Artikel 88 dikaji semula, Azzudin ucap selamat tinggal

Fadzrie Hazis
April 13, 2013 06:30 MYT
Mesyuarat Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM minggu ini mencuri tumpuan, dengan beberapa keputusan dicapai badan induk itu.
Hasil mesyuarat pada 10 April lalu itu, FAM menyuarakan kesediaannya untuk mengkaji semula keberkesanan Artikel 88 yang tampak kerap menghukum beberapa pegawai tertinggi ahli gabungan negeri.
Bagi saya, kesediaan FAM untuk mengubah artikel itu tetap satu pendekatan positif walaupun ia tidak akan dimansuhkan.
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, turut menyarankan Artikel 88 dikaji semula dan berdasarkan gambraan terkini, ia besar kemungkinan akan diubah pada Mesyuarat Kongres FAM yang dijadualkan berlansung pada Ogos.
Satu lagi perkhabaran dari Mesyuarat Eksekutif FAM, ialah kesediaan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad untuk tidak melanjutkan kontraknya yang akan tamat pada hujung bulan depan.
Bekas Pengarah Risikan ATM ini, akan memulakan tugas barunya selaku Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean, AFF berkuatkuasa, 1 Jun depan.
Sepanjang tempoh sedekad, saya menjadi penulis sukan, saya sempat mengenali dua lagi tokoh yang menjawat tugas selaku ketua sekretariat FAM-Datuk Seri Ibrahim Saad dan Datuk Dell Akhbar Khan.
Memang bukan mudah menjawat jawatan itu, kerana perlu kerap berdepan kritikan media jika terdapat kepincangan yang jelas dalam pentadbiran badan induk bola sepak negara serta, menjawab segala isu kontroversi yang timbul.
Ibrahim, Dell dan Azzuddin memang mempunyai kaedah berbeza dalam memimpin sekretariat FAM serta mereka juga memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Ibrahim selaku bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang seorang mesra media dan boleh diajak berbincang oleh para wartawan, manakala Dell seperti Azzuddin, adalah bekas pemain kebangsaan.
Saya mula mengenali Azzuddin ketika dia menjadi pengurus skuad B-20 tahun kebangsaan, pada saingan AFC B-20 tahun 2004 di Johor Bahru.
Ketika itu, Azzuddin membuat satu tindakan mengejut, apabila memecat Jovan Viera selaku jurulatih remaja kebangsaan,kira-kira dua minggu sebelum saingan bermula dan melantik K Rajagobal (belum bergelar Datuk ketika itu) sebagai pengganti.
Ia jelas keputusan mengejut, tetapi satu keputusan tepat apabila Rajagobal membawa skuad negara ke suku akhir, sebelum tumpas 2-0 di tangan China, yang pada waktu itu diperkuatkan bekas pemain remaja Manchester United, Dong Fhangzhou.
Skuad remaja negara ketika itu, dibarisi Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan dan juga Zaquan Abdul Radzak yang kini membarisi skuad senior kebangsaan.
Kini, beberapa nama mula dikaitkan sebagai penganti Azzuddin untuk memimpin sekretariat FAM dan calon utama, sudah pasti Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Berbekalkan pengalaman selaku Setiasuaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor sejak 1995, serta menjawat beberapa kedudukan penting dalam pentadbiran FAM, Hamidin memang tampak memiliki pengalaman mencukupi.
Harapan saya adalah beliau dapat melaksanakan tugas dengan baik dan juga, melepaskan beberapa jawatan lain yang disandangnya kini.
Ia adalah bagi memastikan, tiada dakwaan berat sebelah kepada mana-mana pihak, seandainya Hamidin menjadi pilihan sebagai Setiausaha Agung baru FAM.
#Artikel 88 #Fadzrie Hazis #FAM #gantung #Kolum #TMJ
;