Hati kami hanya di sini
Fatin Nadia
September 15, 2013 16:34 MYT
September 15, 2013 16:34 MYT
Kalau kita percaya apa yang dibaca di media sosial hari ini tampaknya seolah-olah apa saja usaha untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara ini akan dipandang serong. Mengisytiharkan kecintaan dan dokongan kepada negara dengan cara yang positif selalu dilihat sebagai kosong dan tidak mempunyai makna.
Dari manakah semua sikap negatif ini datang? Itu satu soalan yang saya rasa harus ditanya oleh setiap warga Malaysia sekiranya kita mahu bergerak ke depan. Sementara kita merenungkan soalan itu, tanyakan juga kepada diri sendiri apakah yang telah kita lakukan untuk menimbukan rasa positif dan mengungkapkan cinta dan harapan terhadap negara?
Salah satu cara untuk memberi inspirasi atau menyebarkan mesej yang positif dan penuh harapan kepada masyarakat ialah dengan menerbitkan filem, menggubah lagu atau menghasilkan sebuah karya seni. Sebagaimana yang kita sedar, pada setiap musim perayaan syarikat-syarikat korporat tanpa gagal menerbitkan usaha-usaha yang membawa mesej kebersamaan, harmoni dan perayaan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR). Sambutan Merdeka ke-56 dan Hari Malaysia ke-50 tahun ini begitu juga.
Sebuah badan yang kempennya ditunggu-tunggu ialah Petronas. Untuk tahun ini saja kempen badan itu untuk menggalakkan perpaduan melibatkan tiga aspek. Yang pertama ialah Love Letters to the Nation iaitu sebuah acara yang mempamerkan semua usaha mereka sebelum ini dan hadirin diminta untuk berkongsi pandangan mereka mengenai video-video yang ditayangkan.
Ia diikuti dengan filem pendek Children. Ini merupakan video untuk sambutan Merdeka dan Hari Malaysia yang merayakan nilai, cita-cita dan impian bersama yang dikongsi oleh banyak rakyat Malaysia dalam lingkungan hidup masing-masing. Video itu memaparkan kehidupan empat keluarga dari latar belakang yang berbeza. Mesejnya ialah biarpun hidup kita tidak sama dan laluan hidup kita tidak pernah bertembung tetapi harapan dan cita-cita tetap sama.
Mesej yang kuat dengan visual dan arahan yang menarik ini dihasilkan oleh pengarah muda berbakat Quek Shio Chuan. Ia dipadukan dengan iringan muzik yang memikat. Sejak ditayangkan sempena Merdeka, video itu sehingga kini telah ditonton lebih sejuta kali di YouTube.
Kita berkongsi tanah yang sama, menghirup udara yang sama. Sejak lahir dan pertama kali membuka mata, kita merasa dan berfikir sebagai rakyat Malaysia biarpun pengalaman kita mungkin berbeza apabila berdepan dengan cabaran. Kita masih rakyat yang sama yang berbagi tanahair. Itulah yang digambarkan oleh lagu ciptaan penggubah terkemuka Audi Mok yang mengiringi puisi Tanahair hasil pena Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang. Ia dinyanyikan oleh empat penyanyi muda yang sedang meningkat naik — Aizat Amdan, Stacy, Suki Low dan Alinda. Ia sebuah lagu yang merayakan semangat kebangsaan kita dulu, kini dan selama-lamanya.
Sebagai mendokong lagu itu satu siri flash mobs melibatkan pemain gendang, pemuzik, penari dan penyanyi Tanahair diadakan di beberapa lokasi di Malaysia Timur dan di sekitar Lembah Klang dengan acara kemuncaknya di Publika pada 15 September. Lokasi-lokasi ini ditandakan dengan kotak-kotak yang diletakkan di tempat-tempat strategik dengan tanda pagar #tanahairku yang juga merupakan tanda pagar yang dipakai di Twitter.
Seiring dengan populariti tanda pagar itu, penyanyi Monoloque juga terilham untuk menghasilkan sebuah lagu dan video muzik untuk Merdeka dan Hari Malaysia. Ia menampilkan Datuk Siti Nurhaliza. Melodi utama lagu itu diadun dengan alat-alat muzik tradisional termasuk er hu dan sitar dengan liriknya dalam bahasa kebangsaan. Lagu itu sarat dengan semangat patriotik dan kekal relevan seperti puisi-puisi Usman Awang.
Lagu berjudul Tanahairku, Tanahairmu Jua menyeru rakyat supaya mengetepikan perbezaan baik politik mahupun sosio-ekonomi untuk bersama-sama mempertahankan negara dan kepercayaannya sebagai satu bangsa. Baris pertama daripada korus lagu itu "tua muda kanan kiri miskin kaya, inikan tanahairmu jua" mengungkapkan segala-galanya. Malaysia adalah tanahair kita untuk kita lindungi dan pertahankan tanpa mengira apa juga perbezaan kita.
Satu lagi baris yang saya rasa penting ialah:
Mampukah berpadu satu?
Di antara engkau dan aku,
Ramai ragu, banyak bisu,
Mari kita mulakan dulu.
Kesatuan dan kepaduan sosial tidak harus jadi tebu di tepi bibir. Usaha untuk mengubat luka negara ini tidak harus jadi bahan sindiran dan jenaka. Walaupun akan sentiasa ada yang meremehkan usaha-usaha itu, ada juga yang optimis dan selalu berusaha ke arah masa depan yang lebih baik. Apakah cara yang lebih baik untuk memulakan perubahan ke arah perpaduan yang sebenar yang akan dirasakan oleh semua orang kalau bukan dengan menunjukkan contoh?
Satu daripada kekuatan kita ialah masyarakatnya yang majmuk. Biarpun berbeza, kita memahami antara satu sama lain. Itulah kepaduan sosial. Kita unik dengan cara kita sendiri dan ini telah menyerap dalam cara hidup yang hanya rakyat Malaysia saja boleh memahaminya; cara yang kita dengan bangga mengatakan bahawa inilah cara kita.
Astro berjaya merakamkan semangat itu dalam video Excuse me sir, your Malaysian is showing, yang menggabungkan perkataan dan ungkapan yang merayakan apakah maknanya menjadi rakyat Malaysia yang sejati.
Semangat ke-Malaysia-an ini juga ditunjukkan dalam iklan Maybank. Sederhana, pendek tetapi bermakna. Ia menggalakkan kebersamaan melalui badminton. Suatu masa dahulu, inilah keadaannya di mana-mana kawasan kejiranan — bermain badminton bersama di jalan dengan jiran dan teman-teman. Tidak ada benteng kaum dan politik; apa yang ada hanyalah kawan-kawan yang berseronok dan bergembira.
Semua usaha ke arah perpaduan dan semangat kebangsaan oleh syarikat korporat, artis, penulis dan pemuzik ini adalah sesuatu yang murni. Sesetengah daripada kita mungkin tidak menyedarinya dan mungkin merasakan bahawa semua ini tidak penting. Tetapi semua itu adalah pesan-pesan kecil tentang hal-hal yang penting.
Baru-baru ini saya bertanya kepada beberapa orang teman apakah makna "tanahair" bagi mereka. Mereka menjawab ia rumah tempat mereka tinggal, berkasih sayang, membina hidup dan keluarga, tempat mereka meletakkan harapan untuk hari tua dan kemudiannya mati. Hati kami hanya di sini, di Malaysia.
Selamat Hari Malaysia kepada semua warga.
__________________
Fatin Nadia ialah penulis yang bertugas di sebuah firma media digital di Kuala Lumpur.