Adakah hidup ini berbaloi?
Dr Kamal Amzan
April 20, 2014 09:44 MYT
April 20, 2014 09:44 MYT
Adakah hidup ini berbaloi?
Bukan, ini bukannya satu retorik.
Saya pernah lihat orang miskin mengemis untuk makanan sementara orang lain tidak ingat bilakah kali terakhir mereka lapar. Ada orang yang tinggal di rumah agam yang kosong dan ada juga keluarga besar yang duduk di apartmen kecil.
Semasa saya di Kuantan, ada seorang pesakit epilepsi yang sengaja merayau di hospital selama berhari-hari apabila dia tidak mengambil ubat. Dia menunggu terkena sawan kerana maknanya beberapa hari dia akan makan percuma dan tidur di hospital. Hanya kemudian barulah saya sedar bahawa dia tidak makan ubat kerana ada masalah kewangan atau ada masalah keluarga dan dia tahu tidak ada tempat yang lebih baik untuk terkena sawan melainkan dalam kawasan hospital.
Ada pula seorang pesakit jantung berumur 70 tahun yang bengkak setiap kali dia mengambil banyak air. Dia duduk berminggu-minggu di wad, lebih daripada memadai kerana dia akan ada lawan bercakap setiap hari. Biasanya dia kata begini kepada saya kalau saya datang memeriksanya: "Doktor, saya tau saya dah sihat, tapi boleh duduk lagi dua hari lagi? Rumah sunyi. Tiada orang."
Dua hari itu selalunya jadi seminggu sekiranya wad kosong.
Yang berada, yang miskin
Anak-anak muda melakukan aksi sarkas di lebuh raya yang sibuk.
Hidup ini tidak adil.
Semua ini berlaku di sebuah negara yang anak-anak mudanya yang sihat menghisap rokok, melakukan aksi sarkas di lebuh raya yang sibuk, cuba bunuh diri dengan bermacam-macam koktel dan bahan ciptaan manusia.
Itulah kehidupan, cukup dan berlebihan bagi yang tidak peduli dan tidak sempurna bagi yang kurang bernasib baik. Adakalanya kita perlukan masa seminggu bersama mereka yang sakit di hospital untuk mensyukuri nikmat yang ada.
Daripada mereka yang gagal buah pinggang peringkat akhir, bagaimana kita menyukat dan mengira setiap apa yang mereka makan sampailah kepada mereka yang mengidap pelbagai penyakit yang memerlukan oksiden untuk bernafas dalam keperitan.
Benarlah apa yang mereka, perjuangan untuk hidup itu berterusan. Seorang kawan saya, umurnya dalam awal 30-an, meninggal dunia kerana kanser gastrik tidak lama dulu. Dia seorang yang ceria biarpun apabila diberitahu dia hanya ada beberapa bulan saja untuk hidup. Saya pernah cuba dan saya tidak mampu untuk membayangkan bagaimana keadaannya bangun setiap hari hanya untuk membilang hari yang semakin singkat.
Ia membuatkan kita menghargai hidup dan sedar betapa sangat bernilai dan tidak ada galang gantinya hidup ini. Tampak seperti tidak adil apabila seseorang sepertinya harus melalui keadaan begitu manakala mereka yang sepanjang masa merungut tentang hidup, terus juga hidup.
Kenapa ambil risiko?
Bukan, saya bukannya doakan yang buruk kepada orang lain tetapi mungkin kita boleh belajar menghargai hidup dengan lebih baik.
Berjuta-juta orang disahkan mengidap kanser setiap tahun tetapi kita masih lagi melihat kanak-kanak membesar dengan melihat orang tua mereka merokok, atau seperti kata John Mayer, melakukan tubuh mereka seperti taman permainan. Saya sudah selalu katakan bahawa ibu bapa yang merokok di depan anak-anak harus dianggap sebagai pendera kanak-kanak dan harus dipenjara.
Saya tidak mahu mengganggu anda dengan fakta-fakta tentang asap rokok kedua. Cukuplah saya katakan bahawa perokok pasif juga berisiko menanggung penyakit yang datang akibat merokok.
Apabila berdepan dengan keadaan seperti ini, kita selalu kata "ia tak akan jadi kepada saya". Tetapi kita terlupa bahawa kita semua sama dari segi anatomi, fisiologi dan patologi tidak kisahlah sejauh mana kita mahu berbeza daripada apa yang ada dalam tubuh kita.
Ya, manusia tidak kira apa warna kulit semuanya sama di dalam.
Oleh itu, kurangkan merokok, bersenam lebih sedikit, kawal makan sepanjang masa. Pakailah topi keledar dan pasangkan tali pinggang keledar tidak kiralah dekat bagaimanapun tempat yang hendak dituju. Ucapkan "Aku sayang kamu" kepada yang tersayang dan ucap selamat kepada rakan-rakan setiap kali yang boleh.
Belajarlah untuk menghargai hidup dan nikmat yang ada setiap hari kerana kita tidak akan tahu takdir yang menunggu.
Sekiranya hidup ini betul-betul berbaloi, hargailah ia. Semua orang mati tetapi jangan ambil risiko mempercepatkannya. -- The Malaysian Medical Gazette
____________________________________________________
* Dr. Kamal Amzan ialah pengamal perubatan di Sabah.
* Tulisan ini pertama kali tersiar di http://www.mmgazette.com/ dan diterjemahkan oleh Azizul Ismie
* The Malaysian Medical Gazette ialah portal dalam talian terbitan Persatuan Integrasi Profesional Perubatan Malaysia (MIMPA) untuk pengamal perubatan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan masyarakat mengenai isu semasa dan masalah bersama tentang rawatan kesihatan.
* Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.