Hidangan yang 'sedap'

Syazwan Zakariah
Oktober 26, 2013 13:22 MYT
Terima kasih kepada Astro First kerana menjadi saluran alternatif untuk Spicy Killers (atau tajuk asalnya Claypot Curry Killers) ditayangkan kepada umum.
Adalah menjadi satu kerugian jika filem yang diharamkan tayangan pawagam ini tidak dapat disaksikan kerana ia adalah filem yang baik - malah mungkin antara filem terbaik Malaysia tahun ini (yang mana jumlahnya pun sangat sedikit).
Dua tahun karya tulisan dan arahan James Lee ini terperap apabila Lembaga Penapis Filem (LPF) merasakan filem ini ‘bermasalah’. Walaupun James dan pihak produksi terpaksa melakukan penggambaran semula untuk beberapa babak, namun LPF tetap merasakan ia tidak sesuai untuk penonton kita.
Lalu terhasillah dua versi filem yang mempunyai beberapa adegan dan penamat yang berbeza. Versi asal disasarkan untuk pasaran antarabangsa (termasuk tayangan di festival seperti Festival Filem Fantastik Antarabangsa Indonesia 2011 dan Festival Filem Antarabangsa Asia Fukuoka 2012).
Manakala, versi Malaysia dipinda untuk disesuaikan dengan penerimaan dan sensitiviti orang tempatan atau lebih tepat demi ‘selera’ LPF. Diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas, tidak dinafikan Spicy Killers adalah antara filem Malaysia paling berani, ganas dan sadis yang pernah dihasilkan.
Tema kanibal atau dalam bahasa mudahnya bermaksud manusia memakan manusia tidak asing di Barat. Malah filem-filem dari rantau Asia juga sudah lama memulakannya. Antara yang popular ialah Meat Grinder (2009) dari Thailand dan Rumah Dara (2010) dari Indonesia. Di sini, Spicy Killers yang pertama.
Mrs Chew (lakonan Pearlly Chua) mempunyai tiga anak perempuan. Suaminya pemabuk dan kaki judi. Pada suatu malam, selepas pulang dari berniaga di gerai kecil, dia mendapati anak sulung mereka, Xi Xi dirogol bapanya sendiri.
Chew cuba menghalang tetapi dia dipukul dan disepak terajang. Xi Xi yang sempat melarikan diri datang membawa pisau lalu menikam bapanya. Chew yang tidak dapat membendung kemarahan menamatkan riwayat suaminya.
Kerana ingin menghilangkan bukti atau mungkin disebabkan terlalu benci, mayat suaminya dilapah lalu dijadikan resepi terbaru kari daging yang dimasak di dalam mangkuk tanah liat. Kesedapan kari itu membuatkan perniagaan Chew maju, lantas mendesak dia anak-beranak untuk mencari mangsa seterusnya.
Selang beberapa tahun, anak-anak Chew pun sudah dewasa. Xi Xi (Debbie Goh), anak yang paling cantik ditugaskan untuk menjerat lelaki hidung belang, lalu dibawa ke rumah untuk ditumpaskan oleh anak kedua, Xi Yu (Mandy Chen). Sementara anak ketiga, Xi Mei (Olivia Kang) hanya disuruh fokus belajar.
Kekalutan mula tercetus apabila Chef Zou (Jeff Chin) yang popular ingin menawarkan peluang perniagaan sekaligus mendapatkan resepi rahsia Chew. Walaupun ditolak secara baik, Chef Zou dan konco-konconya tetap memaksa menyebabkan Chew sekeluarga menganggap mereka sebagai ancaman.
Dalam masa sama, Chew dan Xi Xi berusaha untuk menghalang Xi Yu dan Xi Mei dari jatuh cinta. Mereka berniat menghapuskan lelaki-lelaki terbabit.
Sekali imbas, jalan ceritanya mungkin mempunyai sedikit persamaan dengan filem komedi Hollywood, Auntie Lee’s Meat Pies (1992). Namun, tona dan perasaannya berbeza kerana keluarga Chew mempunyai motif serta motivasi yang berlainan. Bermula sebagai mangsa, mereka berubah menjadi pemangsa.
Kitaran ini menjadikan watak anak-beranak Chew sangat menarik. Definisi protagonis dan antagonis di dalam filem ini tidak konvensional membuatkan penonton berbelah-bagi sama ada mahu menentang atau menyokong, terutamanya kepada Xi Yu, gadis suci yang terpaksa membunuh demi keluarga.
Mereka terdesak melakukannya demi survival serta meraih keuntungan melalui dendam dan kesengsaraan yang pernah dialami. Mereka seakan tidak mampu untuk berhenti membunuh dan menyembelih manusia kerana ia punca rezeki.
Kekejaman inilah yang menjadi tabu kepada LPF yang bimbang ia sukar diterima penonton kerana ia berlaku dalam suasana dan persekitaran tempatan. Saya tidak menafikan kewajarannya, tetapi olahan James dari aspek emosi dan psikologi setiap watak, jika tidak hebat pun, agak meyakinkan dan dipercayai.
Bagi sebuah filem tempatan, visual untuk babak-babak pembunuhan sangat impresif. Saya terasa ngilu dan mual setiap kali imej pisau, alatan tajam mahupun darah memercik ditampilkan (dan saya percaya visual untuk versi asal lebih ‘menakutkan’ sebelum ia ditapis dan dinasihatkan LPF).
Naratifnya teratur meskipun terdapat beberapa kelemahan kecil. Penceritaannya jelas biarpun James ‘memudahkan’ setiap proses pembunuhan atau pelupusan bukti dan jejak setiap mangsa, tanpa menimbulkan sebarang keraguan selepas keluarga Chew melakukan jenayah itu bertahun lamanya.
Lakonan para pemain berada dalam standard yang baik, terutamanya keempat-empat pelakon wanita utama. Cuma mungkin Chef Zou yang lembut kelihatan stereotaip dan agak menjengkelkan walaupun atas alasan watak jenaka.
Seperti mana visual ketika kari menggelegak dihidangkan, begitulah ‘sedapnya’ filem ini pada saya. Ia menghiburkan seperti mana seronoknya pengunjung restoran menikmati hidangan lazat dari resepi Chew hasil kepandaian James.
#Astro First #claypot curry killers #Spicy Killers
;