Hugo Chavez dan Arab
Wan Mahazir Wan Mahamud
Mac 14, 2013 07:29 MYT
Mac 14, 2013 07:29 MYT
Bekas Presiden Venezuela, mendiang Hugo Chavez amat popular di kalangan negara-negara Arab. Populariti beliau meningkat berikutan sokongannya terhadap pelbagai isu sehingga digelar sebagai "Chavez Arab".
Menjadi kegemaran Chavez jika dirinya disamakan dengan dengan Presiden Mesir, Jamal Abdul Nasir yang kerap kali menyampaikan ucapan bersemangat dan merintis pelbagai inisiatif ke arah menyatukan bangsa Arab. Jamal juga dilihat lantang terhadap Amerika Syarikat, barat dan Israel sehingga berjaya mencetuskan kebangkitan semangat dalam kalangan bangsa Arab pada masa tersebut. Chavez nampaknya telah mengikut jejak langkah Presiden Mesir itu dalam isu sama. Beliau secara terang-terangan menyatakan bantahan terhadap polisi Amerika Syarikat. Turut dikritik keras, perang negara Uncle Sam itu di Afghanistan dan Iraq. Malah Chavez konsisten mengkritik pencerobohan dan kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin dan Lubnan.
Dalam masa sama, Chavez adalah daripada kalangan minoriti yang menyatakan bantahan keras terhadap perang menentang pengganas yang dimulakan oleh Amerika Syarikat berikutan peristiwa 11 September 2001. Hubungan Caracas - Washington terjejas apabila Chavez menuduh pentadbiran George W. Bush “menentang pengganas dengan pengganas” semasa perang di Afghanistan. Chavez juga tidak mempedulikan sekatan ke atas Iraq apabila melakukan lawatan ke negara berkenaan pada tahun 2000 dan meluangkan masa di tempat terbuka di Baghdad bersama Presiden Saddam Hussein.
Pada tahun 2006, apabila beberapa kerajaan negara Arab masih lagi buntu untuk memberikan reaksi terhadap serangan Israel di Lubnan, Chavez membuat keputusan drastik memanggil pulang dutanya di Tel Aviv sebagai membantah serangan tersebut. Malah hubungan diplomatik berapa di tahap minimum. Chavez menyifatkan hubungan dengan Israel tidak memberikan sebarang manfaat.
Palestin
Pada Januari 2009, Chave melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh negara-negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Beliau menghalau keluar duta dan semua pegawai kedutaan Israel dari Venezuela sebagai membantah serangan ke atas Gaza. Chavez menganggap Tel Aviv melakukan tindakan sebuah negara pengganas dan melakukan jenayah kemanusiaan. Lebih daripada itu, beliau menyelar dan menyifatkan tentera Israel sebagai penakut.
Rentetan daripada itu, pada tahun sama, Venezuela buat pertama kali mengiktiraf secara rasmi Palestin sebagai sebuah negara dengan kedaulatan tersendiri. Kedutaan Palestin dirasmikan di Caracas. Chavez juga kerap kali melaungkan sokongan terhadap usaha Palestin untuk menganggotai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan perjuangan mewujudkan negara merdeka untuk rakyat Palestin. Beliau juga mendedahkan hasratnya untuk membuka kedutaan di Palestin dan meningkatkan tahap hubungan diplomatik.
Ketika lawatan Presiden Palestin, Mahmud Abbas ke Venezuela pada tahun 2009, Chavez menyarankan isu Palestin dijadikan silibus di sekolah dan universiti di seluruh Amerika Latin. Beliau menegaskan adalah penting bagi generasi muda memahami sejarah dan konflik Palestin. Beliau juga mengarahkan Menteri Pendidikannya pada masa itu mengagihkan peta Palestin di sekolah-sekolah supaya pelajar dapat melihat saiz sebenar tanah Semenanjung Gaza yang sempit yang didiami lebih 1.5 juta penduduk dengan sempadan dikepung Israel.
Persahabatan dengan negara Arab
Mendiang Hugo Chavez juga dikenali sebagai pemimpin yang lantang mengkritik perintah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dikeluarkan pada tahun 2009 bagi memberkas Presiden Sudan, Umar Hasan Al-Bashir. Menurutnya, tindakan berkenaan menghina dan tidak menghormati rakyat dunia ketiga.
Semasa Sidang Kemuncak Arab - Latin di Doha beliau menimbulkan persoalan arahan tangkap tidak dikeluarkan terhadap George W. Bush atau Presiden Israel, Shimon Peres. Beliau juga mempertikaikan Ketua Pendakwa Raya ICC, Luis Moreno-Ocampo yang tidak menjalankan siasatan terhadap jumlah kanak-kanak yang terkorban di Iraq di tangan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya.
Bagaimanapun, sepanjang kebangkitan rakyat yang melanda Yaman, Mesir dan Tunisia, tidak begitu jelas sama ada Chavez menyatakan pendirian dalam perkembangan berkenaan. Ramai berpendapat ia berikutan hubungan Chavez dengan pemerintah negara berkenaan tidak begitu akrab.
Pun begitu, Chavez tidak mengubah pendirian akrabnya dengan Muammar Ghadafi dan Presiden Syria, Bashar Al-Assad yang berdepan dengan kebangkitan rakyat menuntut revolusi. Pandangan Chavez terhadap revolusi Arab agak kontroversi kerana beliau beranggapan negara-negara barat telah merancang revolusi tersebut demi menjejaskan kestabilan rantau Arab dan memonopoli kekayaan semulajadi, terutama minyak.
Ketika Ghadafi dibunuh, Chavez menganggapnya sebagai syahid dan pejuang besar. Beliau juga melahirkan sokongan tidak berbelah-bagi terhadap Bashar yang sedang bergelut menentang pemberontak dan menyifatkannya sebagai perjuangan menentang imperialisme Amerika dan sekutunya, Eropah.