Gejala rasuah perlu diperangi

Fadzrie Hazis
September 1, 2013 08:00 MYT
Minggu ini, laporan mengenai gejala bola sepak kembali menghantuai kancah bola sepak tempatan.
Kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan mengenai kelibat beberapa pemainnya yang mencurigakan dalam saingan Piala Malaysia, turut menjadi laporan utama sebuah akhbar arus media utama minggu ini.
Sebelum ini, Mohammad yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), sudah berdepan situasi sama ketika menangani gejala rasuah membabitkan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.
Justeru, sudah pasti beliau tidak melontarkan rasa syak secara rambang, hanya sekadar kemerosotan skuad Negeri Sembilan dalam saingan Liga super serta Piala Malaysia musim ini.
Secara jujur, saya tidak terkejut jika benar gejala ini sudah kembali bertapak dalam kancah bola sepak negara.
Terlalu banyak desas-desus mengenai kembalinya gejala ini dalam kancah Liga M, namun tanpa laporan kepada pihak berkuasa, sukar untuk tindakan diambil.
Bagi menangani gejala ini, ia memerlukan usaha menyeluruh dan ia bukan hanya tanggungjawab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Beberapa laporan media arus perdana minggu ini melaporkan, kesediaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak jika terdapatnya laporan terhadap gejala ini.
Apa pun, pemain-pemain yang tidak terbabit tetapi menyedari kewujudan kembali gejala ini, wajar membuat laporan ke pihak berkuasa bagi memastikan ia dapat ditangani.
Namun, mungkin wajar juga pihak berkuasa memberi jaminan kepada pemain-pemain yang mahu buat aduan, terhadap keselamatan mereka.
Memang, gejala rasuah bola sepak ibarat barah yang mampu melumpuhkan industri sukan itu di negara ini.
Tetapi, suka atau pun tidak gejala ini perlu diperangi dan tangkapan perlu dilakukan kepada mana-mana pemain terbabit.
Jika tidak, tiada perubahan akan berlaku dan aksi perlawanan yang menimbulkan rasa syak wasangka akan terus disajikan mereka yang terbabit.
Saya berharap, gejala ini dapat ditangani bagi memastikan, ia tidak seperti era 90an yang menyebabkan kita kehilangan ramai pemain berbakat.
#Bola #fadriz hazis #Rasuah
;