga-peniaga, terutama mengkaji kesan dari perlaksanaan GST sebanyak 6% di samping perlu memberikan penjelasan yang secukupnya kepada rakyat dan memperluaskan kategori barangan yang dikecualikan GST.
Ramai orang tertanya-tanya bagaimana pengutipan GST akan dilaksanakan? Adakah petrol dikenakan GST? Adakah nasi campur dikenakan GST? Adakah sabun dikenakan GST? Adakah dari pagi sampai malam, mulai dari sarapan pagi hingga makan malam dan barangan penjagaan kulit yang digunakan sebelum tidur juga dikenakan GST?
Tarif elektrik akan meningkat sebanyak 15% pada tahun 2014 dan TNB telah mengumumkan bil elektrik yang melebihi RM43.60 akan dikenakan GST sebanyak 6%. GST akan memberi kesan secara langsung kepada bil elektrik. Saya ingin bertanya kepada para perwakilan yang menghadiri perhimpunan ini, adakah bil elektrik rumah bulanan kamu kurang daripada RM43.60? Saya percaya, bil elektrik sebahagian besar perwakilan di sini adalah melebihi jumlah ini. Ini bermakna kita bukan sahaja perlu membayar tarif elektrik yang tinggi tetapi perlu juga membayar GST. Ini akan membebankan kehidupan rakyat.
Saya menyeru kerajaan supaya menyemak semula kadar GST dan memberi pertimbangan untuk menurunkannya kepada 4%. Apabila buat pertama kali rang undang-undang mengenai GST dibentangkan di Dewan Rakyat pada berapa tahun yang lalu, cadangan asal hanyalah 4%. Kenapa tempoh pelaksanaan GST iaitu 15 bulan dari sekarang, kadar permulaan GST menjadi 6% pula? Selain itu, kerajaan perlu mengumumkan maklumat terperinci barangan yang dikenakan GST, dan memperluaskan barangan yang dikecualikan GST, terutama tarif elektrik, petrol dan barangan harian patut dikecualikan GST.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Wee Kah Siong adalah bekas Ketua Pemuda MCA.
**Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.
#GST #harga barang #kos sara hidup #MCA #Pemuda MCA #ucapan #Wee Ka Siong
;