Festival filem kita akhirnya menilai kualiti
Muzaffar Mustapa
Februari 20, 2013 09:08 MYT
Februari 20, 2013 09:08 MYT
Setelah terlalu lama menunggu, akhirnya tarikh malam kemuncak Festival Filem Malaysia edisi Jubli Perak diumumkan. Bakal berlangsung pada 2 Mac depan, sekali lagi Putrajaya bakal menjadi tumpuan para penggiat filem.
Lega hati apabila usaha yang dilakukan akhirnya menampakkan hasil. Sekian lama penganjuran festival filem hanya dilihat sebagai festival suka-suka yang lebih terarah kepada acara glamor dengan mengetepikan pengiktarafan sebenar kepada karyawan sejati.
Persaingan sengit di antara filem yang bertanding sehingga sukar untuk menjangkakan filem manakah yang akan meraih trofi FFM membuktikan panel juri sudah berani untuk memilih filem yang benar-benar layak.
Pengumuman calon akhir yang ditunggu ramai menyaksikan filem terbitan Grand Brilliance dan Red Films, Songlap memecahkan rekod yang dipegang oleh filem Dia Ibuku (12 pencalonan) apabila menerima 15 pencalonan, terbanyak dalam sejarah.
Amerul Affendi (kanan) dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Zahiril Adzim (kiri) untuk Pelakon Lelaki Terbaik
Mengekori rapat adalah filem Bunohan, sandaran negara ke persaingan merebut trofi Oscar untuk Filem Bahasa Asing Terbaik yang berjaya memperolehi 13 pencalonan.
Filem arahan Dain Said itu mampu untuk berdiri sama tinggi dengan filem Songlap sekiranya jurukamera dan penyunting filem itu menerima pencalonan.
Dua kategori iaitu Sinematografi Terbaik dan Penyunting Terbaik tidak disertai oleh Bunohan kerana tenaga kerja belakang tabir filem itu dilakukan oleh penggiat bukan warganegara Malaysia.
Pelakon Izzue Islam (kiri) dari filem 29 Februari dicalonkan sebagai Pelakon Harapan Lelaki.
Lima calon ke kategori utama Filem Terbaik menyaksikan persaingan pelbagai tema, antaranya drama, drama seram dan drama muzikal cinta.
Dari segi kutipan pawagam, filem Bunohan yang mengutip RM780,000 di pawagam rupanya belum tewas jika dibandingkan dengan gergasi pecah panggung seperti Ombak Rindu (RM10.9 juta).
Filem muzikal cinta terbitan KRU Studios iaitu 29 Februari hanya sekadar mengumpul RM370,000. Manakala dua lagi saingannya iaitu Songlap dan SAM berada di pertengahan dengan kutipan sebanyak RM2.13 juta RM1.88 juta masing-masing.
Dinilai pada aspek lakonan, filem Songlap berada di hadapan apabila memonopoli pencalonan untuk semua kategori lakonan.
Pelakon Shaheizy Sam dan Sara Ali terpilih ke kategori utama dan Syafie Naswip ke kategori pembantu. Paling menarik apabila pelakon berpengalaman seperti Omar Abdullah dan Normah Damanhuri turut dicalonkan, masing-masing dalam kategori pembantu lelaki dan wanita terbaik.
Sara Ali (kiri) dan Shaheizy Sam (kanan) dalam filem Songlap
Manakala filem Bunohan boleh berbangga apabila mendominasi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dengan tiga pencalonan menerusi Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim serta dua pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Amerul Affendi dan Husyairi Hussain).
Walaupun senarai pencalonan kali ini rata-ratanya dipuji penggiat filem, namun tidak dapat dielakkan ada juga beberapa pencalonan yang diluar jangkaan.
Seperti contohnya filem Hoore! Hoore! yang menerima 10 pencalonan keseluruhan tetapi tewas dari disenaraikan dalam kategori Filem Terbaik walaupun pengarahnya dicalonkan dalam kategori Pengarah Terbaik (Saw Teong Hin).
Fauziah Nawi dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Hoore Hoore
Asas utama untuk memilih sebuah filem terbaik terletak kepada garapan pengarah, lakon layar, cerita dan mutu lakonan yang berkesan. Apabila sesebuah filem pincang salah satu daripada elemen tersebut, mungkin sukar untuk filem itu diangkat sebagai yang terbaik.
Begitu juga dalam kategori Lakon Layar Terbaik yang menyenaraikan filem Untuk Tiga Hari dan Seefood dalam senarai pencalonan. Kedua-dua filem tersebut tidak disenaraikan dalam kategori utama yang lain terutamanya filem terbaik, pengarah terbaik dan cerita asal terbaik.
Pengarah muda Syafiq Yusof berpeluang besar untuk meraih trofi Pengarah Harapan
Dari 70 filem yang layak dipertandingkan, hanya 28 filem yang bolos dalam senarai pencalonan akhir. Hanya Bunohan, Songlap, 29 Februari dan Hoore! Hoore! yang berjaya memperoleh lebih daripada 10 pencalonan. Berbanding filem lain yang sekadar memperolehi satu hingga enam pencalonan.
Jurang antara filem berkualiti dengan lambakan filem pelbagai genre yang ditayangkan di Malaysia cukup ketara. Jurang inilah yang sepatutnya dikurangkan dengan segera dan pembikin filem generasi baru harus terus berani melangkah meneroka pemikiran dan pasaran sedia ada bagi mengangkat martabat filem tempatan ke mata dunia.
Bunohan dan Songlap telah membuka langkah tersebut dan sebaiknya langkah itu dipanjangkan lagi sehingga satu hari kelak judul filem kita dan nama negara dapat berkumandang di festival filem bertaraf antarabangsa.
Cannes atau Oscar…kami pasti datang! Bukan satu yang mustahil setelah penggiat filem tempatan hanya seronok berpesta sepanjang 25 tahun terdahulu.
Festival Filem Malaysia bakal dibuka pada 27 Februari depan di eCurve, manakala malam kemuncak FFM25 bakal berlangsung pada 2 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajya.
Astro RIA, Mustika HD dan TV2 bakal bertindak selaku penyiar rasmi.