Cabaran sukar menanti Hamidin

Fadzrie Hazis
Jun 30, 2013 08:10 MYT
Perlantikan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Setiausaha Agung (SUA) baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mendapat perhatian media arus perdana pada minggu ini.
Hamidin akan menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad, selaku ketua sekretariat FAM yang baru berkuatkuasa 1 Julai ini.
Ia sebenarnya bukan tugasan mudah selaku SUA sebuah persatuan sukan yang popular dan sentiasa menjadi perhatian umum,khususnya peminat bola sepak negara ini.
Secara peribadi, saya sudah mengenali Hamidin sejak mula menceburi bidang kewartawanan sukan pada 2003.
Saya percaya, pengalaman Hamidin selaku SUA Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sejak 1995, serta pengalaman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai dan kini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menguatkan kredibilitinya.
Apa yang menarik mengenai Hamidin, beliau boleh dilabel sebagai pegawai yang bermula dari peringkat akar umbi dan ia berbeza dengan SUA FAM yang lain.
Hamidin memulakan pembabitannya dalam pengurusan bola sepak, dari Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor SSFC, sebelum beralih ke FAS.
Justeru, Hamidin adalah seorang yang cukup masak dengan pengurusan dan senario persatuan bola sepak tempatan.
Sebelum Hamidin mendapat kepercayaan pucuk pimpinan FAM, tiga SUA sebelumnya juga adalah mereka yang mempunyai latar belakang memberansangkan.
Azzuddin adalah bekas pemain kebangsaan dan Angkatan Tentera Malaysia serta seorang Leftenan General bersara yang pernah menjadi Pengarah Risikan Kementerian Pertahanan.
Sebelum Azzuddin, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Ibrahim Saad pernah mengetuai sekretariat FAM.
Seperti Azzuddin, seorang lagi bekas pemain kebangsaan yang pernah menjadi SUA FAM ialah Datuk Dell Akhbar Khan, yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur.
Meskipun kesemua mereka memiliki kredibiliti, mereka tetap tidak dapat lari daripada kritikan media arus perdana berhubung beberapa kontroversi.
Harapan saya sebagai seorang penulis sukan, adalah untuk Hamidin sentiasa bersikap terbuka dalam menangani kritikan.
Hamidin memang seorang pegawai yang dikenali dengan sikap mesra media dan sudah pasti, saya berharap ia berterusan apabila dia mengetuai sekreatariat FAM.
Saya juga berharap, Hamidin dapat memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam sekretariat FAM bagi memastikan peminat tempatan tidak hilang kepercayaan terhadap petnadbiran badan induk ini.
Beliau mempunyai ramuan mencukupi berlandaskan pengalamannya dan saya percaya, Hamidin bersedia menyahut cabaran sukar selaku SUA FAM.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan terima kasih kepada Azzuddin di atas khimatnya sebagai SUA FAM sejak September 2009.
Memang tidak dinafikan, Azzuddin juga melalui beberapa insiden kontroversi selaku SUA FAM.
Malah, saya sendiri pernah melemparkan kritikan terhadap sekretariat FAM dibawah pimpinannya sewaktu menjadi wartawan sebuah akhbar arus perdana tidak lama sebelum ini.
Tetapi setiap kritikan saya kepada beliau, tidak pernah berbentuk peribadi dan saya percaya, Azzuddin turut memahami tugas saya sebagai seorang wartawan ketika itu.
Apa pun saya percaya beliau sudah berusaha sebaik mungkin dalam melaksanakan tugasnya.
Saya juga mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan saybas kepada Azzuddin, di atas perlatikannya sebagai SUA baru Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) juga berkuatkuasa 1 Julai ini.
Saya berharap tugasan baru buat Hamidin dan Azzuddin, mampu memberi kesan positif buat pembangunan bola sepak negara serta rantau ini.
#bola sepak #Datuk Hamidin Mohd Amin #fadriz hazis #FAM #Setiausaha Agung
;