Ikut saluran betul untuk lakukan perubahan di FAM

Fadzrie Hazis
Jun 8, 2013 07:30 MYT
Saya ingin memulakan ruangan minggu ini, dengan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Shafik Imran Syahril, pelatih skuad projek berbasikal Terengganu yang meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan minggu ini.
Insiden ini turut mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menyarankan, pemandu-pemandu supaya lebih berhati-hati apabila berdepan atlet berbasikal yang sedang menjalani latihan.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, PKBM turut memberi jaminan mengetatkan latihan berbasikal di lebuhraya, yang membabitkan pelumba-pelumba tempatan.
Justeru, sudah pasti kita berharap insiden seperti ini tidak lagi berulang.
Selain pemergian Mohd Shafik, laporan media arus perdana minggu ini juga tertumpu kepada beberapa tokoh bola sepak tempatan yang tampak mahukan perubahan dalam pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM.
Namun, kaedah tokoh-tokoh terbabit mendesak perubahan dilakukan seakan tidak mengikut cara yang tepat.
Cadangan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa, EGM juga tidak relevan kerana sekretariat FAM sudah pun memutuskan Kongres FAM pada 17 Ogos tahun ini.
"Saya tiada masalah mengadakan EGM.Ia terpulang kepada ahli gabungan FAM untuk melakukan EGM bagi menyelesaikan segala isu berbangkit.
"Mereka (ahli gabungan) harus menghantar notis itu tiga bulan sebelum ia ditetapkan kepada pihak sekretariat dan pada pendapat saya ia sudah terlambat kerana Kongres sudah ditetapkan," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad kepada sebuah akhbar tempatan pada Sabtu.
Justeru, jika notis dihantar sekalipun, ia akan dilakukan selepas Kongres FAM.
Beberapa ahli gabungan negeri FAM memang lantang bersuara, tetapi kebiasaannya ketika berlangsungnya pemilihan di Kongres FAM, mereka tidak berani mencalonkan nama baru untuk pucuk pimpinan persatuan itu dan hanya melenting, menerusi media selepas itu.
Sebagai seorang penulis sukan, saya tidak menyebelahi FAM dan saya hanya cuba memberi gambaran yang lebih jelas buat peminat bola sepak tempatan lebih memahani isu ini.
Terdapat juga, pemimpin sebuah persatuan negeri,..yang agresif mengkritik FAM, tetapi masih belum melangsaikan bayaran gaji beberapa bulan pemainnya, serta juga caruman KWSP.
Jadi apakah jaminan, mereka yang agresif bersuara ini, mampu menambah baikkan FAM jika diberi peluang mengetuai persatuan itu?
Secara ikhlas, saya juga mahu melihat keberkesanan pentadbiran FAM dalam menguruskan kancah bola sepak negara.
Jika mereka yang gemar mengkritik FAM ini ikhlas cintakan bola sepak negara, mungkin mereka boleh mengusulkan cadangan ketika EGM atau Kongres,..mengenai penubuhan entiti berbeza untuk menguruskan saingan Liga M.
Saya percaya, jika pendekatan seperti ini diambil, ia juga mampu memperbaiki tahap bola sepak negara.
Ia juga adalah antara syarat Konfederasi Bola Sepak Asia, AFC untuk mencapai piawaian beraksi di kancah Liga Juara-juara Asia.
Sekiranya ahli gabungan negeri sebulat suara mahukan pucuk pimpinan baru di FAM, sebenarnya sudah pun ada pemimpin pelapis yang berupaya memimpin persatuan itu.
Pemimpin yang saya maksudkan ialah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga naib presiden AFC, serta presiden Konfederasi Hoki Malaysia (M-H-C).
Kepada mereka yang gemar mengkritik itu, saya berharap mereka ikhlas mahukan yang terbaik buat bola sepak negara dan usulkan cadangan mengikut saluran tepat bagi memastikan, perubahan bakal diraih.
Jika hanya mengkritik menerusi media dan cubaan mempengaruhi peminat menghina pucuk pimpinan FAM, ia tidak akan membawa perubahan yang diharapkan dalam persatuan ini.
#bola sepak #FAM #Malaysia
;