Cara Saya
Markus Lim
Disember 7, 2012 10:56 MYT
Disember 7, 2012 10:56 MYT
SINDROM “Saya tidak tahu” merupakan satu tabiat yang lumrah dalam masyarakat kita.
Ia bagaikan satu penyakit yang merebak di mana-mana, baik di tempat kerja, sekolah, parti-parti politik mahupun di rumah kita sendiri.
Sememangnya, sindrom ini sesuatu yang sukar untuk dikikis.
Apa tidaknya, sindrom tersebut telah bertapak dalam diri seseorang seolah-olah ia sudah menjadi satu kebiasaan.
Bagi kumpulan individu berkenaan, sindrom “saya tidak tahu” tidak menyalahi undang-undang dan oleh sebab itu, pada hemat mereka ia sesuatu yang diterima dalam masyarakat.
Namun demikian, apa yang cukup mendukacitakan ialah sindrom “saya tidak tahu” dijadikan sebagai satu escapisme untuk mengelak memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
Dengan menjawab “saya tidak tahu”, ramai yang berpendapat mereka akan terlepas daripada memikul tanggungjawab yang telah diberikan kepadanya. Sikap mengelak dan enggan memikul tanggungjawab itu pula akan mengundang lebih banyak masalah khususnya kepada operasi syarikat.
Dalam konteks ini, kita tidak perlu pergi jauh. Cuba perhatikan di tempat kerja anda. Apakah reaksi rakan-rakan sepejabat anda jika diminta untuk memberikan penjelasan apabila timbul masalah dalam operasi syarikat?
Apakah riak wajah mereka? Marah? Gembira? Ataupun bersifat kepura-puraan?
Adakah mereka cuba mengelak? Ataupun lebih buruk lagi, mencari kesalahan orang lain? Jika reaksi mereka adalah kurang memberangsangkan, maka sesebuah syarikat itu akan menghadapi masalah besar.
Kebertanggungjawaban dan kejujuran dalam memberikan penjelasan adalah sesuatu yang dituntut. Ini kerana dengan adanya maklum balas yang diberikan, tindakan itu akan membantu melicinkan proses perjalanan syarikat. Bukankah itu tekad dan komitmen setiap pekerja apabila bekerja di sebuah tempat baharu?
Pada hemat penulis, sindrom “saya tidak tahu” hanya membuktikan bahawa golongan sedemikian sebenarnya hidup dalam penafian. Mereka tidak sedar tindakan berkenaan memberi impak negatif bukan sahaja kepada imejnya bahkan juga kepada profesionalisme mereka.
Golongan sedemikian boleh terus hidup dalam penafian dan memilih untuk tidak bekerjasama. Tetapi di akhirnya, yang merana adalah sesebuah syarikat itu sendiri. Apabila sindrom sebegini dibiarkan berterusan, produktiviti syarikat pasti terjejas.
Kini, terpulanglah kepada golongan individu terbabit untuk berubah. Mereka harus sedar sikap mengelak itu tidak akan membawa mereka ke mana-mana.
Anda bagaimana?