ISIL, Al-Qaeda dan minyak Iraq
Dr Azlinariah Abdullah
Jun 18, 2014 08:50 MYT
Jun 18, 2014 08:50 MYT
JADI, apa yang baru dengan keadaan huru-hara di Iraq sekarang? Sebenarnya, sejak Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom melancarkan operasi ketenteraan di bumi Teluk itu pada pagi 19 Mac 2003 sehingga ia berundur pada 2011, keadaan di Iraq tidak pernah tidak kucar-kacir. Ada sahaja yang berlaku. Sekejap serangan, kemudian bom di sisi jalan, juga perbalahan agama membawa kepada kematian juga tidak kurang. Jadi, tidak ada yang baru tentang itu.
Kalau pun ada, pengumuman Presiden Barack Obama mahu mengembleng tentera AS ke Teluk, seterusnya dikerah di Iraq sekali lagi untuk menjaga keselamatan kedutaan dan kepentingannya di negara itu. Lebih 200 anggota akan dikerah ke sana, antara lain bukan untuk berperang tetapi menundukkan elemen-elemen yang dianggap menyokong keganasan. Jika dilihat, ia jadi satu perkembangan baru yang mencerminkan keresahan Washington dalam menangani kegagalannya di Iraq, lebih khusus di Asia Barat. Tetapi, lain-lain tiada, hanya mengulangi episod sama dan lama sepanjang selama lapan tahun mereka di Iraq. Pada 2010, Obama pernah turut mengumumkan lebih kerahan tentera AS ke Iraq dengan tujuan untuk melumpuhkan penentang tentera AS khususnya Najaf, Anbar dan Basra selain Dhi Qar. Kesemua kawasan ini dikuasai Syiah. Manakala di sebelah utara Iraq, kawasan itu majoriti dikuasai golongan itu. Maka, ia bukan sesuatu yang baru, jika kerahan tentera AS diputuskan ke Iraq.
Paling baru, barangkali, skala kebangkitan Islamic State in Iraq and the Levant atau ringkasnya ISIL. Levant itu merujuk kepada Sham, yang meliputi Syria dan Lubnan. Maka dari segi istilahnya, lebih tepat disebut Negara Islam di Iraq dan Sham. Kumpulan militan ini, yang cergas di Iraq dan Syria adalah bekas cawangan Al-Qaeda. Tetapi sekarang, Al-Qaeda sudah menyingkirkannya kerana terlalu ganas dan kejam, malah dikatakan lebih ganas daripada Bashar Assad dan Saddam Hussein. Dalam satu laporan oleh Profesor Peter Neumann dari King’s College London, berkata, ISIL dianggotai hampir 80% pejuang dari negara Barat. Menurut laporannya juga, rakyat Malaysia turut berjuang dan menganggotai ISIL. Beliau turut menggambarkan ISIL sebagai kumpulan yang bahaya dan berupaya memberi ancaman besar kepada AS dan tentera Baghdad.
Di segi kejayaannya, hanya selepas menguasai Mosul awal bulan ini, kemunculannya disedari walaupun pengasasnya, Abu Bakr al-Baghdadi merintis penubuhan ISIL pada 2003, iaitu sebaik sahaja AS menceroboh Iraq. Pada Mac tahun lalu, ISIL menguasai bandar Raqqa di Syria, tetapi tidak mendapat liputan meluas dan kutukan antarabangsa. Pada 2014, ISIL bertindak menyebarkan sengketa agama dengan menguasai bandar didominasi Sunni, Fallujah, barat wilayah Anbar. Malah, ia juga merampas beberapa kawasan di Ramadi selain menerima pengaruh kuat di bandar-bandar berhampiran sempadan Syria-Turki. “Bagaimana pun kejayaannya menguasai Mosul, bandar ketiga terbesar di Iraq cukup mengejutkan, bukan sahaja kepada pemerhati di Asia Barat tetapi juga Washington, ‘’ kata Felo Kanan Institut Kajian Asia Barat (IKRAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kamaruzaman Yusuf ketika diminta pandangannya mengenai perkara itu.
Tentera AS berharap apabila semua penentang ditundukkan, pihaknya akan serah pula kesemua wilayah Iraq kepada tentera Baghdad dengan matlamat mempertahankan kepentingan AS di negara itu. Bagaimanapun perancangan AS itu tidak menjadi. Kepada AS, selepas Saddam digantung, tugas mereka selesai di Iraq. Kekacauan dan porak-poranda yang berlaku di Iraq selepas itu diserahkan kepada pihak lain untuk membersihkannya. Pada masa ini, tanpa tentera AS, dapat dibayangkan Iraq terbuka kepada perang saudara lebih buruk kalau kemahirannya tidak digunakan. Tetapi adakah AS akan berjaya? “Mungkin tidak sepenuhnya, barangkali akan ada sedikit kejayaan sahaja, bukan sepenuhnya,’’ kata seorang lagi penganalisis Asia Barat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik. Beliau meramalkan, Iraq akan terus terheret dengan kancah peperangan tiga segi Sunni, Syiah dan Kurdis.
ISIL menurut laporannya, dibantu oleh negara-negara Sunni lain khususnya Arab Saudi. Iran pula akan campur tangan dan memihak kepada Baghdad serta golongan Syiah. Kurdis pula mendapat dokongan Turki dalam cubaan mereka mahu menubuhkan negara Islam Kurdistan. Pertembungan sengit pasti berlaku. Peperangan akan berlanjutan dan juga tidak selesai. Atas nama perang menentang keganasan kini meluas, bukan sahaja di Iraq, Afghanistan dan Syria tetapi juga Somalia. ISIL juga dikatakan mendapat inspirasi di kem-kem latihan di Somalia kerana awal-awalnya dirintis orang nombor dua dalam Al-Qaeda Somalia, Ayman al-Zawahiri.
Al-Qaeda merupakan pertubuhan pelik, misteri dan turut dibenci umat Islam sendiri kerana ia bukan sahaja sesat dari segi fahaman dan kaedah perjuangannya, tetapi menyusahkan orang Islam sendiri untuk hidup dan maju _kerana apa dilakukan dalam insiden 11 September 2011. Sememangnya Al-Qaeda memusuhi Syiah, sebab itu ia amat membenci Iran dan juga Hizbullah. Kerana itu, Al-Qaeda putuskan hubungan dengan ISIL. Sebab itu juga Washington sedia berbincang dengan Tehran untuk hapuskan pengaruh ISIL di Iraq walaupun negara republik Islam itu dimusuhi Washington kerana perseteruan dengan Israel serta isu nuklear. Al-Qaeda bertempur membunuh Syiah di Afghanistan dan juga di Iraq kini. Tetapi akibatnya, militia Syiah membalas dan meningkatkan pembunuhan ke atas Sunni.
Kepentingan minyak menyebabkan pertimbangan khusus AS kepada negara-negara Teluk _ dari Arab Saudi hingga masalah Kuwait. Maka ia mengheret sama Iraq dan Iran. Sistem yang sebegitu rupa mencambahkan Al-Qaeda. Kerana mahu menghalang pengaruh Rusia dan Iran, AS dan Arab Saudi memberi sokongan kepada Taliban melalui Pakistan. Taliban pula memberi ruang kepada Al-Qaeda dan kemudian dapat dilihat peristiwa 11 September dengan bayang-bayangnya terus menghantui bukan sahaja dunia Barat tetapi juga Islam.
ISIL bagaimanapun kini bukan Al-Qaeda. Pertubuhan itu jauh lebih banyak dana berbanding Al-Qaeda. Washington sendiri mengakui ISIL mungkin menjadi kumpulan militan paling kaya dengan memiliki aliran wang tunai paling banyak sebaik Mosul dikuasainya baru-baru ini. Asalnya, ia bergantung derma daripada individu hartawam di negara Teluk khususnya Kuwait dan Arab Saudi, yang menyokong perjuangan menentang Bashar di Syria. Hari ini, ISIL memperoleh sejumlah wang daripada hasil di loji-loji minyak yang dikuasainya di timur Syria. Mereka menjual semula bekalan minyak kepada kerajaan Syria. Malah, aliran tunai mereka juga datang daripada jualan barangan antik yang dirompak daripada tapak-tapak sejarah di bandar dikuasai mereka.
Dalam pendedahannya, Profesor Neumann percaya bahawa sebelum menguasai Mosul pada awal bulan ini, ISIL memiliki tunai dan aset sebanyak 900 juga dolar Amerika tetapi kemudiannya bertambah menjadi 2 bilion dolar. “ISIL juga mengambil beratus juta dolar daripada bank pusat di Mosul. Kewangannya makin kukuh jika terus kekal menguasai loji minyak di utara Iraq,’’ kata Profesor Neumann. Atas sebab dan pendedahan itu, AS resah dan bimbang. Bayangkan jika kekayaan itu digunakan untuk membeli senjata canggih dan serangan demi serangan mereka pula catat kejayaan.
Sudah tentu AS tidak mahu perkara ini berlaku. Campur tangan AS di Iraq adalah kerana dua sebab nyata _minyak dan Israel. Jika ISIL bangkit, minyak bertukar tangan, Israel pula tidak senang. AS perlu bertindak. Itu perkara baru yang perlu difikirkan barisan pemimpin Demokrat sekarang, walaupun kekotoran di Iraq ditinggalkan Republikan, melalui George W. Bush, hampir sedekad lalu.