Apakah ini Malaysia yang Tunku impikan?
Noor Azam Shairi
Februari 8, 2014 15:59 MYT
Februari 8, 2014 15:59 MYT
TIDAK banyak orang yang masih ingat bahawa hari ini adalah satu hari besar bagi negara ini. Hari ini adalah hari keputeraan Almarhum Tunku Abdul Rahman, negarawan ulung yang kita angkat sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia. Sekiranya Tunku masih hidup, hari ini umurnya 111 tahun.
Tetapi tidak ada manusia yang kekal. Almarhum meninggal dunia pada 6 Disember 1990. Biarpun sudah lebih 23 tahun meninggalkan kita, tokoh besar seperti Tunku tidak pernah 'mati'. Ideanya sehingga hari ini terus menjadi inspirasi kepada mereka yang mahu menggali sejarah — mereka yang faham erti sejarah sebagai peta dan kompas perjalanan sebuah bangsa dan negara.
Ada beberapa legasi penting Tunku yang beliau tinggalkan kepada negara ini. Legasi yang paling utama ialah kerjasama politik di kalangan etnik berbilang kaum sebagai penyelesaian kepada cabaran sebuah negara dengan masyarakat yang majmuk. Inilah formula yang dipakai oleh parti-parti politik sehingga hari ini. Tidak mungkin ada mana-mana parti yang berasaskan etnik yang boleh kekal berkuasa sendiri di negara yang berbilang kaum ini.
Kerjasama itu diasaskan daripada cita-cita Tunku yang pada lapis atasnya ternampak begitu mudah — beliau mahukan rakyat negara ini bahagia dan bergembira hidup bermasyarakat. "Sejak jadi Perdana Menteri, cita-cita, pemikiran, perancangan malah seluruh hati saya adalah mahu membentuk sebuah masyarakat Malaya (ketika itu) yang makmur dan bahagia," katanya.
Kerjasama itu menuntut tolak ansur antara kaum. Tidak ada mana-mana kaum yang akan menang semua; tidak ada juga mana-mana kaum yang akan kehilangan semuanya. Tolak ansur itu hanya akan memenangkan satu pihak sahaja iaitu kesejahteraan negara tempat seluruh rakyat bernaung dan berusaha mencapai yang terbaik untuk diri masing-masing.
Setiap orang mempunyai peluang yang saksama. Setiap orang mempunyai kebebasan yang dilindungi oleh Perlembagaan — kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan berpersatuan, kebebasan beragama, kebebasan untuk hidup berasaskan kepada agama dan adat resam masing-masing. Semuanya dijamin dalam undang-undang yang tidak memihak dan dilaksanakan dengan prinsip keadilan yang asas.
Tidak ada mana-mana kaum yang boleh memaksakan nilainya ke atas kaum yang lain. Setiap orang saling hormat-menghormati antara satu sama lain — kenal diri dan kenal orang lain, memahami dan bertimbang rasa, kenal batas dan sedar ruang. Semua orang harus sedar bahawa negara ini adalah rumah kita bersama. Makanya, kita harus belajar dan cuba untuk hidup bersama dengan segala perbezaan serta bersama-sama pula memperbaiki segala kekurangan yang ada.
Tetapi Tunku tidak menganjurkan kebebasan tanpa batas. Adalah satu kesilapan yang besar dalam masyarakat ini apabila orang bercakap tentang "kebebasan", apa yang mereka bayangkan ialah kebebasan yang tidak ada sempadan. Itu salah. Tidak ada kebebasan yang tidak berbatas. Kebebasan yang sebenar-benarnya ialah kebebasan yang bertanggungjawab — yang seimbang antara hak individu dan hak masyarakat.
Tunku juga menganjurkan pemikiran liberal dalam ekonomi. Beliau percaya kerajaan harus membiarkan urusan perniagaan kepada kelompok peniaga. Beliau juga percaya kepada persaingan yang adil dan meritokrasi. Tetapi beliau dituduh sebagai pengkhianat bangsanya sendiri.
Apakah ini bererti Tunku tidak mengakui tentang perlunya nasib orang Melayu yang ketinggalan dan perlu dibela? Tunku mengakui hakikat itu tetapi beliau juga sedar bahawa ekonomi yang terbuka dan bebas akan membawa pertumbuhan ekonomi yang makmur dan stabil, dan dengan cara itulah nasib orang Melayu boleh terbela.
Sekiranya Tunku melihat Malaysia hari ini, apakah agaknya yang akan beliau katakan? Apakah perasaannya melihat toleransi antara kaum yang semakin terhakis — apabila orang begitu mudah tersentuh dan tersinggung dengan hampir semua perkara? Apakah yang akan beliau katakan tentang pemimpin dan tentang kita semua?
Apakah yang akan beliau katakan jika ditanya pandangannya tentang bagaimana keadaan negara ini sekarang dalam konteks harapan kita bernegara seperti yang beliau sebut semasa mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957? — bahawa negara ini "dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa."