Bola Sepak Malaysia perlu profesional setiap sudut
Fadzrie Hazis
Jun 1, 2013 07:30 MYT
Jun 1, 2013 07:30 MYT
Insiden rusuhan penyokong di Stadium Darulmakmur, pada aksi separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan kelab Johor Darul Takzim Selasa lalu menjadi tumpuan media arus perdana minggu ini.
Kehadiran penonton melebihi kapasiti stadium itu,memaksa komisioner perlawanan menangguhkan perlawanan atas faktor keselamatan.
Lebih menduka-citakan adalah apabila terdapat, sekumpulan penyokong Harimau Selatan yang diserang dan mengalami kecederaan.
Mujur pihak berkuasa yang bertugas, dapat memastikan keadaan kembali terkawal dan tiada insiden lebih serius berlaku.
Insiden ini turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang kecewa dengan kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengendalikan perlawanan tersebut dengan baik.
Namun, untuk berlaku adil kepada FAM, memang benar mengikut peraturan Liga M, badan induk itu hanya bertanggungjawab dalam aspek teknikal perlawanan dan tanggungjawab selebihnya adalah PBNP selaku tuan rumah.
Tetapi, kekalutan yang berlaku sebenarnya dapat dielakkan jika setiap ahli gabungan negeri FAM bersikap profesional dan bersedia menghadapi situasi yang tidak dijangka seperti ini.
Saya berharap insiden di Stadium Darulmakmur, mampu menjadi pengajaran bagi memastikan ia tidak lagi berulang selepas ini.
Terdapat juga desas-desus, mengenai penjualan tiket tiruan dan jika ia benar berlaku, sudah pasti terdapat dalang yang mengaut keuntungan.
Kita sudah memasuki era profesional sejak 1994, namun kita masih berdepan masalah di era amatur seperti penjualan tiket tiruan.
Gejala rasuah bola sepak yang sebelum ini kerap dikatakan sudah kembali ke kancah liga M turut tidak boleh kita lupakan.
Selaku penulis sukan yang sudah sedekad, membuat liputan sukan di negara ini, saya percaya kaedah terbaik untuk menanganinya adalah dengan memastikan kancah bola sepak kita profesional sepenuhnya.
Maksud profesional di sini bukan saja daripada pemain, tetapi pengurusan pasukan, tiket, pemasaran dan segala aspek dalam industri bola sepak kita.
Mungkin sudah tiba masanya KBS pimpinan Khairy kini, duduk semeja dengan pucuk pimpinan FAM bagi mencari pendekatan terbaik dalam memastikan bola sepak negara profesinal sepenuhnya.
Apa pun, saya menyedari cadangan yang saya lontarkan ini kemungkinan sukar berlaku kerana, kebanyakan ahli gabungan negeri FAM masih gemarkan pentadbiran "Ala Amatur".