Hilangnya sebutir mutiara hoki negara
Fadzrie Hazis
Ogos 3, 2013 07:50 MYT
Ogos 3, 2013 07:50 MYT
Minggu ini, warga sukan tempatan dikejutkan dengan kematian bintang hoki kebangsaan, Chua Boon Huat yang terbabit dengan kemalangan di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) pada jam 3 pagi Khamis lalu.
Kereta Proton Perdana yang dipandu mendiang, melanggar sebuah lori penyiram bunga berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, yang menyebabkan mendiang mengalami kecederaan parah di bahagian tengkuk dan meninggal di tempat kejadian.
Sama ada kebetulan atau suratan, Boon Huat atau lebih sinonim dengan panggilan Chua serta apek dikalangan rakan sepasukan, sempat menghabiskan masa bersama skuad kebangsaan dengan pegawai tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), dalam majlis berbuka puasa persatuan itu, tujuh jam sebelum kemalangan yang meragut nyawanya.
Berasal dari Bukit Cina, Melaka, Chua adalah pemain yang mudah didekati tetapi mempunyai perwatakan kental di atas padang setiap kali menyarung jersi negara.
“Ketika berdepan skuad remaja Jerman di Kejohanan Jemputan Empat Negara di Poznan pada 2000, kami ketinggalan 4-0 dan kesemua pemain mahu bermain secara selamat untuk memastikan lawan tidak menambah jaringan.
“Kami menyedari Jerman lawan lebih ampuh, tetapi sebagai kapten skuad remaja negara, Chua berfikiran sebaliknya, apabila berkata kepada saya, dia akan menjaringkan gol dan meminta saya menghantar bola kepadanya dalam kawasan D.
“Saya mengikut arahannya dan umpanan tepat diberi kepada Chua dan beliau menjaringkan gol pada perlawanan itu dan saya bertanya kepadanya, mengapa jaringan itu penting?
“Jawab Chua, apabila dia beraksi, dia mahu meninggalkan kesan supaya lawan mengingati dia dan dia mahu membuat perubahan,” kata Logan dalam kolum khasnya di akhbar The Malay Mail Jumaat lalu.
Kesemua rakan sepasukan Chua, berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dari awal pagi Khamis sehingga tengahari, untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya sebelum pihak keluarga mendiang menuntut mayatnya dibawa pulang ke Melaka untuk disemadikan.
Turut berada di PPUM pada Khamis ialah Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad dan juga pengendali skuad kebangsaan, Paul Revington dan penolongnya, Arul Selvaraj.
“Saya bersamanya semalam (Rabu malam) ketika majlis berbuka puasa MHC tetapi sayangnya dia kini sudah meninggalkan kita semua.
“Pemain-pemain berasa sedih dengan kehilangannya, tetapi kami perlu kembali fokus dan cara terbaik untuk mengingati mendiang adalah dengan beraksi baik di Piala Asia bulan ini,” titah Tengku Abdullah.
Bagi saya sendiri secara peribadi, turut mengikuti perkembangan pemain yang sinonim dengan jersi nombor 3 ini, walaupun lebih banyak beraksi sebagai pemain penyerang.
Kali pertama saya menyaksikan kelibat Chua beraksi, adalah pada perlawanan akhir Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, ketika mendiang baru berusia 17 tahun dan saya ketika itu, masih seorang penuntut kolej berusia 20 tahun.
Sebagai wartawan, kali pertama saya menemubual mendiang, adalah ketika membuat liputan Piala Sultan Azlan Shah, sekitar tahun 2004 dan 2005, manakala di kejohanan antarabangsa ialah ketika Sukan Komanwel Melbourne 2006.
Mendiang yang saya kenali memang seorang yang peramah dan kerap menyapa saya apabila terserempak di sebuah kedai kopitiam di Bangsar, ketika saya masih seorang wartawan di sebuah akhbar arus perdana sekitar 2007 hingga 2009.
Rata-rata rakan sepasukan kebangsaan dan juga Revington mengakui, Chua tidak sabar beraksi di saingan Piala Asia yang bakal berlangsung di Ipoh akhir bulan ini.
Mendiang dikatakan berazam, mahu membantu negara meraih kejuaraan bagi mengesahkan tempat ke Piala Dunia di Belanda tahun depan, selepas gagal menempah tiket di saingan Liga Hoki Dunia sebelum ini.
Ketika Revington mengambil alih tugas ketua jurulatih kebangsaan, saya menyokong tindakannya memanggil semula Chua ke skuad kebangsaan selepas beberapa tahun tidak disenaraikan.
“Dia seorang pemain berpengalaman dan mampu menjadi pembimbing kepada rakan sepasukan yang lebih muda dalam pasukan.
“Dia juga berjaya membentuk keserasian baik dengan Faizal (Saari) di bahagian serangan,” kata Revington ketika menjadi tetamu Sukan Awani Ekstra tidak lama sebelum ini.
Memang, kehilangan Chua akan dirasai tetapi perjuangan di Piala Asia perlu diteruskan juga dalam usaha merebut tiket ke saingan Piala Dunia.
Justeru, saya bersetuju dengan saranan Tengku Abdullah yang mahu pemain-pemain negara mengingati mendiang, dengan menjelmakan aksi ampuh di saingan Piala Asia dan merealisasikan impannya membawa skuad negara ke Piala Dunia.
Tidak terlewat juga buat saya, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Chua Boon Huat di atas kehilangan mereka yang juga saya sifatkan sebagai kehilangan besar buat sukan negara.
Terima kasih Chua, di atas kudrat dan pengorbanan buat skuad hoki kebangsaan sejak 1998, jasamu tidak akan kami lupakan.