Industri rel ibukota harus fokus kepada kerjasama dan kesinambungan, bukan persaingan
Reezal Merican Naina Merican
Jun 13, 2014 15:26 MYT
Jun 13, 2014 15:26 MYT
Kebelakangan ini, beberapa pihak telah menyuarakan minat untuk mengendalikan sistem MRT yang bakal siap pada 2017 dan merupakan antara sistem pengangkutan awam terbaru di bandaraya Kuala Lumpur.Ada pihak yang menyarankan perlunya persaingan di antara operator sistem rel ibukota untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dan pengendalian, dan ada pihak pula yang menyarankan perlunya kesinambungan dan penyepaduan di dalam pengendalian sistem rel.Bagi saya, menggalakkan persaingan di kalangan operator-operator rel ibukota adalah satu kesilapan buat masa ini kerana ia bakal meningkatkan kos operasi dan menggalakkan operator untuk mengambil langkah untuk menjaga kepentingan masing-masing dibandingkan kepentingan rakyat dan negara.
Sebaliknya, operator-operator rel harus memastikan sistem rel kita disepadukan dari pelbagai aspek termasuk penyepaduan infrastruktur di antara stesen dan keseragaman dalam sistem tiket untuk membolehkan rakyat untuk bergerak dengan lebih mudah, pantas, dan selamat.Penyepaduan, kerjasama, dan pengawasan pusat yang rapi dan mantap turut akan membantu mencapai aspirasi Kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat terutamanya mereka di bandar-bandar utama untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.Adalah penting bagi kita untuk mengambil iktibar dari pengalaman kita yang lepas dan amalan-amalan terbaik di dunia dalam membuat keputusan tentang operator untuk perkhidmatan rel termasuk MRT dan LRT.
Mengimbas kembali sebelum infrastruktur dan sistem tiket laluan LRT dan monorel disepadukan beberapa tahun yang lepas, rakyat yang menggunakan perkhidmatan LRT dan monorel terpaksa berjemur di bawah terik matahari atau basah kuyup di bawah hujan lebat ketika menyeberangi ke stesen berdekatan yang dibina oleh pengusaha-pengusaha yang berlainan pada masa yang lepas.Rakyat turut terpaksa membeli tiket yang baharu untuk setiap laluan atau perjalanan di laluan rel yang berlainan.Berkat usaha menyepadukan sistem infrastuktur dan sistem tiket ketiga-ketiga laluan tersebut di ibukota beberapa tahun yang lepas, rakyat kini dapat bergerak di antara satu tempat ke tempat yang lain dengan lebih mudah, pantas dan selamat.Penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam turut mencatatkan peningkatan dari segi penumpang dari tahun ke tahun.
Sekiranya kita mengkaji kejayaan sistem pengangkutan awam di Hong Kong yang hampir kesemua rakyatnya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita akan mendapati bahawa sistem rel mereka dikendalikan oleh hanya satu operator, apabila dua operator yang berasingan digabungkan pada beberapa tahun yang lalu.Gabungan di antara KCRC (Kowloon–Canton Railway Corporation) dan MTR Hong Kong telah mewujudkan salah satu operator rel yang paling cekap dan berjaya di dunia.
Di London, walaupun sistem pengangkutan awam dikendalikan oleh pemegang konsesi yang berbeza, ia diuruskan dengan baik dan rapi oleh Transport for London di bawah kelolaan Pejabat Datuk Bandar London. Masih terdapat banyak usaha yang perlu diambil untuk memantap dan menambahbaikkan perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang, khususnya di bandaraya Kuala Lumpur.Namun, kemasukkan satu lagi operator yang baru bukanlah jawapannya. Janganlah kita mengubah model operasi kini sekadar untuk berubah atau untuk mewujudkan persaingan.
Sebaliknya, kita harus menghalusi persoalan-persoalan berikut demi kepentingan rakyat dan negara:
· Sejauh manakah sistem MRT berintegrasi dengan sistem rel dan bas sekarang?
· Apakah sistem tiket yang bakal digunakan?
· Apakah tahap integrasi dari segi sistem penjadualan?
Bayangkan kesusahan yang bakal dialami rakyat sekiranya operator yang berbeza memperkenalkan sistem yang berbeza.Bayangkan juga kos yang terlibat sekiranya pelbagai pihak cuba menarik tenaga kerja dan kepakaran dari dalam dan luar negara untuk mengendalikan sistem rel masing-masing.Bagi saya, adalah lebih wajar sekiranya pengendalian sistem rel di ibukota dikendalikan oleh satu pihak dibandingkan dengan pelbagai pihak.Pihak yang mengendalikan sistem rel tersebut haruslah mempunyai pengalaman dan kepakaran sediaada.Apa yang turut diperlukan sekarang adalah pemantauan dan kawalselia yang rapi untuk memastikan tahap pengendalian dan kepuasan pelanggan yang tinggi.
** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.