Himpunan terbesar manusia
Dr Azlinariah Abdullah
Oktober 15, 2013 12:02 MYT
Oktober 15, 2013 12:02 MYT
MASIH saya ingat, ramai yang bertanya mengapa perayaan Aidiladha di Kelantan lebih meriah berbanding negeri-negeri lain di negara ini. Saya tidak juga lupa bahawa di kalangan yang bertanya itu, ada yang membandingkan pula Aidiladha di Kelantan lebih disambut besar-besaran dan bukannya Aidilfitri sebagaimana di negeri lain. Saya tidak ada jawapan khusus untuk soalan dan perbandingan itu.
Tetapi rakan-rakan saya - majoriti dari Kelantan, tidak ketinggalan balik kampung, bercuti panjang dan menunaikan ibadat korban, menyediakan juadah ketupat dan rendang setiap kali perayaan itu. Semua persediaan itu lazimnya dibuat semasa sambutan Aidilfitri.
Saya tidak mahu tulisan ini menjadi agama sifatnya walaupun ia membincangkan dalam kerangka isu agama – Aidiladha atau Hari Raya Korban. Sejarahnya Aidiladha atau Hari Raya Korban , ia tidak boleh lari daripada membicarakan soal ibadat haji, salah satu rukun untuk umat Islam.
Semasa bulan Zulhijjah, iaitu musim menunaikan haji mereka yang dipanggil menjadi tetamu Allah ke Arab Saudi akan meninggalkan tanah air untuk ke sana. Untuk ke sana, sudah pasti bukan sedikit pengorbanan material dan bukan material diberikan. Bagi mendapat haji yang mabrur pula, doa dan ibadat tidak putus-putus dipanjatkan kepada Pencipta supaya dianugerahkan sedemikian.
“Itulah sebab kenapa Aidiladha itu sepatutnya lebih meriah daripada perayaan lain. Satunya, kerana 10 Zulhijjah kepada sesetengah pihak adalah lebih baik daripada Ramadan - bulan yang kemudiannya kita merayakan Aidilfitri,’’ jelas seorang rakan junior dari Kelantan semasa ditanya mengenainya. Tambah Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh lagi, adunan ibadah sempurna melengkapi semua rukun Islam yang dapat dilaksanakan pada 10 hari di dalam Zulhijjah, solat, puasa, zakat (sedekah) dan haji. Perkara ini semua katanya, menjadikan bukan sahaja Jemaah, malah seluruh umat Islam mengangkatnya sebagai satu kemeriahan.
Dalam konteks kemeriahan itu sendiri, sejarah menunaikan haji itu barangkali ada kaitannya dengan Kelantan. Saya ingin memetik catatan Suma Oriental Tom Pires, pembantu Alfonso de Alburqueque sebagaimana ditulis dalam Sejarah Melayu yang menyebut mengenai berlaku perdagangan dan pelayaran melibatkan penduduk Nusantara pada masa itu. Perlu diingatkan bahawa catatan penulis dan bendahara Portugis itu tidak boleh dianggap rekod terawal berkaitan pelayaran masyarakat Melayu menunaikan haji ke Mekah memandangkan haji itu sendiri satu kewajipan yang dilaksanakan umat Islam.
Catatan yang tidak kurang penting mengenai Jemaah haji dan kepulauan Melayu ialah perjalanan ilmuwan Muhamad Yuusuf Ahmad atau lebih dkenali sebagai Tok Kenali pada 19 Masehi (13 Hijrah). Tok Kenali berasal dari Kelantan melanjutkan pengajian agama beliau di Mekah ketika berusia 18 tahun. Ada catatan menyebut, beliau mengambil masa selama enam bulan untuk sampai ke Mekah. Tok Kenali kemudiannya mengambil keputusan menetap di Mekah bagi menuntut ilmu di samping menunaikan umrah dan haji. Pada usia 40 tahun, Tok Kenali kembali ke Kelantan dan mengasaskan pengajian Islam. Usahanya itu, yang kemudiannya menarik lebih ramai jemaah menjadi sepertinya kekal sehingga hari ini - sehingga tahun ini 1434 Hijrah. Selain beliau, ilmuwan Islam di kepulauan Melayu yang terkenal ialah Hamzah Fansuri yang belayar ke Mekah pada akhir abad ke-16 dan Abdul Rauf Singkel, menunaikan haji pada 1643 Masehi (1052 Hijrah).
Menyentuh mengenai kemeriahan itu juga saya ingin mengaitkan dengan rukun Islam kelima ini dengan perhimpunan. Di Padang Arafah, semua umat Islam berkumpul untuk wukuf - satu perhimpunan terbesar lambang penyatuan umat Islam.
Saya jadi teringat kepada satu puisi indah karya Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan apabila menggambarkan mengenai perhimpunan ini. Puisi berjudul “Munajat Aidiladha” yang dibaca beliau pada majlis Kembara Bahasa 5 November 2011 itu saya petik sedikit untuk perkongsian. Katanya, dengan izin:
Saban tahun
Perhimpunan di tanah pilihan-Mu
Tiada berkurang malah melimpah
Para tamu-Mu datang menyerahkan diri
Tiada terbendung air mata dan luahan hati
Bermunajat dikembalikan kepada fitrah laksana bayi
Suci daripada dosa, suci daripada fasad dan fahsya'
Tawaf di Ka`bah yang penuh bersejarah
Saii dari Safa ke Marwah
Wuquf di Arafah
Bermalam di Muzdalifah
Melontar di tiga jamrah di Mina
Dan segala amal lain bukti penyerahan diri kepada-Mu
Tiada terungkapkan nikmat dan syahdunya
Dalam sejarahnya, tiada yang lebih besar daripada penyatuan umat selain di Mekah ketika bulan Zulhijjah. Kalau pun ada himpunan lain barangkali, perlawanan bola sepak atau Sukan Olimpik misalnya. Pesta Olimpik di London sebagai contoh boleh dianggap perhimpunan kemanusiaan terbesar yang berjaya menyumbangkan perasaan kesejagatan sesama insan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik melalui semangat kesukanan. Ia adalah lebih bermakna dalam menyatukan tumpuan manusia di seluruh dunia berbanding institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Lebih-lebih lagi pada zaman dunia dikecilkan dan disatukan melalui rangkaian media sosial yang telah menyelubungi keseluruhan planet bumi.
Namun pada lapis lain, dengan kemudahan rangkaian sosial itu, ada baiknya kita berhenti sejenak dalam kesibukan hidup abad ke-21 untuk memperingati falsafah di sebalik haji, Aidiladha dan korban.
Pada Selasa, 15 Oktober 2013, umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha dan sewajarnya kita ambil peluang untuk lakukan itu semua walaupun tidak terkejarkan masa 24 jam sehari diberikan kepada semua kita secara adil.