Apa yang sebenarnya kita mahu?
Noor Azam Shairi
Ogos 23, 2014 15:25 MYT
Ogos 23, 2014 15:25 MYT
Kita ini mahunya apa? Itu ini, begitu begini. Itu salah, ini salah; begitu tak kena, begini pun tak kena. Buat macam ini tak betul; buat macam itu pun, tak betul juga.
Kita sebenarnya hendak apa?
Apabila Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid minggu lalu letak jawatan kerana mengambil tanggungjawab ke atas kemalangan di tapak binaan yang membunuh tiga pekerja, ada yang kata apa yang dilakukannya itu sebab hendak lari daripada bertanggungjawab.
Hello, brader! Macam mana pula jadi cerita "hendak lari daripada tanggungjawab"? Ini negara ada undang-undang. Kalau waris pekerja binaan itu misalnya mengambil tindakan mengemukakan saman di mahkamah, kita jangan tidak tahu bahawa ada yang namanya liabiliti gantian atau vicarious liability. Ertinya, apa yang dilakukan oleh seseorang, dalam keadaan tertentu, orang lain pun boleh dipertanggungjawabkan.
Tetapi itu cerita lain -- bab itu panjang; tak apa, boleh semak di Google. Cerita bab sekarang ini ialah kenapa apabila ada orang letak jawatan kerana mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku, sesetengah daripada kita riuh-rendah kata itu tak betul, ini tak betul.
Bukankah apabila ada orang yang tidak mahu letak jawatan, sesetengah daripada kita juga bising tulis di sana tulis di sini, buat forum di dewan dan di kedai kopi, bercakap pasal integriti dan moral betapa orang itu dan orang ini sepatutnya letak jawatan?
Aisehman, brader nak apa?
Bukankah kita sepatutnya merayakan watak manusia seperti CEO MRT Corp itu yang sedia melepaskan jawatannya dan menyatakan pula secara terbuka bahawa "itulah tindakan yang sewajarnya"? Bukankah itu yang kita mahu selama ini apabila misalnya ada bas masuk gaung, ada syarikat rugi, projek di lereng bukit runtuh lagi dan pasukan bola sepak tidak menang-menang juga?
Apabila ada seorang CEO menunjukkan contoh yang baik yang tidak pula ditunjukkan oleh pemimpin organisasi yang kenapa kita tidak sokong dia?
Ini bukan satu-satunya contoh itu ini, begitu begini reaksi orang kepada apa yang jadi sehari-hari.
Istiadat penghormatan jenazah tragedi pesawat MH17 pada Jumaat pun begitu juga. Ketika seluruh negara berdukacita bersama-sama waris dan ahli keluarga serta sahabat handai mereka yang terbunuh dalam nahas itu, ada pula yang sibuk mempertikaikan itu dan ini. Kenapa mesti pakai hitam, kenapa tidak pakai hitam, kenapa buat besar-besaran, agama tidak ajar begini dan bermacam-macam lagi.
Seorang teman semasa berbual tentang sikap masyarakat yang selalu serba salah dan tidak tentu arah ini merumuskan bahawa inilah kesan tidak langsung daripada pendemokrasian yang dibawakan oleh kemajuan teknologi. Ketika orang mempunyai ruang yang seluas-luasnya untuk menyuarakan pandangan tentang apa saja pada bila-bila masa, ketika itulah kita melihat kepelbagaian pandangan semacam ini.
Apa yang jadi masalahnya ialah pandangan-pandangan itu mencuri tumpuan orang ramai dan menjadi topik perbualan yang hangat sehingga menenggelamkan hal-hal lain yang sepatutnya menjadi perhatian.
Kita sibuk bercakap tentang bekas CEO MRT yang kononnya hendak lari daripada bertanggungjawab sehingga tidak melihat nilai integriti yang terpuji yang selama ini jadi mimpi di negara ini.
Kita sibuk bercakap tentang hitam atau tidak hitamnya baju sehingga kita terlupa untuk merenung apakah maknanya seluruh episod nahas MH17 itu -- kepada hidup kita bernegara, hidup kita bermasyarakat dan berkeluarga serta hidup kita sebagai manusia yang suatu hari nanti pasti akan mati juga.
Wallahu'alam.