Apa bezanya mengundi kucing?

Noor Azam Shairi
Jun 21, 2013 08:00 MYT
AHLI politik di mana-mana belahan dunia pun barangkali semuanya sama — kurang dipercayai oleh masyarakatnya. Atas rasa kurang percaya itu, masyarakat jadi sinikal terhadap mereka. Ahli politik jadi modal bahan jenaka apabila kita bergurau senda di kedai kopi, di majlis kenduri dan di dunia maya.
Rasa kurang percaya kepada ahli politik itu bukan keterlaluan dan berlebih-lebihan atau sengaja diada-adakan. Ia bukan satu pernyataan yang dibuat-buat. Ia kisah benar.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Institut Etika Perniagaan Malaysia (BIEM) pada 2006 mengenai siapakah yang mereka percaya berkata benar, ahli politik duduk di tangga paling bawah. Doktor dan guru muncul orang yang terpercaya. Wartawan dan pembaca berita televisyen duduk di tengah-tengah di antara 15 profesyen yang dikajiselidik.
Kajian pada 2006 itu menunjukkan trend yang hampir serupa dengan kajian sama yang dilakukan di Britain. Malah agensi di Britain itu menjalankan kajian yang sama setiap tahun. Dalam kajiannya yang terbaru pada awal tahun ini, ahli politik tidak berganjak duduk di takah paling bawah manakala doktor dan guru tetap masih di dua tempat teratas.
Wartawan — barangkali dek skandal media milik taikun Rupert Murdoch yang menggemparkan bukan saja Britain malah seluruh dunia — jatuh ke tangga yang ke-13, dua anak tangga lebih dipercayai berbanding ahli politik.
Tetapi pokoknya — mengikut kaji selidik itu — ahli politik tetap tidak boleh dipercayai.
Dalam satu kajian lain melibatkan wakil rakyat di Britain yang diumumkan pada minggu lalu, agensi berkenaan merumuskan betapa masyarakat di negara itu mempunyai rasa sinis yang cukup tinggi kepada ahli politik.
Kajian itu mendapati bagaimana masyarakat di Britain melihat wakil rakyat mereka lebih mengutamakan kepentingan peribadi dan parti berbanding kepentingan negara atau rakyat yang mereka wakili.
Kajian yang dilakukan di Britain itu tidak keterlaluan kalau dijalankan di mana-mana belahan dunia pun mungkin sama. Sebagai rakyat, tidak banyak yang boleh mereka lakukan selain menunggu untuk menyatakan suara setiap lima tahun sekali melalui peti undi. Selain daripada itu, apa?
Maka itu, tidak hairanlah kenapa banyak orang di serata dunia dapat memahami mesej yang cuba disampaikan oleh penduduk di sebuah bandar di Mexico apabila mereka mencalonkan seekor kucing dalam pemilihan datuk bandar yang akan diadakan pada 7 Julai ini.
Kucing tompok hitam putih itu namanya Morris. Umurnya 10 bulan. Ia asalnya hanya satu gurauan oleh dua sahabat tetapi selepas beberapa minggu pencalonan itu dihebahkan melalui Facebook, jenaka mereka jadi fenomena sosial media terutamanya di kalangan masyarakat yang bertutur dalam bahasa Sepanyol di serata dunia.
Laman Facebook Morris mempunyai lebih 134,000 klik "Like". Angka itu jauh lebih tinggi daripada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan tersebut.
"Morris sudah jadi luahan kekecewaan orang ramai kepada parti politik dan sistem politik yang tidak mewakili rakyat," kata tuan kucing itu, Sergio Chamorro.
Chamorro dan temannya menghebahkan pencalonan Morris dengan kempen bahawa kucing itu akan melakukan apa yang dilakukan oleh wakil rakyat selama ini — tidur, makan dan bermain-main. Kempennya berbunyi: "Tired of voting for rats? Vote for a cat (Jelak mengundi tikus. Undilah seekor kucing.)"
Selain Morris, ada sekurang-kurangnya empat haiwan peliharaan lain yang dimajukan dalam pilihan raya kerajaan tempatan di Mexico pada tahun ini tetapi tidak ada yang mencapai tahap populariti kucing yang seekor itu.
Badan yang mengendalikan pemilihan datuk bandar itu dalam reaksinya menggesa pengundi supaya tidak membazirkan undi mereka dengan membuat undi rosak memilih Morris. Tidak mustahil, itulah yang akan mereka lakukan pada 7 Julai nanti.
Tetapi kita di sini, adakah kita lebih bernasib baik dari pengundi di sebuah bandar raya di Mexico itu?
#politik #wakil rakyat
;