Harga ayam dan Akta Persaingan 2010
Adlan Abdul Razak
Januari 11, 2014 08:16 MYT
Januari 11, 2014 08:16 MYT
Ayam. Saban tahun kita disajikan dengan harga ayam yang meningkat naik terutamanya ketika musim perayaan. Malah, pada tahun ini, harga ayam diberitakan naik mendadak semenjak bermulanya Ramadhan. Keresahan pengguna ini dimanifestasikan oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohamad Idris, yang mahukan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mencari satu jalan penyelesaian yang konsisten dan memberi keuntungan kepada pengguna dan pengeluar.
Bagi pihak Kementerian, langkah-langkah yang diambil termasuklah mengusulkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengimport ayam, mencadangkan pemboikotan pembelian ayam dan mengumumkan harga siling ayam di bawah skim harga kawalan untuk ayam semasa musim perayaan. Inilah mekanisme yang diambil oleh KPDNKK saban tahun untuk menangani masalah harga ayam yang naik mendadak ketika musim perayaan. Walau bagaimanapun, masalah yang sama akan berulang dan seolah-olah terus menghantui KPDNKK untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan rakyat ini. Dan untuk kesekian kalinya juga, penternak ayam memberikan alasan yang sama, iaitu kenaikkan harga kos akibat peningkatan harga makanan ternakan ayam seperti jagung yang diimport.
Apakah tidak ada cara lain untuk mengatasi masalah ini? Pada tahun 2010, kita diperkenalkan dengan satu akta baru yang diberi nama Akta Persaingan 2010. Antara objektif akta ini ialah untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dengan menggalakkan dan melindungi proses persaingan, dan dengan demikian itu melindungi kepentingan pengguna. Ianya dapat dicapai kerana proses persaingan menggalakkan kecekapan, inovasi dan keusahawanan, yang menggalakkan harga yang berdaya saing, pembaikan dalam kualiti produk dan perkhidmatan dan pilihan yang lebih luas bagi pengguna. Akta ini melarang aktiviti anti persaingan yang boleh mengagalkan faedah yang boleh dicapai melalui proses persaingan yang sihat.
Persaingan yang sihat secara amnya melihat kepada aktiviti sesebuah perusahaan yang bersaing dengan perusahaan yang lain untuk memenangi hati pengguna dengan menawarkan perkhidmatan atau produk yang berkualiti pada harga yang berpatutan dan berdaya saing. Persaingan yang sihat bebas daripada aktiviti penetapan harga barangan misalnya ataupun menghadkan pengeluaran barangan atau perkhidmatan bagi mencapai satu harga yang palsu yang tidak menepati situasi sebenar pasaran. Persaingan yang sihat dapat menjamin pengguna memperolehi harga yang kompetitif dan sumber-sumber ekonomi diuruskan dengan optimum.
Bab Satu akta tersebut melarang perjanjian-perjanjian anti persaingan di antara perusahaan-perusahaan dan keputusan-keputusan anti persaingan oleh persatuan-persatuan. Perjanjian dan keputusan-keputusan ini dianggap bersifat anti persaingan mengikut akta berkenaan sekiranya ianya mempunyai mempunyai matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran bagi barangan atau perkhidmatan di Malaysia ataupun di dalam mana-mana bahagian di Malaysia. Perjanjian ini termasuklah apa-apa bentuk kontrak, perkiraan atau persefahaman, sama ada boleh atau tidak boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang, antara perusahaan, dan termasuklah suatu keputusan oleh suatu persatuan dan amalan bersepadu. Sesuatu perusahaann di bawah Seksyen 4, akta ini tidak boleh melakukan perkara-perkara berikut:
(a) menetapkan, secara langsung atau tidak langsung, suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan yang lain;
(b) berkongsi pasaran atau punca bekalan;
(c) membataskan atau mengawal—
(i) pengeluaran;
(ii) saluran keluar pasaran atau capaian pasaran;
(iii) pembangunan teknikal atau teknologi; atau
(iv) pelaburan; atau
(d) melakukan tipuan bida
Perjanjian di bawah undang-undang ini diberi tafsiran yang umum dan meluas dan termasuk jugalah perjanjian bertulis dan lisan. Sebagai contoh, perbincangan dan persefahaman mengenai harga di antara persaing-persaing samada melalui telefon atau email hatta di padang golf sekalipun boleh dianggap sebagai “perjanjian” di bawah akta ini. Perbincangan mengenai penetapan harga mahupun mendapat input-input yang boleh menentukan harga sesuatu barangan di dalam mesyuarat persatuan juga boleh dianggap sebagai satu perjanjian dan semua yang terlibat boleh dikenakan hukuman termasuklah ke atas mereka yang hanya hadir
tapi tidak terlibat dalm perbincangan tersebut, hanya mendengar.
Bagaimanakah akta ini dapat membantu mengatasi masalah kenaikkan harga ayam terutamanya di musim perayaan?
Artikel ini seterusnya akan melihat, dibataskan dan menggunakan maklumat yang terdapat di dalam laporan interim kajian pasaran ternakan ayam tempatan yang boleh dicapai melalui laman web Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Sehingga artikel ini ditulis, laporan akhir kajian ini belum dimuat naik ke laman web tersebut.
Mengikut laporan tersebut, pasaran ternakan ayam boleh dibahagikan kepada dua iaitu hasilan ternakan di ladang (ex-farm) dan aktiviti pemborongan termasuklah pengedaran, pemprosesan dan runcit. Kita difahamkan bahawa kenaikan harga ayam pada kali ini seperti mana pada tahun-tahun sebelumnya adalah berpunca daripada harga dedak import yang meningkat naik. (MyCC mungkin mahu menyiasat sekiranya terdapatnya penyalahgunaan kuasa pasaran oleh pengimport dedak tersebut). Oleh yang demikian artikel ini akan seterusnya merujuk kepada proses penghasilan ternakan di ladang untuk memastikan tidak berlakunya aktiviti yang bersifat anti persaingan yang mengakibatkan kerugian kepada pengguna.
Laporan interim tersebut menyebut bahawa pada masa kini, lebih banyak daging ayam diternak melalui sistem kontrak di antara integrator dengan penternak-penternak kecil. Penternak-penternak kecil ini akan dibekalkan dengan anak-anak ayam sehari, dedak ayam dan mengikuti program suntikan yang ditetapkan oleh intergrator tersebut. Ayam-ayam yang telah matang akan dijual kembali kepada intergrator pada harga yang telah ditetapkan. Pada setiap masa, ayam-ayam ini adalah milik intergrator sepanjang jangka hayat ayam tersebut di ladang-ladang penternak tadi. Penternak hanya menyediakan fasiliti untuk menjaga ayam- ayam tersebut bagi pihak intergrator dan di dalam kebanyakkan keadaan tidak mempunyai suara di dalam menetapkan harga ayam tersebut. Malah, di dalam laporan yang sama, MyCC mendapati bahawa kebanyakkan penternak ini hendaklah menjual ayam-ayam tersebut kepada pemborong yang mempunyai kaitan dengan intergrator pada harga yang telahpun ditetapkan terlebih dahulu. Sekiranya pembekal masih memerlukan daging ayam, mereka kemudiannya akan membeli daripada penternak-penternak bebas yang bersetuju untuk menjual ayam-ayam tersebut juga pada harga yang sama seperti mana yang telah ditetapkan ke atas penternak-penternak berkontrak tersebut. Penternak-penternak bebas juga tidak mempunyai kebebasan untuk menetapkan harga daging ayam yang dijual mereka.
Maklumat di dalam laporan itu juga menyebut, bahawa terdapat empat syarikat yang menjadi pembekal utama ayam-ayam daging (grandparent stock farms) kepada 92 ladang yang dikendalikan oleh 24 syarikat yang berbeza. Syarikat-syarikat utama ini juga mempunyai kilang dedak mereka tersendiri. Mereka jugalah yang membekalkan anak-anak ayam kepada ladang-ladang ternakan daging ayam seluruh Malaysia dengan bekalan anak-anak ayam sehari melebihi 540 juta setahun.Satu lagi perkara yang menjadi persoalan ialah walaupun permintaan untuk daging ayam kurang daripada penawaran bagi tempoh di antara 2001 hingga 2011, bagaimanakah harga daging ayam boleh meningkat naik saban tahun?
Apakah terdapat pakatan atau kartel di dalam pasaran bekalan daging ayam seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010? Kartel selalunya terdapat di dalam pasaran yang mempunyai ciri-ciri berikut;
(a) hanya mempunyai sedikit pesaing yang memudahkan mereka untuk bekerja sama,
(b) menawarkan produk yang serupa,
(c) sekatan kemasukkan pesaing-pesaing baru yang tinggi seperti modal yang tinggi yang diperlukan,
(d) mempunyai saluran komunikasi sesama mereka, mungkin melalui persatuan dan
(e) mempunyai kapasiti pengeluaran yang tidak digunakan yang memberikan lebih insentif kepada perusahaan untuk bekerja sama bagi mengelakkan persaingan harga.
Dengan menggunakan kekuatan Seksyen 4 Akta Persaingan, MyCC seharusnya telahpun menjalankan siasatan untuk mengenal pasti samada terdapat perlanggaran di bawah Seksyen tersebut terutamanya bagi mengenalpasti sekiranya terdapat perjanjian bagi penetapan harga bekalan anak ayam sehari di ladang, sebarang perkongsian bekalan atau sumber seperti melihat kepada pembekalan dedak ayam misalannya. Sekiranya terdapat perlanggaran kepada mana-mana bahagian di bawah Akta Persaingan ini, pihak yang bersalah bolehlah dikenakan denda sehingga 10% daripada jualan tahunan sesuatu perusahaan itu sendiri. Satu jumlah yang agak besar dan sekiranya sesuatu perusahaan itu bijak tentunya ia akan bekerjasama dengan MyCC dan cuba untuk meminta kelonggaran di bawah Seksyen 41 Rejim Kelonggaran dengan mendedahkan perjanjian yang sedia ada dan mendapatkan penurunan sehingga 100% daripada apa-apa penalti yang dikenakan.
Akta Persaingan 2010 jika dikuatkuasakan dengan baik berupaya untuk mengawal selia tindak tanduk perusahaan bagi menjamin persaingan yang sihat yang seterusnya akan menguntungkan pengguna. Dengan Akta ini juga, kemelut harga ayam saban tahun berkemungkinan akan berakhir.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Adlan Abdul Razak adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang, UiTM
**Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.