13 Mei 1969

Noor Azam Shairi
Mei 13, 2014 21:31 MYT
SSSS
"Dia yang menguasai masa silam menakluk masa depan.
Dia yang menakluk masa depan menguasai masa silam."
̶ George Orwell, 1984
BAGAIMANAKAH seharusnya kita mengenang 13 Mei 1969 ̶ suatu hari ketika mana sebilangan warga negara ini hilang waras dan harga diri sehingga sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Hari itu disifatkan oleh banyak orang sebagai "titik hitam" atau "hari paling gelap" dalam sejarah negara. Sebuah buku yang merakamkan episod itu malah terbit dengan judul "13 May 1969: The darkest day in Malaysian history".
Apakah sebenarnya yang kita tahu tentang hari itu?
Peristiwa itu terjadi 45 tahun lalu. Rakyat negara ini pula sekarang hampir 50 peratus umurnya di bawah 40 tahun. Maknanya, apa yang sebahagian besar daripada kita tahu tentang peristiwa itu adalah apa yang kita kutip daripada catatan sejarah yang ditulis di sana sini.
Tetapi apakah itu sejarah?
Sejarah secara ringkasnya ditafsirkan sebagai pengetahuan tentang masa lampau yang dihimpunkan oleh sejarawan. Setiap seorang sejarawan masing-masing menyumbangkan apa yang mereka ketahui untuk membentuk pengetahuan itu ̶ yang kita panggil "sejarah". Pengetahuan itu adalah sumbangan sejarawan secara kolektif kerana seorang sejarawan tidak mungkin betul semua dan selebihnya, kerana sejarawan itu jarang berlaku jujur kepada dirinya sendiri ̶ sejarah yang dicatat selalu dibentuk antaranya oleh teori dan pegangan politik sejarawan itu sendiri.
Kenapakah sejarah itu penting? Apakah gunanya sejarah itu kepada kita?
Sejarah itu penting kerana ia peta dan kompas yang jadi panduan untuk kita meneroka masa depan, yang menunjukkan dari mana kita datang dan ke mana kita menuju. Sebagai sebuah bangsa, sejarah adalah ingatan kolektif tentang sebuah masa lalu yang akan membantu kita membuat keputusan tentang masa depan bangsa dan negara ini secara bersama. Sekiranya ingatan kolektif kita tidak sama ̶ atau pemahaman kita tentang sejarah itu berbeza ̶ hala tuju kita ke arah masa depan itu juga tidak akan sama.
Apakah ingatan kolektif kita tentang 13 Mei 1969?
Ada beberapa peristiwa penting yang berlaku selepas tragedi berdarah itu. Sekolah aliran bahasa Inggeris ditutup. Kedudukan Bahasa Melayu diperkukuhkan dalam sistem pendidikan termasuk jadi bahasa pengantar di universiti. Gerakan menubuhkan institusi pengajian tinggi berbahasa Melayu yang disuarakan oleh nasionalis dan intelek Melayu kembali marak selepas peristiwa itu dan lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lebih kurang setahun kemudian.
Setahun kemudian juga, Rukunegara diperkenalkan sebagai dokumen falsafah negara. Setahun kemudian juga, kerajaan Perikatan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dasar itu kemudiannya muncul dalam beberapa dasar yang menggantikannya selepas ia tamat pada 1990.
Secara ringkasnya, apa yang ada di negara ini pada hari ini banyak ditentukan oleh apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu.
Tetapi apakah yang kita tahu tentang hari itu?
Sejarah itu bukan apa yang berlaku. Sejarah adalah cerita tentang apa yang berlaku. Ada perbezaan antara "sejarah" dan "masa lalu" ̶ yang satu itu pengetahuan tentang apa yang berlaku, yang satu lagi pula apa yang benar-benar berlaku.
Baik "sejarah" atau "masa lalu", kita sebenarnya sama-sama tidak tahu. Kita tidak usah menipu diri sendiri. Hakikatnya, hanya sedikit yang kita tahu dan lebih banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang apa yang terjadi pada 13 Mei 1969 itu.
Selebihnya, tidak banyak juga orang yang tahu apa yang berlaku kerana mereka terlalu jauh dengan zaman itu dan sejarah tentangnya pula tidak diajar dengan menyeluruh sebaliknya hanya disentuh sepintas lalu. Sebahagian besar daripada kita barangkali tidak ubah seperti burung kakak tua yang mengulang-ulang apa yang didengarnya tanpa dia sendiri memahami apa yang dia katakan. Begitulah kita dan peristiwa 13 Mei 1969. Lebih daripada itu, peristiwa berdarah itu dijadikan momok untuk mengugut, menggertak dan menakut-nakutkan sebahagian daripada kita.
Tetapi apakah yang kita tahu tentang hari berdarah itu? Apakah yang kita tahu itu cerita sebenar tentang hari itu? Bagaimanakah pula kita melihat peristiwa itu ̶ apakah dengan memahami konteks zamannya atau melihatnya dengan pemahaman kita tentang zaman ini?
Sekiranya kita faham bahawa sejarah itu bukan apa yang berlaku tetapi cerita tentang apa yang berlaku, kita akan faham juga bahawa ̶ seperti dalam cerita ̶ sejarah itu ada versi yang berbeza. Peristiwanya sama tetapi ceritanya mungkin tidak serupa.
Makanya, cerita 13 Mei 1969 yang mana satukah yang mahu kita percaya? Setelah itu, bagaimanakah seharusnya kita mengenang hari penting yang sedikit sebanyak membentuk negara ini sekarang?
#13 Mei 1969 #sejarah
;