Dilema Indonesia Memilih

Dr Azlinariah Abdullah
Julai 9, 2014 16:28 MYT
Dilema Indonesia Memilih
Hari ini, perasaan jutaan penduduk di Indonesia, antara negara terbesar di dunia, masih terus berbelah bagi. Tetapi penting untuk mereka membulatkan pilihan pada 9 Julai ini kerana kesan pilihan mereka itu nanti akan terikat antara memberi titik perubahan untuk demokrasi negara atau kembali kepada orde lama.
Rasuah dan kronisme
Pada satu lapis, ada seorang yang menanti untuk dipilih. Wataknya, berlawanan dengan imej lazim atau “stereotaip” pemimpin politik Indonesia _ mewah dan ada kelasnya tersendiri. Joko Widowo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, hanya anak tukang kayu, lahir dan membesar di luar sistem kepimpinan politikIndonesia yang biasa disimbolkan dengan rasuah dan kronisme. Jokowi dikatakan tidak gemar mewah berlebih-lebih, kerap turun padang secara kilat dan memilih untuk membawa beg atau bagasi sendiri apabila mengembara.
Pada satu lapis yang lain pula _ terbentang pilihan, bekas jeneral yang benar-benar menjadi lambang hubungan sejarah lama Indonesia di era diktator. “Pilihan” ini dilarang ke AS kerana dakwaan hak asasi yang dilakukan semasa masih lagi memakai pakaian seragam soldadu. Prabowo Subianto, bukan sahaja berkhidmat sepanjang 31 pemerintahan Jeneral Suharto, malah, calon Presiden Indonesia ini juga menantu kepada bekas diktator Indonesia itu sendiri.
Nafas baru Indonesia
Nah, dapat dibayangkan kesukaran rakyat Indonesia memilih pada kali ini. Walaupun bukan seperti madu dan racun, tetapi pilihan antara Jokowi dan Prawobo barangkali boleh dikaitkan dengan tawaran manis dan pahit atau baru dan lama. Seorang menawarkan sesuatu yang baru, bersih dan boleh disandarkan untuk satu amalan demokrasi mapan di Indonesia manakala seorang lagi memberi pilihan pakatan elit sekolah lama yang enggan menerima itu semua dan seboleh mungkin mahu menyekat kemaraan angin demokrasi serta kebebasannya.
Jika Jokowi dipilih ia akan memberi titik tolak baru kepada kepemimpinan Indonesia, itu antara nada rata-rata penganalisis yang mengikuti rapat pilihan raya Presiden Indonesia 2014. Salah seorang daripadanya Dr Hassanuddin Daud, pengkaji politik moden Indonesia di Universiti Malaya (UM). Katanya : “Jokowi, pemimpin yang tidak dicemari detik hitam waktu silam atau budaya politik rasuah dan kronisme era Suharto. Maka permulaan baru untuk Indonesia boleh disandarkan kepada Jokowi”
Tetapi dalam era politik yang didominasi oleh tokoh-tokoh yang naik turun kuasa ada kaitannya dengan keluarga, harta pemimpin terdahulu, maka Jokowi bukan berada dalam keadaan selesa. Ini memberi kelebihan kepada Prabowo.
Pemimpin lantang
Reputasi bersih Jokowi didakwa dihitamkan oleh Prabowo dalam kempen-kempennya. Kepada penyokong Prabowo, hujah mereka cukup mudah. Indonesia memerlukan seorang pemimpin yang berani, tegas dan memiliki karisma pemimpin. Prabowo ada ciri-ciri itu. Rakan saya, Junaidi Sabihanto, seorang warga Indonesia mengakui bahawa negara akan dihormati kerana pemimpinnya. “Apabila Indonesia ada pemimpin yang berani berhujah, mempertahankan kebenaran dan mempunyai idea meyakinkan, di situ titik bermula penghormatan negara luar kepada negara kita,’’ kata Junaidi yang mengagumi ciri kelantangan Prabowo. Malah, Junaidi turut menyamakan kepetahan Probowo saling tidak tumpah seperti Sukarno.
Sokongan kepada kedua-dua calon Presiden sememangnya lebih kepada harapan, fantasi dan emosi rakyat.Tetapi sesiapa pun yang menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono tetap perlu lakukan perubahan. Presiden baru Indonesia nanti dipercayai sukar untuk menyelesaikan semua masalah negara besar itu. Bukan saja Gus Dur, Megawati Sukarnoputri gagal menyelesaikannya, tetapi Sukarno dan Suharto hanya mencapai kejayaan tertentu saja. Begitu juga Susilo.
Kejayaan selesai masalah
Tetapi kalau Jokowi/Jusuf Kalla dan Prabowo/Hatta Rajasa dapat menstabilkan keadaan politik negara itu, ia sudah merupakan suatu kejayaan besar.Kestabilan dalam erti kata menghentikan segala pembunuhan dan kekacauan. Kejayaan mempertahankan keutuhan wilayah Indonesia juga merupakan kejayaan besar. Presiden baru nanti mesti terus mempertahankan kesatuan wilayah Indonesia yang masih diancam oleh gerakan Irian Jaya misalnya.
Sukarno tidak pernah menuntut Timor Timur sebagai wilayah Indonesia. Itu dilakukan oleh Suharto. Tetapi Sukarno mempertahankan wilayah Indonesia dari Sabang ke Merauke. Sabang adalah nama tempat paling hujung di barat Indonesia, iaitu di Aceh, dan Merauke adalah tempat paling hujung di timur, iaitu di Irian Jaya. Begitu juga Susilo, berjaya mendamaikan Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dan tidak lagi mengangkat senjata lawan kerajaan.
Ekonomi Indonesia
Walaupun agak sukar untuk melaksanakannya, tetapi calon Presiden baru Indonesia nanti mesti sekurang-kurangnya menyediakan pemantapan kedudukan ekonomi Indonesia. Ini merupakan cabaran yang amat penting.Jika rakyat Indonesia kelaparan, bukan saja politik negara itu akan terus bergolak dengan darah, tetapi masalahnya akan melimpah ke negara-negara jiran.
Untuk memastikan Indonesia dikekang daripada masalah itu, rakyat mereka yang harus bijak memilih dan elak untuk terjebak dalam dilema lagi antara Jokowi dan Prabowo_antara baru dan lama. Tetapi apa sahaja keputusannya, pilihan raya Presiden Indonesia kali ini penting dalam sejarahnya kerana ini pertama kali rakyat memilih pengganti Presiden yang dipilih secara langsung. Susilo sudah memerintah dua penggal selama lima tahun dan tidak melayakkannya bertanding semula. Dalam kenyataannya sebelum ini, Susilo secara terbuka menyatakan sokongan kepada Prabowo atas sebab-sebab tertentu.
Proses pilihan raya Indonesia antara yang paling menarik untuk disorot berlaku pada tahun ini _2014, selain India dan Afghanistan. Seorang pembikin filem, Joko Anwar berkata : “Jika Jokowi menang dan diangkat pula menjadi Presiden, tetapi kemudiannya beliau menjadi tidak seperti yang diharapkan, Indonesia boleh sahaja kritik habis-habisan dan jatuhkannya.’’ Tetapi seandainya Prabowo yang menjadi Presiden Indonesia, ia mungkin bukan semudah disangka. Apa yang menimbulkan kebimbangan selepas itu ialah, sebarang kekhuatiran mengenainya akan menjadi benar dan nyata. Itu ramuan yang sudah cukup menarik untuk terus mengikuti perjalanan pilihan raya Presiden Indonesia dan apa pilihan rakyatnya.
#Indonesia #Jokowi #Prabowo
;